Projek Perintis Penambahbaikan Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 Demi Meningkatkan Keselamatan Jalan Raya

Berikutan beberapa kes kemalangan maut yang berlaku di lintasan pejalan kaki di Pulau Pinang dan juga di serata negara, jelas terdapat keperluan untuk mengkaji semula dan menambahbaik prasarana lintasan pejalan kaki agar menjadi lebih selamat.

Antara usaha-usaha yang sudah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi meningkatkan keselamatan lintasan pejalan kaki adalah seperti berikut:

  • Memperkenalkan amaran “LOOK LEFT / LOOK RIGHT” di lintasan pejalan kaki untuk mengingatkan pejalan kaki supaya melihat trafik jalan sebelum melintas;
  • Memperkenalkan amaran “AWAS” di lintasan pejalan kaki terkawal (controlled crossing) supaya kenderaan akan berhati-hati dan berhenti;
  • Mengecat semula speed table dan garisan lintasan pejalan kaki mengikuti spesifikasi yang betul bagi membezakan kedua-dua dengan lebih ketara;
  • Mengecat semula lintasan pejalan kaki terkawal dan tidak terkawal (uncontrolled crossing) mengikut warna yang betul.

Walaupun beberapa langkah seperti di atas telah diambil, adalah didapati bahawa kesedaran awam mengenai prasarana lintasan kaki adalah rendah. Ramai yang masih tidak mengetahui perbezaan antara jenis-jenis lintasan yang berlainan seperti yang dibutirkan di bawah:

Lintasan Terkawal Lintasan Tidak Terkawal
Garisan berwarna kuning Garisan berwarna putih
Lampu isyarat menentukan right of way Pejalan kaki mempunyai right of way
Kenderaan harus berhenti apabila lampu isyarat menjadi merah. Kenderaan harus berhenti untuk membenarkan lintasan pejalan kaki

Jadual: Perbezaan antara lintasan terkawal dan tidak terkawal.

Kekurangan kesedaran mengenai perbezaan di atas bukan sahaja di kalangan orang ramai bahkan di kalangan pihak-pihak berkuasa jalan. Semakan di Daerah Timur Laut pada awal tahun ini mendapati bahawa terdapat lintasan jalan yang tidak mengikuti spesifikasi teknikal yang sepatutnya, termasuk warna garisan, lebar garisan dan papan tanda amaran. Malah, terdapat kawasan di mana dua lintasan pada jalan yang sama menggunakan spesifikasi yang berlainan. Oleh itu, MBPP telah diarahkan untuk menyelaraskan lintasan-lintasan di bawah seliaan mereka bagi memastikan segala spesifikasi dipatuhi.

Pada masa yang sama, juga didapati bahawa ada keperluan untuk mengkaji semula Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (KLJ 1959) yang sudah lama tidak dikemaskini. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan memulakan projek perintis di Pulau Pinang untuk meninjau dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik (best practices) dari negara-negara yang mempunyai sistem jalan raya yang serupa seperti Singapura, Hong Kong dan United Kingdom.

Sebagai langkah pertama, projek perintis ini akan mengkaji penggunaan garisan zig-zag. Ini berdasarkan pelaksanaan garisan zig-zag di negara lain yang telah berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan, meningkatkan pematuhan had laju oleh pemandu serta meningkatkan kesedaran pemandu terhadap lintasan pejalan kaki di hadapan. Lokasi projek perintis ini adalah di lintasan di hadapan bangunan Malaysian Buddhist Association di Jalan Burmah, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Kajian ini akan berlangsung selama satu bulan dan hasil kajian tersebut akan diketahui pada bulan Disember 2019. Kerajaan Negeri berharap projek perintis tersebut dapat menjadi pemangkin dalam menjadikan lintasan pejalan kaki serta jalan raya Malaysia lebih selamat untuk semua.

Zairil Khir Johari

EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang

NB: This press statement was released on 3 October 2019 in George Town.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s