Struktur Pemancar Telekomunikasi Di Pearl Hill, Tanjong Bungah

George Town, 5 November 2019

Pada 29 Oktober 2019, saya telah menerima surat aduan daripada beberapa orang penduduk kawasan Pearl Hill, Tanjong Bungah mengenai struktur pemancar telekomunikasi yang telah dibina atas tanah milik Perbadanan Bekalan Air (PBA) di sekitar kawasan tersebut. Pada hari ini, mereka telah hadir di Dewan Undangan Negeri bagi menyampaikan memorandum yang mempunyai kandungan yang serupa.

Sebenarnya, terdapat dua struktur pemancar telekomunikasi di atas lot tanah milik PBA tersebut. Struktur pertama telah dibina pada tahun 1994 sementara struktur yang dimaksudkan dalam surat aduan telah dibina setahun lalu pada November 2018 setelah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Permohonan struktur tersebut telah memenuhi semua garis panduan teknikal yang ditetapkan dan juga menerima sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaku pihak berkuasa (regulator) industri telekomunikasi.

Aduan utama yang dibangkitkan adalah mengenai: 

  1. Isu kesihatan disebabkan radiasi oleh struktur pemancar telekomunikasi; dan
  2. Kelulusan pemasangan struktur pemancar telekomunikasi ini tidak melalui proses rundingan dengan penduduk Pearl Hill.

Saya telah memajukan aduan tersebut kepada pihak MCMC dan menerima maklumbalas daripada mereka pada 31 Oktober 2019. Menurut MCMC, struktur pemancar telekomuniasi tersebut adalah “selamat dan tidak mengancam kesihatan penduduk sekitar” serta mematuhi garis panduan World Health Organization (WHO) dan International Committee on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP).

MCMC turut menambah bahawa kedua-dua agensi pakar mengenai keselamatan dan kesihatan radiasi, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Nuklear Malaysia, telah menjalankan pelbagai kajian berkenaan radiasi pemancar telekomunikasi di Malaysia dan hasil kajian adalah selari dengan WHO dan ICNIRP.

Malah, sebanyak 24,0000 kajian mengenai kesan electromagnetic field (EMF) oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi telah dibuat sepanjang 30 tahun oleh para saintis di seluruh dunia. Berdasarkan kepada itu, pihak WHO telah merumuskan bahawa kajian-kajian yang telah dilaksanakan tersebut telah membuktikan bahawa pendedahan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi tidak menjejaskan kesihatan manusia.

Fakta ini turut disokong oleh Kementerian Kesihatan yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan risiko radiasi terhadap kesihatan dengan struktur pemancar telekomunikasi.

Menurut Agensi Nuklear Malaysia pula, sinaran yang dikeluarkan oleh struktur pemancar telekomunikasi dikategorikan sebagai sinaran tidak mengion (non-ionizing radiation). Dalam erti kata lain, sinaran ini bertenaga rendah dan tidak boleh menyebabkan pengionan (ionization) dalam badan manusia dan langsung tiada kaitan dengan sinaran radioaktif. Maka, ia adalah selamat dan mematuhi piawaian antarabangsa ICNIRP dan WHO bagi penggunaan umum.

Berkenaan isu rundingan dengan penduduk kawasan, keperluan ini tidak terdapat dalam tatacara pihak berkuasa tempatan bagi pembinaan struktur pemancar telekomunikasi. Malah, MCMC berpendapat keperluan ini tidak diperlukan kerana struktur ini sepatutnya dianggap sebagai infrastruktur asas seperti tiang lampu atau lampu isyarat.

Sebagai makluman, Garis Panduan Pembinaan Menara Telekomunikasi, Struktur Sistem Pemancar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan jarak minimum struktur dari bangunan terdekat bagi menara bawah 45 meter tinggi adalah 20 meter. Untuk kes Pearl Hill ini, jarak struktur dari rumah terdekat adalah lebih kurang 100 meter.

Maka selaku wakil rakyat kawasan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Pulau Pinang, saya bersetuju dengan pandangan MCMC dan oleh itu tidak mempunyai halangan terhadap struktur pemancar telekomunikasi tersebut.

Bagi menjayakan gagasan Penang 2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar serta mencapai objektif menjadi Gigabit City pertama di Malaysia, Kerajaan Negeri mengambil pandangan bahawa pengembangan infrastruktur telekomunikasi adalah amat penting selagi ia memenuhi semua garis panduan dan keperluan teknikal. Struktur-struktur yang tidak mematuhi garis panduan atau tidak mempunyai kelulusan akan diambil tindakan.

Pulau Pinang telah dipilih oleh Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu negeri untuk menjadi perintis teknologi 5G yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Oleh kerana radius perkhidmatan 5G adalah lebih kecil berbanding teknologi 4G yang sedia ada, maka akan ada keperluan untuk membina lebih banyak lagi struktur pemancar.

Semua struktur pemancar yang mematuhi garis panduan adalah selamat. Namun begitu, Kerajaan Negeri bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan berkenaan radiasi yang disertakan dengan bukti yang disahkan oleh agensi kerajaan atau doktor pakar yang bertauliah.

Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s