Ucapan Penggulungan Belanjawan 2020

Tuan Yang Dipertua,

1.      Saya ingin bermula dengan merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua sidang Dewan Undangan Negeri ke-14, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu di bawah portfolio Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir untuk dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

2.      Beberapa isu dan cadangan baru telah dibangkitkan dan pentadbiran ini pastinya akan sedaya upaya memberi perhatian ke atas perkara-perkara yang dibangkitkan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Kerja Raya

Tuan Yang Dipertua,

3.      Sukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini Kerajaan Negeri giat meneruskan pelaksanaan sembilan (9) projek pembinaan dan menaiktaraf jalan yang telah diperincikan dalam Belanjawan 2019 dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM7,338,000.00 selaras dengan  notis perubahan melalui kelulusan oleh Jabatan Kewangan Negeri, di mana empat (4) projek telah pun siap pembinaan, tiga (3) projek lagi dalam peringkat pembinaan dan dua (2) projek dalam peringkat kajian serta kerja-kerja awalan. Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur yang lestari dan seimbang di negeri ini. Sehubungan dengan itu, setiap projek infrastruktur dirangka dengan teliti berdasarkan kepada keperluan semasa dan peruntukan yang tersedia.

4.      Saya ingin menjawab isu yang dibangkitkan Yang Berhormat Sungai Dua bahawa Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2020 tidak memperuntukkan dana untuk pembaikan cerun.

5.      Sebagai makluman Yang Berhormat, dana bagi kerja pembaikan cerun dimohon oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang melalui peruntukan persekutuan iaitu peruntukan B11 bagi pembaikan cerun di jalan negeri kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia, serta peruntukan B27 bagi pembaikan cerun di jalan persekutuan yang dimohon kepada Kementerian Kewangan. Permohonan peruntukan ini adalah berdasarkan keperluan pembaikan cerun dari semasa ke semasa. Bagi tahun 2019, untuk cerun di jalan negeri, sejumlah RM4.23 juta telah pun diluluskan dan projek-projek berkaitan sedang dilaksanakan. Manakala untuk cerun di jalan persekutuan, sejumlah RM2 juta telah diluluskan bagi tahun 2019. Suka juga saya kongsikan di sini, Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 11 Oktober 2019 telah mengumumkan penambahbaikan garis panduan penggunaan dana MARRIS di mana Kerajaan Negeri dibenarkan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun dengan menggunakan dana MARRIS sehingga 15 peratus atau RM20 juta, yang mana lebih rendah. Dalam hal ini, pembaikan cerun juga boleh menggunakan peruntukan MARRIS selepas ini.

6.      Seterusnya Yang Berhormat Sungai Dua juga membangkitkan isu kesesakan lalu lintas di Sungai Dua di mana keadaan kesesakan lalulintas bertambah teruk setelah pembinaan divider di tengah jalan.

7.      Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, pembahagi jalan dibina di lokasi tersebut bagi tujuan keselamatan dalam menangani  isu kemalangan. Berhubung isu kesesakan lalulintas pula, sukacita dimaklumkan pada masa ini, satu kajian sedang dilaksanakan oleh pihak perunding yang dilantik oleh JKR untuk menjalankan kajian trafik di kawasan terbabit. Hasil daripada kajian tersebut, cadangan kaedah mengurangkan kesesakan lalulintas bagi jangka masa panjang di kawasan terbabit akan dikenal pasti untuk pelaksanaannya dengan peruntukan yang boleh digunakan.

Tuan Yang Dipertua,

8.      Beralih kepada soalan Yang Berhormat Bukit Tambun, iaitu adakah projek-projek yang dijalankan di kawasan industri Batu Kawan boleh disiapkan mengikut jadual? Contohnya kerja menaik taraf jambatan Batu Kawan ke Byram.

9.      Untuk makluman Yang Berhormat, projek-projek infrastruktur di Taman Perindustrian Batu Kawan sedang dilaksanakan dan akan disiapkan mengikut jadual keperluan. Manakala berhubung dengan kerja menaik taraf jambatan Batu Kawan ke Byram yang akan dilaksanakan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), ianya kini di peringkat perancangan untuk permohonan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

10.    Yang Berhormat Bukit Tambun juga ada membangkitkan cadangan agar pihak JKR memberi pertimbangan untuk melebarkan jejambat Bandar Tasek Mutiara (BTM) yang menghubungkan BTM dengan Jalan Bukit Tambun.

11.     Sebagai makluman Yang Berhormat, pada masa ini pihak pemaju sedang dalam proses menyediakan pelan induk untuk Bandar Tasek Mutiara sebagaimana disyaratkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Pelan induk tersebut juga adalah tertakluk kepada pelaksanaan kajian Traffic Impact Assestment (TIA). Dalam hal ini, sekiranya terdapat keperluan untuk melebarkan jejambat tersebut berdasarkan TIA yang dilaksanakan, pihak JKR akan mensyaratkan pemaju untuk melaksanakan pelebaran jambatan tersebut.

12.    Seterusnya Yang Berhormat Bukit Tambun turut memohon agar pihak JKR menyusuli kelulusan peruntukan dengan pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) berkenaan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf laluan persekutuan FT001 fasa enam (6) yang perlu dilaksanakan sebelum fasa lima (5) siap sepenuhnya.

13.    Untuk makluman Yang Berhormat, baru-baru ini pihak KKR telah memperolehi senarai projek yang telah diluluskan peruntukan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah RMK11 Rolling Plan-4 (RP4) (2020), di mana peruntukan bagi fasa enam (6) projek menaik taraf laluan persekutuan FT001 telah diluluskan. Berdasarkan kelulusan peruntukan tersebut, pelaksanaan rekabentuk akan dimulakan pada awal tahun hadapan. Walau bagaimanapun, skop yang diluluskan hanya melibatkan kerja menaik taraf Jambatan Sungai Kerian dan pembinaan jejambat di persimpangan ke USM. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, permohonan projek fasa enam (6) ini adalah bagi skop menaik taraf laluan persekutuan FT001 dari Persimpangan Permatang Keling (Sek. 720) ke jambatan di atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (Sek. 740), Daerah Seberang Perai Selatan (SPS). Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui pihak JKR akan menyusuli kelulusan peruntukan bagi bahagian lain projek ini yang memerlukan penaiktarafan bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di kawasan berkenaan.

14.    Yang Berhormat Bukit Tambun juga membangkitkan isu kesesakan lalulintas di persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan, di mana Yang Berhormat memohon agar keseluruhan Jalan Paboi dan Jalan Tambun dinaik taraf untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas ini sepenuhnya.

15.    Sebagai makluman Yang Berhormat, telah terdapat beberapa perancangan yang dapat membantu mengatasi kesesakan lalulintas di persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan, iaitu cadangan projek pembinaan persimpangan baharu dari Lebuhraya Utara Selatan ke Batu Kawan yang kini dalam peringkat perancangan oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA). Manakala satu (1) projek di bawah pelaksanaan PDC iaitu pembinaan Jalan Perusahaan Valdor ke Jambatan Valdor di kawasan industri Bandar Cassia kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap mengikut jadual pada Mac 2020. Dengan penyiapan kedua-dua projek ini, adalah dijangkakan kesesakan lalulintas ke Tol Bukit Tambun akan dapat dikurangkan.

Tuan Yang Dipertua,

16.    Yang Berhormat Jawi menyarankan agar Kerajaan Negeri menjalankan kajian bagi mengenal pasti keperluan untuk memasang lampu isyarat di persimpangan Jalan Ooi Kar Seng dan Jalan Victoria.

17.    Terima kasih atas saranan Yang Berhormat, perkara ini telah diambil maklum dan pihak JKR akan menjalankan bancian di Persimpangan Jalan Ooi Kar Seng dan Jalan Victoria. Seterusnya analisa bancian tersebut akan dikemukakan kepada pihak MBSP untuk diangkat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalulintas bagi pertimbangan sama ada persimpangan tersebut memerlukan lampu isyarat atau tidak.

18.    Yang Berhormat Jawi juga membangkitkan tindakan penutupan lampu isyarat di persimpangan FT001 dan Jalan Transkrian FT128 yang dapat membantu aliran trafik tetapi ianya adalah usaha masa jangka pendek sahaja. Yang Berhormat juga membangkitkan persimpangan jalan ini memerlukan lampu isyarat berdasarkan semakan reka bentuk persimpangan Jalan Permai dan Bukit Panchor selaras dengan Arahan Teknik Jalan (ATJ) 13/87, di mana ianya hendaklah dijadikan sebagai signalised junction.

19.    Bagi menjawab persoalan Yang Berhormat, dimaklumkan bahawa pihak JKR telah pun mensyaratkan pemaju untuk mengemukakan waran lampu isyarat, iaitu analisa kebolehlaksanaan pembinaan lampu isyarat tersebut berdasarkan kepada data banci lalulintas yang akan diperolehi daripada laporan TIA.

20.    Seterusnya Yang Berhormat Jawi juga membangkitkan soalan berkaitan berapa lamakah garisan jalan yang pudar akan dilukis semula oleh pihak JKR?

21.    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri juga sememangnya memerhati perkara ini. Memang terdapat jalan-jalan yang tidak jelas garisan jalannya dan mengelirukan pengguna jalan raya. Secara lazimnya, kerja-kerja penyelenggaraan mengecat garisan jalan akan dilaksanakan apabila garisan jalan sedia ada diperhatikan telah pudar. Bagi jalan bandaran dan jalan negeri, pelaksanaannya akan menggunapakai peruntukan MARRIS. Manakala, bagi jalan persekutuan, peruntukannya dimohon setiap tahun di bawah Kerja Berkala Bukan Pavemen melalui Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) bagi garisan jalan yang pudar dan akan dilaksanakan setelah menerima peruntukan daripada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR).

Tuan Yang Dipertua,

22.    Berkaitan garisan jalan juga, Yang Berhormat Jawi membangkitkan isu bahawa pihak JKR membuat garisan jalan dengan tidak menggunakan thermoplastik.

23.    Untuk makluman Yang Berhormat, kerja-kerja pembinaan garisan jalan dilaksanakan oleh pihak JKR mengikut spesifikasi jalan yang digariskan dalam JKR SPJ 2012/S6 Sub-section 6.3 di mana setiap garisan jalan perlu menggunakan cat jalan jenis thermoplastik. Namun, kerja-kerja cat jalan yang menggunakan cat biasa hanyalah untuk kerja-kerja sementara sahaja (temporary road line painting).

24.    Yang Berhormat Jawi seterusnya membangkitkan isu pembersihan parit di bawah syarikat konsesi THB yang dijadualkan enam (6) bulan sekali adalah tidak mencukupi. Yang Berhormat menanyakan apakah usaha Kerajaan Negeri dalam membantu isu penyelenggaraan ini seperti meluluskan peruntukan khas penggunaan MARRIS dan lain-lain kepada JKR negeri untuk membantu pembersihan parit ini apabila diperlukan?

25.    Sebagai makluman Yang Berhormat, syarikat konsesi THB yang bertanggungjawab melaksanakan penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di negeri ini menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut skop kerja dalam kontrak di antara syarikat dengan pihak Kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini, peruntukan MARRIS tidak dapat digunakan untuk kerja pembersihan parit di jalan persekutuan berdasarkan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri. Peruntukan MARRIS hanya boleh digunakan untuk penyelenggaraan jalan negeri sahaja. Walau bagaimanapun, pada masa ini, Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengangkat permohonan untuk mewartakan semula jalan-jalan persekutuan di negeri ini kepada jalan-jalan negeri agar penyelenggaraannya lebih mudah dipantau di bawah Kerajaan Negeri. Dalam hal ini, perkara ini adalah tertakluk kepada persetujuan Pihak Berkuasa Negeri dan selanjutnya kelulusan Menteri Kerja Raya. Cadangan ini menyasarkan hampir 70% daripada jumlah jalan persekutuan di seluruh Negeri Pulau Pinang (190.25km) untuk dimohon pewartaan semula kepada jalan-jalan negeri. Sekiranya diluluskan, penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan yang pada masa ini dilihat tidak mencukupi boleh dipantau dan diselenggara menggunakan peruntukan MARRIS kelak.

Tuan Yang Dipertua,

26.    Yang Berhormat Batu Uban telah menyuarakan syor agar Kerajaan Negeri menaik taraf parit dan longkang di kawasan Minden Heights dan Taman Brown yang telah melebihi 30 tahun.

27.    Bagi makluman Yang Berhormat, pihak JKR akan melaksanakan kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf longkang di Minden Heights sebelum penghujung tahun ini. Manakala bagi parit dan longkang di Taman Brown, pelaksanaannya akan dimasukkan untuk penyelenggaraan pada tahun 2020. Di samping itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah memasukkan keperluan penaiktarafan parit di Minden Heights dalam kajian Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Dua Besar.

28.    Yang Berhormat Berapit pula membangkitkan harapan beliau agar pembinaan laluan pejalan kaki konkrit di sebuah sekolah di Berapit dapat direalisasikan.

29.    Sehubungan dengan itu, JKR telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki di sekolah tersebut bermula pada 11 Oktober 2019 dan dijangka siap pada Disember 2019.

30.    Seterusnya Yang Berhormat Berapit memohon agar Kerajaan Negeri mempercepatkan isu pelebaran Jalan Kampung Besar.

31.    Sebagaimana yang telah dijawab kepada Yang Berhormat dalam soalan bertulis, pihak JKR telah pun membuat perbincangan bersama-sama pemilik tanah iaitu Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Pihak RAC walau bagaimanapun tidak bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut bagi tujuan pembinaan jalan dan hanya memberikan kebenaran untuk tujuan menyelenggara jalan tersebut sahaja. Dalam hal ini, saya telah berbincang dengan JKR dan bersetuju untuk membuat perbincangan dan rundingan lanjut di peringkat Kementerian Pengangkutan sekiranya diperlukan untuk mengatasi isu ini.

Tuan Yang Dipertua,

32.    Yang Berhormat Berapit seterusnya mencadangkan agar Jalan Berapit dapat dilebarkan dari permulaan hingga ke hujung untuk mengelakkan kemalangan. Yang Berhormat Berapit juga memohon agar Kerajaan Negeri mengkaji kesesuaian pelebaran jalan Berapit berdekatan Pasar Berapit.

33.    Jalan yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat ini sememangnya mempunyai kelebaran yang berlainan di seksyen-seksyen yang berlainan. Ini adalah kerana pembinaan projek-projek menaik taraf secara berasingan, seperti jejambat atau Road Over Bridge (ROB) empat (4) lorong dua (2) hala yang melintasi landasan keretapi. Namun sekiranya matlamat Yang Berhormat adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, saya tidak berasa bahawa pelebaran jalan akan membantu mencapainya. Ini kerana salah satu punca kemalangan berlaku adalah kelajuan kereta yang menurun dari ROB ke kawasan Perkampungan Berapit. Malah, pelbagai inisiatif seperti memasang tranverse bars yang tebal serta menurunkan had laju kenderaan kepada 35km/j telah pun dilakukan. Jika Yang Berhormat ingin menangani isu keselamatan jalan raya, maka saya boleh mengesyorkan satu perbincangan diadakan bersama-sama Yang Berhormat, JKR dan MBSP bagi mencari jalan penyelesaian.

34.    Yang Berhormat Berapit turut menanyakan status projek pelebaran Jalan Kulim.

35.    Untuk makluman Yang Berhormat, JKR telah memohon kelulusan peruntukan bagi tujuan pembinaan projek ini dalam Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang di mana projek ini akan terbahagi kepada tiga (3) fasa. Pada masa ini permohonan ini sedang dalam pertimbangan Jabatan Kewangan Negeri. Pun begitu, saya berpendapat bahawa Jalan Kulim ini sebaik-baiknya dinaik taraf oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah jalan yang menghubungkan antara negeri dan sepatutnya merupakan jalan persekutuan sepertimana laluan FT001. Oleh itu, sekiranya permohonan daripada Kerajaan Negeri tidak berjaya, saya bercadang untuk membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan.

36.    Seterusnya Yang Berhormat Permatang Berangan ada memohon untuk pemasangan sebuah lampu isyarat di Simpang Tiga Tai Thong, Tasek Gelugor.

37.    Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini pihak JKR tiada perancangan untuk membina lampu isyarat di lokasi tersebut. Walau bagaimanapun, pemasangan lampu isyarat akan disyaratkan kepada pihak pemaju yang akan melaksanakan pembangunan di lokasi tersebut melalui kelulusan kajian Impak Trafik (TIA) kelak.

Tuan Yang Dipertua,

38.    Yang Berhormat KOMTAR ada membangkitkan isu perbezaan had laju di Jambatan Pulau Pinang iaitu 70km/j dan 80km/j, dan mengesyorkan agar had laju 80km/j diselaraskan di sepanjang Jambatan Pulau Pinang bagi mengelakkan kekeliruan pengguna jalan raya.

39.    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, Jambatan Pulau Pinang adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, iaitu di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Untuk makluman Yang Berhormat, had laju di atas laluan Jambatan Pulau Pinang telah diselaraskan berdasarkan kepada konfigurasi lorong setelah kerja pelebaran jambatan dilaksanakan, di mana untuk laluan dengan kelebaran lorong yang terhad kepada 3.25m dengan zon penampan (buffer) yang kecil, had laju di kawasan tersebut perlu dihadkan kepada 70km/h sahaja berbanding had laju 80km/j pada kawasan yang mempunyai kelebaran lorong 3.5m. Perbezaan had laju ini dibuat atas faktor keselamatan berdasarkan pandangan juru audit keselamatan jalan raya. Oleh itu, penetapan had laju yang sedemikian perlu dipatuhi untuk keselamatan pengguna laluan ini.

40.    Berkaitan Lebuhraya Utara-Selatan, Yang Berhormat Bukit Tambun telah mengesyorkan agar pengurusan trafik dilaksanakan di hala Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Bukit Tambun pada waktu puncak.

41.    Sebagai makluman Yang Berhormat, inisiatif bagi membantu melancarkan pergerakan aliran trafik di hala Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Bukit Tambun telah dikoordinasikan oleh pihak LLM dengan cadangan pelebaran dan penambahan lorong. Di samping itu, bagi langkah jangka panjang, beberapa cadangan penambahbaikan susulan telah dibincangkan oleh pihak LLM bersama pihak NCIA untuk tujuan permohonan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

42.    Yang Berhormat Penanti membangkitkan cadangan pembinaan drawbridge/arch bridge di Ampang Jajar bagi memberi laluan boat nelayan selain untuk menjadi tarikan pelancong di kawasan tersebut.

43.    Sebagai makluman Yang Berhormat, laluan bot di bawah Jambatan Ampang Jajar, Sungai Perai pada masa ini tidak mempunyai masalah laluan sewaktu air surut. Walau bagaimanapun, cadangan pembinaan arch bridge ini akan diangkat oleh pihak JKR kepada Cawangan Jalan, JKR Malaysia untuk kajian kesesuaian dan kebolehlaksanaan.

44.    Yang Berhormat Bayan Lepas memohon agar pelebaran Jalan FT006 dari Bukit Belah ke Puspakom dipercepatkan untuk menyelesaikan masalah lalulintas yang lebih teruk ketika hujan dan juga ketika musim buah-buahan. Yang Berhormat juga memohon untuk membina jejambat motosikal dan pejalan kaki (PMB) di Kampung Seronok susulan pelebaran Jalan P10 yang telah mendatangkan risiko kepada orang kampung terutama kepada jemaah masjid Kampung Seronok.

45.    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, kedua-dua cadangan projek berkenaan telah dimohon dalam senarai RMK11 RP4 pada Januari 2019 kepada KKR untuk kelulusan Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan.

46. Yang Berhormat Pulau Betong memohon untuk Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula permohonan lintasan pejalan kaki yang tidak diluluskan di hadapan Hospital Balik Pulau dan hadapan Pejabat Daerah.

47.    Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR Pulau Pinang telah mengadakan lawatan bersama pihak Cawangan Jalan, JKR Malaysia bagi mencadangkan penaiktarafan lokasi tersebut pada awal tahun 2019. Selanjutnya permohonan telah dimajukan kepada Bahagian Penyelarasan dan Khidmat Sokongan, Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Malaysia pada 26 Julai 2019 untuk sokongan kelulusan oleh KKR. Projek yang dimaksudkan ialah Projek Menaiktaraf Jalan Tunggal Dua (2) Lorong kepada Jalan Berkembar Empat (4) Lorong di Laluan Persekutuan FT006 dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang (Pakej 2A – sambungan kepada Pakej 2B) di bawah RMK11 RP4. Pada masa ini, kita masih menunggu kelulusan yang berkaitan bagi membolehkan pelaksanaanya.

Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

48.    Setibanya musim hujan, Pulau Pinang akan menghadapi risiko banjir kilat khususnya apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang. Ini adalah hakikat negeri yang berpesisiran pantai kerana pertembungan ini akan menyukarkan pengaliran keluar air ke laut.

49.    Namun kebelakangan ini, keamatan hujan tampaknya lebih teruk sehingga sesetengah kawasan merekodkan taburan hujan sebanyak 100 hingga 200mm sejam menurut data yang diperolehi dari stesen hujan. Buat pengetahuan Dewan yang mulia ini, taburan hujan 60mm sejam sudah dikategorikan sebagai hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat, apatah lagi 100 atau 200mm sejam.

50.    Keamatan hujan yang begitu tinggi ini adalah akibat fenomena climate change ataupun perubahan iklim. Kenyataan ini bukanlah satu alasan tetapi satu realiti yang terpaksa kita terima. Menurut perangkaan dari stesen-stesen hujan kita, purata taburan hujan tahunan di negeri ini telah meningkat dengan mendadak seperti di jadual berikut:

Tahun Purata Taburan Hujan Tahunan
1990 – 1999 31mm sejam
2000 – 2009 146mm sejam
2010 – 2018 180mm sejam

Jadual 1: Purata taburan hujan dari 1990 hingga sekarang.

51.    Dengan peningkatan sebanyak enam (6) kali ganda daripada 31mm sejam pada tahun 1990-an kepada 180mm sejam sekarang, infrastruktur perparitan dan saliran yang sedia ada di negeri ini sudah pasti tidak dapat menampung jumlah hujan yang diterima.

52.    Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk mengkaji semula sistem perparitan dalaman di seluruh negeri dengan merangkakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam (Drainage Master Plan, DMP) di setiap lima daerah. Sejumlah RM5,247,633.54 telah dibelanjakan untuk menghasilkan lima DMP tersebut.

53.    DMP yang dihasilkan ini turut mengguna pakai garis panduan dan konsep-konsep yang terkandung dalam Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dan dijadikan rujukan rasmi bagi perancangan dan pembangunan di kelima-lima daerah. Yang Berhormat Machang Bubuk ada menimbulkan persoalan mengenai perkara ini.

54.    Sebagai menjawab Yang Berhormat, sehingga kini terdapat 25 projek yang dalam proses pelaksanaan dan perancangan yang merujuk kepada DMP ini. Nilai tambahan yang boleh diperolehi daripada DMP ini adalah keberkesanan perancangan infrastruktur saliran serta impak yang positif terhadap alam sekitar sekiranya diikuti dengan betul.

Tuan Yang Dipertua,

55.    Selain daripada penghasilan DMP, Kerajaan Negeri telah membuktikan komitmen untuk menangani keamatan hujan yang makin meningkat dengan membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam pelaksanaan infrastruktur tebatan banjir. Sejak tahun 2013, sebanyak 369 projek dengan jumlah nilai RM155,240,605.67 telah diperuntukkan daripada dana Caruman Perparitan.

56.    Majlis Bandaraya Pulau Pinang pula telah membelanjakan RM42,680,882.52 untuk 37 projek tebatan banjir dalam tempoh masa yang sama. Di samping itu, sebanyak RM155,790,273.00 lagi telah diperuntukkan bagi lapan (8) projek berimpak tinggi oleh Kerajaan Negeri berikutan banjir besar pada November 2017. Daripada lapan (8) projek tersebut, enam (6) projek dalam status pembinaan manakala dua (2) lagi projek dalam proses tender ekoran penyempurnaan reka bentuk terperinci pada tahun ini. Walaupun projek-projek berimpak tinggi ini mampu mengurangkan banjir di kawasan-kawasan kritikal, ia hanya boleh berfungsi selepas penyempurnaan projek, di mana kebanyakannya dijadualkan pada tahun hadapan.

57.    Selain daripada yang disebut tadi, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM22,311,500.00 melalui Peruntukan Pembangunan Negeri P08 Butiran 51 Rancangan Tebatan Banjir (Pencegahan Banjir). Ini membawa jumlah besar peruntukan Kerajaan Negeri sejak tahun 2013 bagi projek-projek tebatan banjir kepada RM376,023,261.19.

58.    Pun begitu, rakyat Pulau Pinang amat bernasib baik kerana pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan pada tahun lepas juga telah bermaksud bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan akhirnya dapat disalurkan dengan lebih mudah. Malah, sejak tahun 2018, sebanyak lima (5) projek yang bernilai RM194.5 juta iaitu RTB Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya (DBD) (RM10 juta), RTB Teluk Bahang, DBD (RM8 juta), RTB Pondok Upeh, DBD (RM10 juta), RTB Sungai Kechil, SPS (RM16.5 juta) dan RTB Sungai Pinang, Daerah Timur Laut (DTL) (RM150 juta) yang telah dinanti-nantikan sejak sekian lamanya.

59.    Secara keseluruhan, jika digabungkan projek-projek Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, lebih setengah bilion ringgit telah diperuntukkan untuk infrastruktur tebatan banjir di Pulau Pinang sejak 2013.

Tuan Yang Dipertua,

60.    Yang Berhormat Sungai Dua menyarankan supaya Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap sistem perparitan di kawasan luar bandar. Beliau turut menyarankan supaya kawasan Sungai Kulim, Sungai Kreh, Sungai Perai, Sungai Maklom juga perlu dibuat RTB sekiranya bersesuaian.

61.    Untuk makluman Yang Berhormat, sebarang cadangan pembangunan sistem perparitan di kawasan kampung dan luar bandar adalah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang akan meneliti keperluannya dengan bantuan kepakaran teknikal pihak JPS. Selain itu, cadangan pembinaan longkang dan sistem perparitan di kawasan kampung boleh diangkat untuk kelulusan menggunakan peruntukan Caruman Perparitan di bawah Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang, di mana apa-apa permohonan adalah tertakluk kepada baki peruntukan Caruman Perparitan tahun semasa. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang telah saya kongsikan berkenaan penambahbaikan garis panduan penggunaan dana MARRIS yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri kini dibenarkan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun dengan menggunakan dana MARRIS sepertimana telah saya jelaskan tadi. Penambahbaikan ini sememangnya akan memberikan impak yang besar di mana Kerajaan Negeri akan dapat menaiktaraf parit dan longkang untuk meningkatkan kapasiti yang dapat ditampung, terutamanya parit dan longkang yang telah berusia lebih 30 tahun, sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pantai Jerejak dan juga Yang Berhormat Batu Lanchang.

62.    Juga berkaitan isu banjir kilat, Yang Berhormat Sungai Dua ada mengesyorkan Kerajaan Negeri untuk memperluaskan pembinaan RTB ke kawasan Sungai Dua dan Tasek Gelugor.

63.    Saya ingin memaklumkan bahawa kawasan Sungai Dua dan Tasek Gelugor, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ada terlibat dalam cadangan RTB Sungai Perai Fasa 2. Projek ini merupakan salah satu projek yang telah dimohon di bawah permohonan peruntukan RM1.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan yang juga akan diangkat untuk kelulusan peruntukan di bawah RMK12. Bagi Sungai Kreh, Sungai Kulim dan Sungai Perai, ketiga-tiga sungai ini juga tersenarai di dalam senarai permohonan RM1.5 bilion tersebut dan tertakluk kepada kajian menyeluruh yang merangkumi bukan sahaja Seberang Perai tetapi juga kawasan-kawasan hulu sungai iaitu di Kulim dan Bandar Baharu, Negeri Kedah. Oleh itu, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

64.    Seterusnya Yang Berhormat Pantai Jerejak membangkitkan isu kemajuan RTB Bayan Baru yang perlahan disebabkan pengubahan 54 batang pokok oleh MBPP.

65.    Sebagai makluman Yang Berhormat, isu pengubahan pokok untuk RTB Bayan Baru telah diselesaikan, di mana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan permohonan ubah tanam dan tebang pokok dalam mesyuarat One-Stop Centre (OSC) pada 22 Oktober 2019 yang lalu. Dalam hal ini, kerja-kerja pengalihan (ubah tanam) dan tebang pokok akan dijalankan dalam masa tiga (3) bulan selepas surat kelulusan diperolehi daripada MBPP.

66.    Seterusnya Yang Berhormat Bukit Tambun ada menyuarakan permintaan agar Kerajaan Negeri memastikan semua kolam tadahan, pintu air dan ban Sungai Junjung dan Sungai Jejawi diselenggara dan sentiasa berada dalam keadaan baik.

67.    Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa berusaha untuk memastikan penyelenggaraan kolam takungan, rumah pam dan ban dilaksanakan dengan baik. Melalui MBSP, pelaksanaan kerja penyelenggaraan sejumlah 64 kolam tadahan air di daerah SPS dilaksanakan oleh kontraktor dengan kekerapan dua (2) kali sebulan. Bagi menangani masalah kolam tadahan yang tidak berfungsi, MBSP mengambil tindakan melaksanakan kerja-kerja pembaikan pada struktur yang rosak dan mengorek enapan yang menyekat aliran air ke dalam kolam bagi membolehkan kolam kawalan banjir berfungsi seperti biasa.  Manakala bagi pintu air, kerja penyelenggaraan dilaksanakan oleh JPS pada tahun ini adalah seperti berikut:

  1. Untuk Pintu Air Pasang Surut Gate ‘B’, Tanjung Ketupat, JPS telah melaksanakan Kerja-kerja Menaiktaraf Sistem Mekanikal dan Elektrikal dan Lain-lain kerja dengan peruntukan sebanyak RM246,500.00 bagi menaiktaraf sistem mesin angkat dengan menggantikan sistem yang lama kepada baru. JPS juga telah menyiapkan kerja-kerja tambahan sebanyak RM47,150.00 untuk menaiktaraf longkang dengan menambahkan sistem flapgate di outlet longkang di kawasan taman berhampiran Pintu Air Tanjung Ketupat.
  2. Untuk Pintu Air Pasang Surut Gate ‘C’, JPS telah melaksanakan Kerja-kerja Menaiktaraf Sistem Alat Angkat dan Kerja-kerja Pendawaian beserta sistem keselamatan kilat/petir. Kos untuk projek ini adalah sebanyak RM206,890.00 dan sedang di peringkat pelaksanaan.
  3. Untuk Pintu Air Pasang Surut Gate ‘D’, terdapat tiga (3) pintu air di mana dua (2) beroperasi dengan baik manakala satu (1) lagi memerlukan tindakan pembaikan. Perkara akan diberi perhatian.

68.    Di samping itu, bagi kerja-kerja penyelengaraan Ban Sungai Junjung pula, JPS pada tahun ini telah menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan  dengan kos sebanyak RM40,000.00 menggunakan peruntukan Negeri. Manakala bagi kerja penyelenggaraan Ban Sungai Jejawi pula, JPS pada tahun ini telah melaksanakan kerja penyelenggaraan dengan kos sebanyak RM157,878.40 dengan menggunakan peruntukan Negeri dan RM211,851.00 menggunakan peruntukan Persekutuan.

69.    Yang Berhormat Bukit Tambun membangkitkan cadangan agar Kerajaan Negeri mengkaji secara komprehensif akan keperluan projek tebatan banjir di persimpangan Jalan Persekutuan / Jalan Changkat, Pekan Jalan Besar Sungai Bakap dan Kampung Sepulau.

70.    Sebagai makluman Yang Berhormat, keperluan projek tebatan banjir melibatkan persimpangan Jalan Persekutuan / Jalan Changkat dan Pekan Jalan Besar telah diambil kira dalam cadangan RTB Sungai Jawi. Manakala bagi kawasan Kampung Sepulau pula, ianya telah diambil kira di dalam cadangan RTB Sungai Junjung. Kedua-dua cadangan RTB ini telah diangkat permohonan peruntukannya di bawah RMK12. Pelaksanaanya adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

71.    Yang Berhormat Bukit Tambun menyuarakan pandangan bahawa bagi mengatasi masalah tebatan banjir di Kampung Sethu, pembangunan semula kampung ini perlu dilaksanakan.

72.    Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat. Idea Yang Berhormat berkenaan pembangunan semula Kampung Sethu  turut dipersetujui oleh pihak JPS yang akan mengadakan perbincangan dengan PDT SPS bagi membincangkan tindakan mitigasi banjir dalam pembangunan semula yang melibatkan kawasan Kampung Sethu.

73.    Seterusnya beralih kepada Yang Berhormat Jawi yang menanyakan soalan apakah maklumat terkini hasil kajian DMP bagi daerah SPS yang diadakan pada tahun 2017. Yang Berhormat turut mencadangkan agar kolam takungan dibina untuk mengurangkan risiko banjir.

74.    Untuk maklumat Yang Berhormat, DMP SPS telah disiapkan pada Oktober 2017 dan kini digunakan sebagai bahan rujukan dan panduan bagi jabatan-jabatan teknikal dalam mengurangkan impak banjir sama ada melalui projek tebatan banjir yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan ataupun disyaratkan kepada pihak pemaju melalui pelan permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan melalui OSC MBSP. Di dalam kajian ini telah dicadangkan spesifikasi infrastruktur saliran yang memadai untuk pencegahan banjir sesuatu kawasan yang berisiko. Ini akan membantu mengenal pasti keperluan dari segi saiz parit, pembinaan kolam takungan dan lain-lain. Berkaitan cadangan Yang Berhormat agar kolam takungan dibina untuk mengurangkan risiko banjir, Kerajaan Negeri telah mensyaratkan semua projek pembangunan baru diwajibkan menyediakan On-Site Detention Pond (OSD) ataupun kolam takungan berdasarkan garis panduan MSMA Edisi Kedua. Pihak JPS akan memastikan syarat ini dipatuhi oleh pemaju dan jurutera perunding di dalam permohonan kelulusan pelan pembangunan yang dikemukakan.

75.    Sebagai makluman Yang Berhormat juga, sememangnya ada cadangan untuk membina satu kolam di kawasan Ladang Sungai Duri dalam kawasan tadahan Sungai Jawi. Saiz kolam tersebut ialah 3.2ha dengan kedalaman 2.0m. Cadangan kolam ini bertujuan untuk menyimpan kuantiti air dari hulu Sungai Jawi untuk mengelakkan limpahan air di kawasan hilir sungai. Sebagai makluman Yang Berhormat, pembinaan kolam ini telah dimasukkan dalam skop RTB Sungai Jawi yang juga tertakluk kepada hasil Kajian Keberkesanan Penyelesaian Banjir Jangka Panjang Di Negeri Pulau Pinang Termasuk Daerah Kulim dan Bandar Baharu di Negeri Kedah.

Tuan Yang Dipertua,

76.    Yang Berhormat Batu Lanchang ada menanyakan soalan adakah pihak JPS mempunyai pelan mitigasi jangka pendek untuk menangani banjir di sekitar projek pengukuhan Sungai Jelutong Underground Diversion?

77.    Untuk makluman Yang Berhormat, untuk membantu kawasan- kawasan yang terlibat dgn banjir kilat di Sungai Jelutong Diversion, pihak JPS dalam perancangan untuk melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:

  1. Membaiki pintu air di hulu Sungai Jelutong berhampiran Jalan Gangsa bagi menampung kapasiti air yang lebih banyak dan mengurangkan magnitud banjir di hilir Sungai Jelutong; dan
  2. Membina penahan tebing di Lorong Hijau Lima bagi mengurangkan impak dan kekerapan banjir di kawasan tersebut.

78.    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir telah meluluskan peruntukan caruman perparitan sebanyak RM750,000.00 untuk pelaksanaan dua (2) projek di Solok Van Praagh iaitu:

  1. Membina kolam takungan berkapasiti 1000 meter padu, tidal valve dan box culvert yang dijangka mula pada bulan Disember ini; dan
  2. Melebarkan Sungai Jelutong sepanjang 200m dari 0.9m kepada 5m untuk dijadikan kolam takungan online serta flood wall setinggi 1m. Projek ini sedang dijalankan di tapak dan dijangka siap tahun ini.

79.    Yang Berhormat Permatang Berangan juga memohon agar Kerajaan Negeri bersiap sedia untuk menangani bencana banjir.

80.    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui JPS Pulau Pinang telah membuat persediaan di pelbagai peringkat iaitu seperti berikut:

  •  Sebelum Kejadian Banjir:
  • Pengorekan semua sungai dan parit berdasarkan peruntukan

yang diterima jabatan dari Negeri dan Persekutuan;

  1. Pemeriksaan semua siren, rumah pam dan tidal gate;
  2. Pemeriksaan Standby Pump;
  3. Memulakan kekerapan rondaan ke kawasan potensi banjir bila hujan;
  4. Membuat analisa potensi baki hujan tahunan yang akan turun; dan
  5. Pemeriksaan kenderaan, bot dan pam bergerak.
  6.  Semasa Kejadian Banjir
  7. Membuka bilik gerakan banjir;
  8. Pemantauan dan laporan banjir kepada ketua bencana daerah; dan
  9. Melawat kawasan banjir untuk mengenalpasti kedalaman banjir bagi tindakan selanjutnya.

81.    Yang Berhormat Permatang Berangan juga ada mengesyorkan agar parit ban dipasang pagar di sepanjang jajaran parit untuk mengelakkan berlakunya kes kemalangan yang tidak diingini seperti di Kampung Belukar Sungai Kreh.

82.    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum di dalam jawapan soalan bertulis berkaitan isu ini, jalan pertanian dan jalan ban adalah untuk menghubungkan jalan utama ke kawasan pertanian. Jalan ini adalah untuk laluan jentera bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan memudahkan para petani menjalankan kerja berkaitan aktiviti pertanian. Kebiasaannya jalan ban memang tidak dipasang pagar kerana ia akan mengganggu laluan jentera dan aktiviti-aktiviti lain kerana akan menjadikan laluan jalan sempit. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan Negeri mengambil maklum dan akan mempertimbangkan cadangan ini.

Tuan yang Dipertua,

83.    Beralih kepada Yang Berhormat Bukit Tengah yang memohon Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Parit 4 dan Parit 5.

84.    Kerajaan Negeri mengambil maklum akan permohonan Yang Berhormat dan melalui pihak JPS akan sedaya upaya berusaha untuk memastikan pelaksanaan kedua-dua projek Tebatan Banjir ini mengikut jadual. Kemajuan terkini bagi Projek Tebatan Banjir Parit 4 dan Parit 5 adalah 47% dan 68% dan dijadualkan siap sepenuhnya tahun hadapan.

85.    Yang Berhormat Bukit Tengah juga memohon agar Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah banjir di kawasan lain seperti Kampung Kebun Nenas, Jalan Perusahaan, Tok Kangar, Taman Belimbing dan Taman Sentul.

86.    Untuk makluman Yang Berhormat, kawasan-kawasan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat adalah dirangkumi dalam kawasan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Parit 4 dan Parit 5. Pihak JPS akan menilai keberkesanan projek-projek tebatan banjir dalam mengurangkan permasalahan banjir di kawasan yang dinyatakan ini setelah projek ini siap dilaksanakan. Manakala bagi Jalan Perusahaan pula, satu kajian sedang dilaksanakan oleh perunding yang dilantik oleh MBSP berkaitan dengan permasalahan banjir di kawasan ini.

87.    Yang Berhormat Bukit Tengah juga membangkitkan permohonan pihak JPS bagi peruntukan projek kecemasan banjir kepada Jabatan Kewangan Negeri dan berharap permohonan daripada pihak JPS ini dapat diluluskan.

88.    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, pihak JPS telah pun mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kewangan Negeri bagi mendapatkan kelulusan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan akibat kejadian banjir yang berlaku pada Oktober 2019 di beberapa daerah di Pulau Pinang. Kerja-kerja kecemasan ini melibatkan kerja pengorekan sungai, pembaikan tebing dan lain-lain kerja kecemasan berkaitan pencegahan banjir. Permohonan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Kewangan Negeri pada 1 November 2019 dengan jumlah permohonan sebanyak RM5,140,000.00 melibatkan pelaksanaan sebanyak tiga puluh dua (32) kerja-kerja kecemasan di tiga daerah iaitu SPS, Seberang Perai Tengah (SPT) dan DTL. Syukur, permohonan ini telah pun diluluskan.

Tuan Yang Dipertua,

89.    Yang Berhormat Batu Lanchang memohon agar Kerajaan Negeri  mempertimbangkan pemasangan pam-pam besar di muara sungai di kawasan Batu Lancang untuk menangani isu banjir. Begitu juga Yang Berhormat Sungai Pinang memohon satu peruntukan disalurkan bagi pembinaan tidal gate di muara supaya air pasang tidak masuk ke kampung dan menyebabkan banjir.

90.    Sebagai makluman Yang Berhormat, keperluan bagi pembinaan pam dan pintu air (tidal gate) di muara-muara sungai akan dikaji oleh perunding RTB Sungai Pinang. Perunding akan mengkaji keseluruhan lembangan Sungai Pinang yang meliputi Sungai Jelutong memandangkan Sungai Jelutong ini juga adalah cabang kepada Sungai Pinang serta lain-lain cabang sungai yang berkaitan sehingga ke muara sungai pinang.

91.    Yang Berhormat Sungai Pinang seterusnya memohon agar Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan RTB Sungai Pinang.

92.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JPS akan memastikan pelaksanaan RTB Sungai Pinang dilaksanakan mengikut perancangan semasa yang telah digariskan. Status semasa projek ini sebagaimana yang telah dimaklumkan kepada Yang Berhormat adalah di dalam peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh perunding yang dijangka selesai pada Jun tahun 2020. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan fizikal dijangka akan bermula pada November tahun 2020.

Tuan Yang Dipertua,

93.    Beralih kepada Yang Berhormat Pengkalan Kota yang memohon agar pihak JPS mengindahkan Taman Rekreasi Muara Sungai Pinang seperti yang dirancangkan oleh Kerajaan Negeri di Lebuh Pinang (bertentangan muara Sungai Pinang).

94.    Sebagai makluman Yang Berhormat, pihak JPS kini dalam proses melaksanakan projek pengindahan Taman Rekreasi Muara Sungai Pinang berdasarkan kelulusan Peruntukan Pembangunan Negeri yang diperolehi pada 2019 bernilai RM60,000.00. Manakala untuk tindakan jangka masa panjang, skop pengindahan akan diambilkira di dalam RTB Sungai Pinang yang melibatkan Taman Rekreasi Muara Sungai Pinang dan juga lain-lain kawasan sepanjang jajaran Sungai Pinang.

95.    Yang Berhormat Penanti ada membangkitkan soalan berkaitan apakah tindakan sementara oleh JPS untuk selesaikan isu pengkajian semula Projek Tebatan Banjir Permatang Rawa?

96.    Sebagai makluman Yang Berhormat, JPS sedang meneruskan kerja-kerja pembinaan di kawasan hilir sungai (downstream) iaitu di CH3000 hingga CH4220 untuk melebarkan lagi saluran sungai sedia ada. Manakala bagi kolam takungan di kawasan hulu sungai (upstream) pula ianya sedang direkabentuk bagi tujuan mengurangkan lagi risiko banjir di Kampung Tanah Liat dan Taman Guru. Manakala tindakan jangka masa pendek yang telah dilaksanakan oleh pihak JPS bagi mengurangkan masalah banjir adalah melaksanakan kerja pengorekan enapan dan mendalamkan sungai.

97.    Yang Berhormat juga memohon Kerajaan Negeri memberi peruntukan khas untuk pelaksanaan kerja pembaikan tebing Sungai Permatang Rawa.

98.    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Pulau Pinang telah pun mengemukakan permohonan bagi peruntukan yang dimaksudkan ini di bawah senarai kerja-kerja kecemasan akibat kejadian banjir yang berlaku pada Oktober 2019 di beberapa daerah di Pulau Pinang. Permohonan telah dihantar kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kewangan Negeri pada 1 November 2019 dan sepertimana saya memaklumkan Dewan tadi, peruntukan berkenaan telah pun diluluskan.

99.    Yang Berhormat Penanti membangkitkan bahawa terdapat cadangan-cadangan untuk membuat kolam takungan air di Sungai Kulim sebelah Kedah untuk mitigasi banjir di kawasan Penanti dan memohon status pelaksanaannya. Yang Berhormat Machang Bubuk juga ada bertanya soalan yang berkait.

100. Sebagai makluman Yang berhormat, cadangan untuk membina kolam takungan ini akan dipertimbangkan di dalam Kajian Keberkesanan Penyelesaian Banjir Jangka Panjang Di Negeri Pulau Pinang Termasuk Daerah Kulim dan Bandar Baharu di Negeri Kedah yang dijangka pelantikan perunding pada tahun 2020. Selain itu, satu kajian di bawah Integrated River Basin Management (IRBM) Sungai Perai sedang dilaksanakan dengan mengambilkira kawasan tadahan di Kulim, Kedah. Kajian tersebut juga merangkumi aspek banjir dan mitigasi yang akan dicadangkan oleh perunding.

101.  Yang Berhormat Permatang Pasir mohon projek tebatan banjir di Permatang Pasir diselesaikan.

102.  Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Tebatan Banjir Permatang Rawa merupakan projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di KADUN Permatang Pasir. Selain daripada itu, kawasan Permatang Pasir juga termasuk dalam salah satu cadangan RTB Sungai Perai di bawah senarai RTB RM1.5 bilion Persekutuan. Projek ini akan dimohon di bawah permohonan peruntukan persekutuan RMK-12 yang akan diangkat melalui JPS Malaysia.

103.  Yang Berhormat Bayan Lepas memohon agar pelaksanaan RTB Bayan Lepas dapat dipercepatkan.

104.  Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya ingin melaksanakan kesemua projek yang dirancang pada kadar segera. Namun pelbagai faktor termasuk pematuhan prosedur perolehan dan pertimbangan yang terbaik mesti diambil kira. Bagi mengurangkan impak banjir di lembangan Sungai Bayan Lepas, langkah jangka panjang yang diambil oleh JPS adalah pelaksanaan RTB Sungai Bayan Lepas di kawasan hilir (downstream) sungai. Status projek ini adalah dalam penyediaan laporan akhir dan dokumen tender. Jangkaan iklan tender Pre-Qualification (Pre-Q) adalah dalam bulan November 2019. Projek ini akan mengambil kira pengurangan impak banjir di Kampung Binjai dan sebahagian Kampung Seronok. Manakala sebagai tindakan jangka masa sederhana JPS telah mengambil insiatif dengan menaiktaraf tebing di hulu Sungai Bayan Lepas sepanjang 850m dengan menggunakan pelbagai sumber seperti Peruntukan Pembangunan Negeri, Caruman Perparitan dan peruntukan Persekutuan dengan jumlah sebanyak RM482,591.00 bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan hulu Sungai Bayan lepas yang melibatkan Pekan Bayan Lepas, Kampung Kolam Ikan, Kampung Baruh dan sebahagian Kampung Seronok.

105.  Yang Berhormat Bagan Dalam menyuarakan harapan agar  peruntukan tebatan banjir pada tahun hadapan disalurkan ke RTB Sungai Nyior.

106.  Untuk makluman Yang Berhormat, bagi RTB Sungai Nyior, perunding reka bentuk terperinci akan dilantik pada Disember 2019 menggunakan peruntukan caruman perparitan, dan kajian tersebut dijangka siap pada Disember 2020. Sekiranya diluluskan peruntukan dalam RMK12, adalah dijangka pembinaan fizikal setelah proses tender dijangka dimulakan pada pertengahan 2021.

Pembetungan

Tuan Yang Dipertua,

107.  Yang Berhormat Bukit Tambun ada membangkitkan berkenaan perlunya loji kumbahan berpusat di Perkampungan Valdor.

108.  Sebagai makluman Yang Berhormat, Perkampungan Valdor terletak di bawah kawasan tadahan Jawi (Sungai Bakap). Berdasarkan maklumat Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), buat masa ini Perkampungan Valdor menggunakan sistem palong (pour flush) berkapasiti 870 Penduduk Setara (PE) dengan bilangan rumah sebanyak 174 buah. Terdapat 17 buah loji setempat dan sebuah stesen pam sedia ada yang memberikan perkhidmatan pembetungan di dalam kawasan tadahan Jawi (Sungai Bakap).

109.  JPP mendapati tiada keperluan buat masa ini untuk Loji Rawatan Berpusat dilaksanakan di Perkampungan Valdor memandangkan pertumbuhan pembangunan yang agak kurang dan kebanyakannya adalah kawasan perkampungan, perladangan dan hutan. Sehubungan dengan itu, pihak JPP berpendapat kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) perlu dibuat terlebih dahulu bagi perancangan jangka masa panjang untuk penyediaan sistem pembetungan di kawasan ini termasuk mengenal pasti kawasan untuk pembinaan loji. Berdasarkan rekod aset pihak JPP, terdapat kira kira 62 loji rawatan kumbahan pelbagai sistem di dalam kawasan Bukit Tambun yang beroperasi dan diselenggarakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) pada masa ini.

Bekalan Air

Tuan Yang Dipertua,

110.   Yang Berhormat Machang Bubuk membangkitkan soalan adakah sungai-sungai yang merupakan sumber bekalan air juga akan diwartakan kerana didapati ada sungai-sungai yang melalui kawasan persendirian? Yang Berhormat juga bertanyakan soalan sama ada perwartaan kawasan tersebut melibatkan implikasi kewangan seperti kos pengambilan tanah dan berapakah kos pengambilan tanah yang terlibat.

111.   Untuk makluman Yang Berhormat, sememangnya sungai-sungai yang merupakan sumber bekalan air sudah pun diwartakan di bawah Enakmen Pembekalan Air Negeri Pulau Pinang 1998. Namun begitu, yang diwartakan hanya bahagian sungai yang berada dalam kawasan tadahan. Contohnya hulu Sungai Air Itam dan Sungai Air Putih yang berada di dalam lingkungan kawasan tadahan Empangan Air Itam diwartakan di bawah Enakmen manakala kawasan hilirnya tidak. Walau bagaimanapun, sungai-sungai tersebut masih perlu dipelihara dan dilindungi di sepanjang jajarannya oleh jabatan-jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar dan JPS menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Bagi menjawab soalan kedua, tiada kos yang terlibat dengan pewartaan tanah-tanah persendirian, namun akan ada kos sekiranya pengambilan balik tanah dilakukan.

112.  Yang Berhormat Penanti membangkitkan permohonan agar Kerajaan Negeri membayar bil elektrik untuk mengepam air ke dalam Empangan Mengkuang dari Sungai Kulim.

113.  Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah meletakkan beberapa syarat kepada Kementerian Air, Tanah & Sumber Asli (KATS) sebelum penyerahan Empangan Mengkuang kepada Kerajaan Negeri. Salah satu daripada syarat tersebut adalah untuk pihak Kementerian menanggung kos pengepaman dari Sungai Kulim melalui Rumah Pam Mak Sulong ke Empangan Mengkuang sehingga paras 55m. Syarat ini telah pun dipersetujui oleh pihak Kementerian. Oleh itu, pihak Kementerian sewajarnya menanggung kos bil elektrik terlibat selagi paras takungan di Empangan Mengkuang belum mencapai paras 55m.

114.  Yang Berhormat Penanti juga membangkitkan permohonan agar peruntukan tambahan diberikan agar Rumah Pam Mak Sulong boleh berfungsi untuk membawa lebihan air dari Sungai Kulim ke Empangan Mengkuang apabila paras sungai melebihi tiga 3m.

115.  Sebagai makluman Yang Berhormat, projek menaiktaraf Rumah Pam Mak Sulong adalah sebahagian daripada projek pembesaran Empangan Mengkuang. Ianya dibina untuk mengepam air dari Sungai Kulim ke Empangan Mengkuang. Berdekatan muka sauk sedia ada Rumah Pam Mak Sulong ini adalah empangan jajar (barrage) JPS untuk mengawal paras air Sungai Kulim bagi tujuan pengairan sawah padi. JPS juga telah menetapkan bahawa pengepaman dari Rumah Pam Mak Sulong hanya boleh dilaksanakan apabila paras Sungai Kulim melebihi 4.6m. Paras tertinggi barrage ini adalah 4.8m dan air akan melimpah ke hilir sungai sekiranya paras air melebihi had ini. Penetapan ini adalah khusus semasa musim penanaman padi.

116.  Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) telah mengoperasi Rumah Pam Mak Sulong semenjak 16 Oktober 2018 untuk mengepam air Sungai Kulim ke Empangan Mengkuang. Namun demikian, pihak PBA tidak dapat mengoperasikannya semenjak 16 September 2019 disebabkan kerosakan pada sistem pengepaman. Perkara ini telah dilaporkan kepada pihak KATS dan kontraktor semenjak 26 September 2019 semasa lawatan tapak bersama, tetapi perkara ini belum lagi diperbaiki kerana perlu mendapatkan alat ganti yang dijangka mengambil tempoh sehingga 12 minggu. Untuk makluman, paras Empangan Mengkuang setakat 6 November 2019 adalah 49.03m, bersamaan dengan kapasiti sebanyak 71.9%.

Ops Lumpur

Tuan Yang Dipertua,

117.   Selain daripada banjir kilat, Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa antara isu yang dihadapi, khususnya di kawasan-kawasan berdekatan dengan bukit, adalah masalah banjir lumpur, pencemaran kelodak dalam sungai dan sistem perparitan, serta runtuhan cerun dan tembok penahan cerun.

118.   Seringkali, kebanyakan masalah ini berpunca daripada pelaksanaan kerja tanah yang tidak mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (Erosion and Sedimentation Control Plan, ESCP) yang telah diluluskan. Bagi setiap projek pemajuan, jurutera perunding hendaklah mengemukakan reka bentuk ESCP kepada JPS sebagai sebahagian daripada kelulusan pelan kerja tanah di peringkat PBT.

119.   Namun selepas mendapat kelulusan seringkali didapati bahawa ESCP tidak dipatuhi di tapak. Antara ketidakpatuhan yang lazimnya dilakukan adalah:

  1. Kolam takungan dan perangkap kelodak tidak dibina mengikut spesifikasi yang disyaratkan;
  2. Perangkap kelodak tidak diselenggara dengan sempurna;
  3. Kerja-kerja pemotongan cerun dibuat tanpa struktur kawalan;
  4. Pelan kerja tanah tidak dikemukakan kepada PBT dan JPS untuk kelulusan sebelum pelaksanaan kerja; dan
  5. Pembersihan atau pembukaan tanah dalam skala besar tanpa menyediakan pelan kawalan yang mencukupi.

120.  Bagi menangani masalah projek pemajuan yang tidak mematuhi garis panduan dan syarat-syarat kerja tanah yang ditetapkan, Kerajaan Negeri pada tahun 2016 telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Kawalan Hakisan dan Kelodak Negeri Pulau Pinang atau nama ringkasnya Jawatankuasa Ops Lumpur. Jawatankuasa ini bertujuan untuk memastikan semua projek pembangunan dan pemajuan yang dijalankan mematuhi keperluan ESCP yang telah diluluskan semasa permohonan kelulusan kerja tanah.

121.  Antara fungsi Jawatankuasa ini adalah merangka pelan tindakan strategik jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ESCP. Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai pelaksana operasi bersepadu Ops Lumpur yang membuat lawatan mengejut ke tapak-tapak pembinaan di seluruh negeri Pulau Pinang. Bagi makluman Dewan yang mulia ini, pada tahun 2017 operasi bersepadu Ops Lumpur telah dilakukan sebanyak enam (6) kali. Daripada enam (6) operasi ini, ketidakpatuhan telah berlaku di empat (4) projek. Pada tahun 2018, kekerapan operasi bersepadu telah ditingkatkan sebanyak tiga (3) kali ganda kepada 18 kali. Ketidakpatuhan telah dijumpai di kesemua 18 projek yang dilawat. Pada tahun 2019, setakat bulan Oktober, sebanyak 66 operasi bersepadu Ops Lumpur sudah pun dilakukan, iaitu lebih tiga kali ganda tahun 2018. Operasi bukan sahaja dilakukan ke atas projek swasta tetapi ke atas projek kerajaan juga, baik Negeri mahupun Persekutuan. Daripada 66 operasi, ketidakpatuhan dikenal pasti di 55 projek.

Tahun Bilangan Operasi Ketidakpatuhan
2017 6 4
2018 18 18
2019  (setakat Oktober) 66 55

Jadual 2: Statistik operasi bersepadu Ops Lumpur

122.  Statistik di atas menunjukkan bahawa daripada jumlah 90 projek yang dilawat, 77 mempunyai ketidakpatuhan. Dalam erti kata lain, 85% daripada projek-projek pembinaan tidak mematuhi syarat-syarat ESCP yang telah dikemukakan oleh jurutera perunding sendiri. Ini adalah perkadaran (proportion) yang amat tinggi. Maka tidak hairanlah apabila aduan banjir lumpur sering diterima. Malah, ketidakpatuhan ESCP yang serius juga boleh mengakibatkan tanah runtuh di tapak pembinaan.

123.  Jelas kelihatan juga walaupun operasi bersepadu telah ditingkatkan dengan ketara, perkadaran ketidakpatuhan ESCP masih tidak menurun. Ini menunjukkan pihak pemaju dan jurutera perunding seolah-olah bersikap tindak endah terhadap keperluan untuk mematuhi ESCP. Saya percaya sikap ini berlaku kerana tindakan susulan atau penalti yang dikenakan adalah terlalu ringan. Selepas ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan yang diambil hanya berbentuk arahan pembaikan ataupun arahan henti kerja. Dari segi penalti yang berbentuk denda, MBPP tidak mempunyai peruntukan kompaun manakala MBSP pula hanya mempunyai peruntukan kompaun sebanyak RM250. Tidak hairanlah apabila pihak pemaju dan jurutera perunding hanya mengambil perkara ini dengan ringan.

124.  Maka, Jawatankuasa Ops Lumpur telah bermesyuarat untuk mencari jalan bagi mengenakan penalti yang setimpal dengan kesalahan. Setelah membuat tinjauan, Jawatankuasa mendapati bahawa Negeri Selangor telah berjaya melaksanakan penguatkuasaan ESCP dengan berjayanya. Caranya adalah dengan menguatkuasakan kompaun di bawah Seksyen 70A, 71 dan 121 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Kadar kompaun yang dibenarkan pula adalah separuh daripada denda yang diperuntukkan dalam Akta 133. Di Selangor, kompaun yang dikenakan adalah seperti berikut:

Seksyen-seksyen di bawah Akta 133 Kadar Kompaun
Seksyen 70A (1-9)
a) Melaksanakan aktiviti kerja tanah tanpa kelulusan PBT.
b) Melaksanakan kerja tanah tanpa sediakan perangkap kelodak.
c) Gagal selenggara perangkap kelodak.
d) Gagal sediakan perangkap kelodak.
e) Gagal selenggara kolam takungan banjir.
f) Kolam takungan banjir tidak mematuhi pelan lulus.
g) Gagal mengawal dan mengambil langkah wajar bagi menghalang hakisan tanah dari terus berlaku.
Tidak melebihi RM25,000.00 bagi setiap kesalahan.
Seksyen 71(a)
a) Gagal selia tapak hingga menyebabkan tebing cerun yang dibentuk runtuh.
b) Gagal selia tapak hingga menyebabkan tembok penahan cerun yang disediakan runtuh.
c) Gagal selia tapak hingga mendapan tanah memasuki sungai berhampiran serta menyebabkan banjir lumpur.
d) Gagal selia tapak hingga mendapan tanah memasuki sistem perparitan utama dan menyebabkan banjir lumpur.
Tidak melebihi RM250,000.00 bagi setiap kesalahan.
Seksyen 121
a) Gagal memohon permit laluan jalan keluar masuk sementara.
b) Gagal selenggara parit awam sedia ada yang disebabkan mendapan tanah dari tapak pembangunan.
c) Gagal selenggara simpanan jalan awam.
d) Gagal sediakan papan tanda kawalan lalulintas dengan secukupnya.
Tidak melebihi RM5,000.00 bagi setiap kesalahan.

Jadual 3: Kadar kompaun bagi kesalahan di bawah Akta 133 di negeri Selangor

125.  Daripada statistik yang dikongsi oleh salah satu PBT di Selangor, secara purata nilai kompaun yang dikutip sejak pelaksanaan kompaun-kompaun ini adalah lebih kurang RM500 ribu setahun. Dengan 12 PBT di Selangor, boleh dibayangkan berapa banyak jumlah kompaun yang dapat dikutip dari seluruh negeri. Pada masa yang sama, statistik di Negeri Selangor juga menunjukkan trend menurun dari segi bilangan kompaun yang dikeluarkan setelah dikuatkuasakan sejak tahun 2005. Ini bermaksud bahawa ketidakpatuhan sudah berkurang kerana pihak pemaju dan jurutera perunding di Selangor lebih peka dan patuh kepada keperluan ESCP ini.

126.  Sukacita saya maklumkan di Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hasrat yang sama, iaitu untuk menguatkuasakan kompaun di bawah Akta 133. Justeru, setelah melalui proses bengkel bersama semua agensi yang terlibat, satu kertas kerja untuk meminda Undang-undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan-kesalahan) Jalan, Parit dan Bangunan 1980 di bawah Akta 133 sudah pun disediakan dan bakal dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa yang terdekat. Sekiranya diluluskan, kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 70A, 71 dan 121 Akta 133 akan menjadi kesalahan yang boleh dikompaun dengan kadar seperti yang diperuntukkan, iaitu sehingga RM25,000.00 bagi kesalahan di bawah Seksyen 70A, RM250,000.00 bagi Seksyen 71 dan RM5,000.00 bagi Seksyen 121.

127.  Tambahan kepada itu, Jawatankuasa juga mencadangkan agar satu unit khas di setiap PBT ditubuhkan bagi mengendalikan penguatkuasaan undang-undang ini. Kepada semua pemaju dan jurutera perunding di Pulau Pinang, ambillah ucapan ini sebagai satu saranan. Sekiranya masih lagi tidak mematuhi ESCP dan gagal menunaikan syarat-syarat di bawah kelulusan pelan kerja tanah, denda yang berat akan menanti.

Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

128.  Saya amat bersetuju dengan pandangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Air Putih tentang sektor pembangunan ekonomi digital yang perlu diutamakan agar dapat memperkasakan pelbagai sektor di Negeri Pulau Pinang khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Pengukuhan ekonomi digital ini bukan sahaja menjadi perkara asas dalam pelaksanaan inisiatif negeri pintar, malah sekaligus dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan.

129.  Sebagai makluman Yang Berhormat, penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu. Hal ini dapat dilihat dengan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri kedua terbaik di dalam Malaysia selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100penduduk di Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 140.6% iaitu melebihi kadar nasional 127.7% manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 11.7%, melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 8.1%.

Tuan Yang Dipertua,

130.  Walaupun laporan prestasi ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, namun Kerajaan Negeri amat komited untuk menambah baik lagi dengan merangka Pelan Induk Kesalinghubungan Negeri Pulau Pinang atau Penang Connectivity Master Plan (PCMP) yang merangkumi aspek pembangunan infrastruktur telekomunikasi, pengurusan tadbir urus yang lebih cekap dan peningkatan kesedaran awam terhadap pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang.

131.  Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan kesemua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan MCMC dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia dengan ketersediaan penuh jalur lebar bertaraf gigabit. Kerjasama dalam merealisasikan PCMP ini adalah yang pertama dalam sejarah industri telekomunikasi negara dengan hasrat memacu aspirasi Kerajaan Negeri ke arah konsep negeri pintar.

132.  Seterusnya, izinkan saya memberi maklumbalas kepada kenyataan Yang Berhormat Jawi yang menyentuh mengenai pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G di Negeri Pulau Pinang yang mencadangkan agar PBT menentukan kawasan yang sesuai untuk memasang menara atau stuktur pemancar telekomunikasi.

133.  Untuk makluman Yang Berhormat, pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G ini adalah persediaan sebelum teknologi 5G dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak syarikat penyedia perkhidmatan dan infrastruktur yang akan membangun, menambah baik serta menguji kes penggunaan (use case) di kawasan-kawasan yang dicadangkan.

134.  Selain itu, pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G ini melibatkan komitmen lapan (8) buah syarikat seperti Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd dengan membuat pelaburan awal yang bernilai RM116 juta. Oleh itu, tiada keperluan untuk PBT membuat cadangan lokasi pembinaan menara dan struktur yang baharu.

135.  Pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G ini juga adalah salah satu komponen utama dalam menjayakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) yang diaspirasikan Kerajaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

136.  Dalam hasrat Kerajaan Negeri menerajui teknologi IndustrialRevolution (IR) 4.0, pembangunan infrastruktur telekomunikasi adalah faktor utama bagi memastikan jaringan telekomunikasi yang mampan untuk memacu sektor perindustrian dan perkhidmatan di Negeri Pulau Pinang.  Namun sepertimana  semua sedia maklum, terdapat segelintir rakyat yang membantah pembinaan infrastruktur telekomunikasi yang berdekatan dengan kawasan-kawasan kediaman. Ini mungkin berlaku kerana berlaku salah faham dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang masih tidak mengetahui fakta-fakta sebenar berkenaan sinaran yang dikeluarkan oleh menara-menara pemancar telekomunikasi.

137.  Menurut MCMC, struktur pemancar telekomunikasi yang dibina adalah selamat dan tidak mengancam kesihatan penduduk sekitar serta mematuhi garis panduan World Health Organization (WHO) dan International Committee on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP). MCMC turut menambah bahawa kedua-dua agensi pakar mengenai keselamatan dan kesihatan radiasi, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Nuklear Malaysia, telah menjalankan pelbagai kajian berkenaan radiasi pemancar telekomunikasi di Malaysia dan hasil kajian adalah selari dengan WHO dan ICNIRP.

138.  Malah, sebanyak 24,0000 kajian mengenai kesan radio frequency (RF)  dan electromagnetic field (EMF) oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi telah dibuat sepanjang 30 tahun oleh para saintis di seluruh dunia. Berdasarkan kepada itu, pihak WHO telah merumuskan bahawa kajian-kajian yang telah dilaksanakan tersebut telah membuktikan bahawa pendedahan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi tidak menjejaskan kesihatan manusia.

139.  Fakta ini turut disokong oleh KKM yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan risiko radiasi terhadap kesihatan dengan struktur pemancar telekomunikasi. Menurut Agensi Nuklear Malaysia pula, sinaran yang dikeluarkan oleh struktur pemancar telekomunikasi dikategorikan sebagai sinaran tidak mengion (non-ionizing radiation). Dalam erti kata lain, sinaran ini bertenaga rendah dan tidak boleh menyebabkan pengionan (ionization) dalam badan manusia dan langsung tiada kaitan dengan sinaran radioaktif.

140.  Sehubungan dengan itu, satu Standard Operating Procedure (SOP) Bantahan Penduduk Terhadap Struktur Pemancar Telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang sedang dirangka untuk mengendalikan aduan-aduan yang diterima. Pelaksanaan SOP ini bertujuan untuk memperkemas dan menambah baik proses pembangunan infrastruktur telekomunikasi berikutan wujudnya bantahan penduduk setempat. Secara amnya, aduan-aduan yang diterima akan dikaji dan tindakan akan diambil berdasarkan bukti yang disahkan oleh agensi kerajaan atau doktor pakar bertauliah, dan bukan sekadar ketakutan yang tidak berasas.

141.  Akhir kata, Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan ketersediaan Negeri Pulau Pinang untuk menghadapi cabaran dunia abad ke-21, termasuk penyertaan dalam ekonomi digital, penerimaan IR4.0 serta capaian kepada teknologi terbaru seperti 5G.

Tuan Yang Dipertua,

142.  Yang Berhormat Bayan Lepas memohon agar Kerajaan Negeri membuat susulan berkaitan permohonan satu peti surat baharu di kawasan Taman Perda, Tingkat Teluk Kumbar 4, Teluk Kumbar.

143.  Walaupun perkara ini bukanlah di bawah seliaan saya, tetapi saya akan membantu membuat susulan secara bertulis kepada POS Malaysia memandangkan bangunan pejabat pos di Bayan Lepas telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pelebaran jalan FT006.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

144.  Adalah menjadi impian agar Negeri Pulau Pinang membangun maju dengan infrastruktur yang efisyen dan lestari bagi keselesaan rakyat Pulau Pinang. Justeru Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dengan gigih melalui pelbagai platform untuk memastikan pembangunan infrastruktur terbaik selaras dengan gagasan Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara bagi menyediakan kehidupan yang selesa dan berdaya huni kepada rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan sebarang perancangan projek infrastruktur. Semoga dengan kerjasama yang erat di antara semua pihak, Negeri Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

145.  Bagi mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan serangkap pantun yang berbunyi:

Pulau Pinang pulau mutiara,
Negeri indah tumpuan semua,
Naiktaraf infra fokus utama,
Agar rakyat hidup sejahtera,

Perubahan iklim dugaan dunia,
Cuaca kini sukar diduga,
Perancangan dan kajian kian dilaksana,
Sokongan dan kesabaran dihargai jua.

146.  Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s