Kempen Kesedaran Awam Keselamatan Lintasan Pejalan Kaki

George Town, 17 Januari 2020

Berikutan projek perintis kajian penggunaan garisan zig-zag di lintasan pejalan kaki di hadapan bangunan Malaysian Buddhist Association di Jalan Burmah, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), jelas terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan lintasan pejalan kaki.

Hasil kajian mendapati antara lainnya pengetahuan dan pemahamam orang ramai mengenai garisan zig-zag perlu dipertingkatkan. Menurut laporan Buletin Mutiara pada 30 Oktober 2019 bertajuk Need to raise public awareness of ‘zigzag lines’,[1] orang ramai yang tinggal dan bekerja berdekatan dengan lintasan pejalan kaki yang mempunyai garisan zig-zag tersebut mengalu-alukan pelaksanaan garisan zig-zag tersebut. Namun demikian, ramai berpendapat bahawa kesedaran awam mengenai garisan zig-zag masih kurang kerana konsep ini masih lagi baharu kepada warga Malaysia walaupun garisan zig-zag luas digunakan di negara lain.

Sebagai langkah pertama untuk mengarusperdanakan garisan zig-zag projek perintis penggunaan garisan zig-zag di lintasan pejalan kaki akan diperluaskan. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengenalpasti lima lintasan pejalan kaki sedia ada untuk memperkenalkan garisan zig-zag. Lokasi lima lintasan pejalan kaki adalah seperti berikut:

Lebuh LightDi hadapan Dewan Undangan Negeri
Lebuh PantaiBerdekatan persimpangan Lebuh Bishop
Jalan Kampung KolamBerdekatan persimpangan Jalan Masjid Kapitan Keling
Jalan PenangBerdekatan persimpangan Lebuh Chulia
Persiaran GurneyBerdekatan Anjung Gurney
Jadual: Lokasi lintasan pejalan kaki di mana garisan zig-zag akan diperkenalkan.

Kekurangan kesedaran mengenai garisan zig-zag di lintasan pejalan kaki juga akan diatasi dengan tiga video pendidikan awam yang akan disebarkan melalui media sosial dengan pelancaran video pertama bertajuk Lifetime Waiting pada hari ini. Dua video lagi akan dilancarkan pada bulan Februari dan Mac, masing-masing.

Ketiga-tiga video tersebut juga akan ditayangkan di 3 pawagam TGV di Pulau Pinang iaitu di Gurney Paragon Mall, 1st Avenue Mall dan Bukit Mertajam sebelum filem bermula sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara percuma.

Dengan langkah-langkah tambahan ini, adalah diharapkan bahawa keselamatan lintasan pejalan kaki dapat dipertingkatkan. Kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan inisiatif ini seperti MBPP, MIROS, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), TGV Cinemas dan ImageFarm amat dihargai.

Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang


[1] https://www.buletinmutiara.com/need-to-raise-public-awareness-of-zigzag-lines/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s