Pewartaan Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan Di Bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan

George Town, 13 Ogos 2020

Bagi membendung masalah yang berkait dengan kerja tanah di tapak-tapak pembinaan seperti banjir lumpur, pencemaran kelodak dalam sungai dan sistem perparitan, serta runtuhan cerun dan tembok penahan cerun, sejak tahun 2018 Kerajaan Negeri telah mengarahkan peningkatan kekerapan operasi bersepadu Ops Lumpur yang bertujuan untuk memantau kepatuhan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (Erosion and Sedimentation Control Plan, ESCP) yang telah diluluskan di tapak-tapak pembinaan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Bilangan Ops Lumpur yang telah dilakukan dari tahun 2017 hingga 2019 adalah seperti berikut:

TahunBilangan OperasiKetidakpatuhan
201764
20181818
20197760

Walaupun kekerapan operasi telah ditingkatkan lebih 12 kali ganda berbanding dua tahun sebelumnya, namun kadar ketidakpatuhan masih lagi tinggi, iaitu lebih kurang 78%. Daripada 77 operasi yang dilakukan pada tahun 2019, ketidakpatuhan telah dikenal pasti sebanyak 60 kali.

Antara sebab kadar ketidakpatuhan yang tinggi adalah penalti yang terlalu ringan. MBPP tidak mempunyai peruntukan kompaun bagi kesalahan-kesalahan tersebut manakala MBSP pula hanya mempunyai peruntukan kompaun sebanyak RM250. Maka tidak menghairankan apabila pihak pemaju dan jurutera perunding tidak mengambil berat kepatuhan pelan ESCP.

Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meminda Undang-undang Kecil Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bagi mengenakan kompaun yang berat bagi ketidakpatuhan garis panduan kerja tanah.

Setelah melalui beberapa sesi bengkel dan libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dari negeri Selangor, ditambah pula dengan kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan sejak bulan Mac tahun ini, undang-undang ini telah berjaya diwartakan pada 2 Julai 2020.

Undang-undang kecil yang baru digubal untuk tujuan penguatkuasaan ESCP ini melibatkan tiga (3) seksyen di bawah Akta 133 iaitu Seksyen 70A, 71 dan 121. Maka dengan pewartaan ini peruntukan kompaun baharu adalah seperti berikut:

Seksyen di bawah Akta 133Kadar kompaun
Seksyen 121 Tidak patuh dengan kehendak notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan.Tidak kurang daripada RM1,500 dan tidak melebihi RM5000 untuk setiap kesalahan.
Seksyen 70A Menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran bertulis Pihak Berkuasa Tempatan atau tidak mengikuti Pelan Kerja Tanah yang diluluskan.Tidak kurang daripada RM7,500 dan tidak melebihi RM25,000 untuk setiap kesalahan.
Seksyen 71 Gagal menyelia tapak sehingga menyebabkan keruntuhan cerun atau tembok penahan.Tidak kurang daripada RM75,000 dan tidak melebihi RM250,000 untuk setiap kesalahan.

Pewartaan undang-undang kecil ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menguatkuasakan pematuhan garis panduan kerja tanah secara ketat di semua projek pemajuan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memberi tempoh tenggang sehingga ke akhir bulan ini dan akan memulakan tindakan kompaun ke atas ketidakpatuhan bermula 1 September 2020.

Dengan penguatkuasaan undang-undang kecil ini, semua pemaju dan jurutera perunding disaran agar mengambil berat mengenai pematuhan pelan ESCP di setiap tapak pembinaan dan bekerjasama bagi mengelak berlakunya banjir lumpur, pencemaran sungai dan juga kemalangan-kemalangan yang boleh dielakkan.

Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s