Projek Tebatan Banjir Berkonsepkan Green Solution Di Sungai Air Terjun

George Town, 25 Ogos 2020

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum aduan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang mengenai pelaksanaan projek tebatan banjir dan pemuliharaan sungai di Sungai Air Terjun, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Menurut aduan tersebut, kerja-kerja yang sedang dijalankan akan merosakkan khazanah semula jadi di samping meningkatkan risiko hakisan tanah di tebing sungai serta mengakibatkan banjir di kawasan hilir. Mereka juga mempersoalkan kaedah pengorekan yang dilakukan serta sama ada libat urus telah diadakan bersama pihak-pihak berkepentingan.

Pertama sekali, kerja-kerja ini bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir di hilir Sungai Air Terjun dan Sungai Pinang. Skop kerja termasuk pengorekan dasar sungai sedalam 0.6 meter, pelebaran sungai mengikut lebar asal serta pengukuhan tebing sungai dengan menggunakan kaedah riprap.

Projek yang dilaksanakan pada tahun ini (2020) adalah sambungan projek yang telah dilaksanakan pada tahun 2019 untuk mengurangkan risiko banjir (Rajah 1) dengan meningkatkan isipadu simpanan air sungai. Skop projek pada tahun 2019 merangkumi pembinaan weir di Sungai Air Terjun, pengukuhan tebing, pelebaran dan pendalaman sungai. Selepas pelaksanaan kerja-kerja ini, keamatan banjir telah berkurangan di kawasan yang terbabit.

Perancangan jangka masa panjang pula adalah untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan rekreasi yang dapat menarik minat penduduk setempat untuk beriadah dengan mewujudkan wetland dan denai sungai (river trails) bagi pejalan kaki di fasa-fasa akan datang.

Sebagai langkah awal, Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang telah meneliti kaedah-kaedah untuk memperkukuhkan tebing sungai selepas kerja mendalamkan dasar sungai tersebut. Kaedah lapisan riprap (batu-batuan) sepanjang tebing telah dikenal pasti sebagai kaedah terbaik dengan mengambil kira faktor-faktor geologi tebing di kawasan tersebut (Rajah 2).

Bagi makluman, pengukuhan tebing dengan kaedah riprap adalah satu jenis green solution atau kaedah yang mesra alam, dan bukanlah grey solution yang menggunakan konkrit. Ia juga merupakan kaedah yang paling sesuai dengan keadaan sungai yang berliku. Malahan, batu-batuan yang digunakan untuk riprap merupakan bahan semula jadi dan selari dengan persekitaran Taman Botani. Adalah dijangka selepas siap kerja tersebut, lapisan riprap tersebut akan dilitupi dengan rumput dan pokok renek yang menjalar. Ini akan mencantikkan tebing tersebut seperti mana yang telah berlaku di Sungai Ara di mana kaedah yang sama telah dilaksanakan (Rajah 3).

Projek ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani masalah banjir yang dihadapi rakyat dengan menggunakan kaedah-kaedah yang lebih mampan dan mesra alam selaras dengan konsep green solution. Pada masa yang sama, pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Taman Botani telah pun dimaklumkan mengenai pelaksanaan projek tersebut. Maka, tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pihak pembangkang adalah tidak berasas dan mempertikaikan usaha murni Kerajaan Negeri.

Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang

Rajah 1: Kejadian banjir pada tahun 2018
Rajah 2: Pengukuhan tebing Sungai Air Terjun dengan kaedah riprap
Rajah 3: Penggunaan kaedah riprap di Sungai Ara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s