Ucapan Penggulungan Belanjawan 2021

Tuan Yang Dipertua,

1.      Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu di bawah portfolio Infrastruktur dan Pengangkutan untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

2.      Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan (frontliners), penjawat-penjawat awam, para sukarelawan serta semua pihak yang sama ada secara langsung atau tidak langsung telah berganding bahu untuk menghadapi dan mengatasi pandemik wabak Covid-19 yang kian melanda seluruh dunia termasuk negara kita Malaysia dan Negeri Pulau Pinang. Harapan saya agar kita semua kekal kuat dan tabah serta terus mengamalkan dan mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tuan Yang Dipertua,

3.      Tiada negara yang dapat lari daripada kesan penularan wabak Covid-19. Akibatnya, ekonomi sedunia dijangka akan mengalami penguncupan yang ketara. Pulau Pinang juga tidak terkecuali dan ekonomi kita yang berteraskan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan sudah tentu terkesan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk meneliti dan merancang strategi untuk memulihkan ekonomi dengan menubuhkan Penang Socio-Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) pada 13 Mei 2020 yang bertindak sebagai badan penasihat kepada Kerajaan Negeri dalam perangkaan strategi pembangunan sosio-ekonomi.

4.      Berlandaskan perkara ini, satu Jawatankuasa Kerja Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan telah diwujudkan untuk meneliti isu-isu berkaitan pembangunan sektor infrastruktur termasuk infrastruktur digital dan pengangkutan di Pulau Pinang bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mengurangkan impak negatif kepada sektor ini.

5.      Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai salah satu platform bagi merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mempergiatkan pembangunan dalam sektor ini sejajar dengan inisiatif-inisiatif yang sedia ada mahupun yang baharu.

Kerja Raya

Tuan Yang Dipertua,

6.      Saya ingin menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Dua berkenaan pembinaan jalan susur dari Jalan Sungai Dua ke Nyior Sebatang.

7.      Sebagai makluman Yang Berhormat, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik perunding bagi melaksanakan kajian impak trafik atau Traffic Impact Assement (TIA) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Dua. Susulan daripada itu, cadangan penambahbaikan akan dibentangkan oleh pihak JKR dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 11 November 2020 yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua,

8.   Saya beralih pula kepada soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Tambun, bermula dengan permohonan untuk menaik taraf jalan-jalan utama di kawasan Seberang Perai.

9.      Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JKR sentiasa berusaha memperbaiki jalan-jalan demi keselamatan pengguna jalan raya. Pihak JKR juga telah mengenal pasti jalan-jalan Persekutuan dan Negeri untuk dinaik taraf. Antara cadangan penaiktarafan jalan yang telah dimohon menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah seperti berikut:

  1. Menaik taraf Laluan Persekutuan FT001 dari Persimpangan Permatang Keling (Sek 720) ke Jambatan di atas Sungai Junjung (Sek 740) Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) (Menaik taraf Jalan dan Persimpangan dari CH6750-CH4800 dan CH3650-CH600 – Fasa B) dengan kos RM248,703,083.00; dan
  2. Cadangan Pelebaran Jalan dan Persimpangan Laluan Persekutuan FT149 dari Persimpangan FT001 sehingga Persimpangan Jalan Kendi, Simpang Ampat, SPS – Fasa 6C dengan kos RM235,000,000.00.

10.    Yang Berhormat juga telah membangkitkan keperluan meneruskan kerja-kerja menaik taraf jalan Persekutuan ke persimpangan Jalan Gemelang berhampiran kompleks V3 setelah pelaksanaan Fasa 5 disiapkan oleh pihak JKR.

11.    Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan FT001 sepanjang 23km di Daerah SPS telah dipecahkan kepada beberapa fasa dengan mengambil kira kawasan-kawasan kritikal seperti di persimpangan yang perlu dinaik taraf terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran trafik sedia ada. Pada masa yang sama, kawasan Nibong Tebal juga merupakan kawasan yang pesat membangun dan menghadapi masalah kesesakan trafik terutamanya di persimpangan USM-FT001. Oleh kerana terdapat keperluan mendesak untuk melebarkan jambatan yang merentasi Sungai Kerian dan untuk menaik taraf persimpangan USM-FT001, pihak JKR telah membuat permohonan susulan dan Projek Menaik Taraf Jambatan Sungai Kerian serta Membina Jejambat Merentasi Sungai Kerian telah pun diluluskan di dalam RMKe-11. Pada masa yang sama, pihak JKR telah memohon sambungan kerja-kerja menaik taraf laluan FT001 dari JPJ Valdor ke Kompleks V3 menerusi RMKe-12.

12.    Berkenaan kerja-kerja menaik taraf jalan di Seberang Perai Selatan (SPS), khususnya di kawasan Valdor, Yang Berhormat Bukit Tambun telah membangkitkan berkenaan isu penyuraian trafik di kawasan Bandar Tasek Mutiara dan mencadangkan untuk menaik taraf Jalan Tasek/Jalan Valdor sebagai Lingkaran Luar Valdor atau Valdor Outer Ring Road.

13.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JKR sedia maklum berkenaan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Tasek/Jalan Valdor, kawasan Bandar Tasek Mutiara, jalan-jalan utama di sekitar Valdor dan Sungai Bakap yang disebabkan oleh pembangunan kawasan industri serta perumahan yang semakin pesat. Pihak JKR pun telah memajukan cadangan untuk menaik taraf rangkaian jalan di sekitar kawasan ini kepada JKR Malaysia dan juga kepada pihak Kerajaan Negeri. Tindakan susulan juga dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan kelulusan peruntukan diperolehi. Di samping itu, cadangan Yang Berhormat untuk mempertimbangkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Tasek/Jalan Valdor sebagai Lingkaran Luar Valdor atau Valdor Outer Ring Road diterima baik. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, suatu laporan TIA sedang disediakan bagi kawasan tersebut dan sekiranya didapati sesuai, maka cadangan jalan lingkaran ini sebagai satu alternatif penyuraian trafik akan diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan Negeri.

14.    Seterusnya, Yang Berhormat Bukit Tambun membangkitkan isu kesesakan trafik yang teruk di sebahagian Jalan Perusahaan Valdor yang disebabkan oleh kerja-kerja naik taraf yang tidak dilaksanakan sepenuhnya di jajaran ini walaupun jambatan merentasi Sungai Jawi telah dibina oleh pihak Penang Development Corporation (PDC).

15.    Untuk makluman Yang Berhormat, kerja-kerja naik taraf Jalan Perindustrian Valdor melibatkan jajaran sepanjang 1.2km dan memerlukan kos yang tinggi. Maka, pihak JKR mencadangkan skop naik taraf Jalan Perindustrian Valdor dimasukkan di bawah projek persimpangan Jalan Persekutuan FT001 dan akan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR).

16.    Merujuk kepada soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Jawi berkenaan isu persimpangan tol Kawi yang sesak, Yang Berhormat telah memaklumkan berkenaan persetujuan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membuat penambahbaikan namun tiada pelaksanaan kerja-kerja tersebut sehingga kini.

17.    Berkenaan isu ini, pihak LLM telah memaklumkan bahawa pihak pengurusan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bercadang untuk menyediakan lorong tambahan bagi aliran masuk ke lebuh raya secara konsep Lane Conversion dengan mengguna pakai teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dijangka dilaksanakan pada Disember 2020. Pada masa yang sama, pihak PLUS telah melaksanakan inisiatif tol secara berlapis pada waktu puncak pagi (AM Peak) bagi membantu melancarkan aliran trafik.

Tuan Yang Dipertua,

18.    Yang Berhormat Bayan Lepas membangkitkan isu masalah trafik di persimpangan Jalan Sungai Batu dan memohon pemantauan oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan ini.

19.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mensyaratkan pemaju-pemaju projek pembangunan baharu di kawasan Teluk Kumbar untuk menaik taraf persimpangan tersebut dan melebarkan sebahagian Jalan Teluk Kumbar. Sebagai maklumat tambahan, kerja-kerja menaik taraf yang melibatkan pelebaran persimpangan Jalan Sungai Batu/Jalan Teluk Kumbar akan disiapkan serentak dengan pembangunan-pembangunan yang terlibat supaya aliran trafik lebih lancar di kawasan ini.

20.    Selanjutnya, Yang Berhormat Pulau Tikus telah membangkitkan permohonan supaya pihak Kerajaan Negeri menyegerakan kelulusan garis panduan berkaitan Universal Design.

21.    Untuk makluman Yang Berhormat, pada ketika ini Pihak Berkuasa Tempatan mengguna pakai MS1184 (Universal Design and Accessibility in the Built Environment – Code of Practice) sebagai panduan dan rujukan bagi semua pelaksanaan projek pembinaan infrastruktur awam. Kerajaan Negeri komited mempertimbangkan apa-apa garis panduan baharu berkenaan reka bentuk sejagat dan akan menyegerakan kelulusan yang berkaitan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan serta jawatankuasa yang relevan untuk diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi lain di negeri Pulau Pinang.

Tuan Yang Dipertua,

22.    Saya juga ingin menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Tambun berkaitan cadangan untuk menyediakan pelan induk lalu lintas di kawasan Seberang Perai agar tidak hanya tertakluk dan bergantung kepada kajian TIA sahaja.

23.    Sebagai makluman Yang Berhormat, pada ketika ini pihak MBSP telah melantik tiga (3) perunding untuk melaksanakan kajian lalu lintas yang lebih terperinci iaitu di kawasan Sungai Dua dan Pekan Bukit Mertajam serta 44 lokasi kesesakan lain di Seberang Perai. Perancangan pelan induk lalu lintas pula telah dimasukkan ke dalam Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai.

24.    Merujuk pula kepada permohonan Yang Berhormat Penaga untuk menambah baik infrastruktur dan lampu isyarat di simpang tiga Pasir Gebu dan Permatang Tok Labu memandangkan ketiadaan lampu isyarat di kawasan tersebut yang menyebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi dan petang serta sering berlakunya kemalangan.

25.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JKR mengambil maklum perkara ini. Oleh yang demikian, sebagai cadangan jangka masa pendek pihak JKR akan melaksanakan kajian lalu lintas di kawasan berkenaan bagi menentukan keperluan lampu isyarat.

26.    Beralih kepada permohonan menaik taraf jalan dari PUSPAKOM ke Jalan Sungai Batu oleh Yang Berhormat Pulau Betong berikutan penggunaan tinggi jajaran jalan ini terutamanya oleh penduduk dari Balik Pulau dan Sungai Betong.

27.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JKR sedia maklum tentang perkara ini dan telah memohon peruntukan di bawah RMKe-11 (RP4) serta RMKe-12 untuk memohon projek menaik taraf Jalan Teluk Kumbar di bawah tajuk Menaik Taraf Jalan Tunggal 2 Lorong dan Membina Lorong Mendaki Di Laluan Persekutuan 6 Dari Teluk Kumbar (Seksyen 28.0) Ke Pekan Genting Balik Pulau (Seksyen 29.5), Pulau Pinang (2C).

MARRIS

Tuan Yang Dipertua,

28.    Antara sumber pembiayaan bagi penyelenggaraan infrastruktur jalan raya di Negeri Pulau Pinang adalah peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah geran MARRIS (Malaysian Road Records Informationi System). MARRIS ini merupakan satu pangkalan data yang mempunyai maklumat semua jalan-jalan di Malaysia. Peruntukan pula akan disalurkan secara tahunan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan formula yang mengambil kira jumlah panjang serta jenis jalan-jalan di sesebuah negeri.

29.    Sebagai makluman, projek-projek yang dilaksanakan melalui peruntukan MARRIS adalah terbahagi kepada tiga kategori utama seperti berikut:

  1. Penyelenggaraan rutin iaitu secara berjadual bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan seperti kerja-kerja menampal jalan, bahu jalan, perabot jalan (road furniture), pembetung dan jambatan, cerun (semula jadi dan buatan manusia), jejambat, jejantas, pembersihan longkang tepi jalan dan kerja-kerja pemotongan rumput serta kerja-kerja landskap;
  2. Penyelenggaraan berkala iaitu kerja-kerja yang memerlukan pemeriksaan dan penilaian sebelum dilaksanakan contohnya menyelenggara dan menurap semula jalan, mengganti perabot jalan (road furniture), mengecat jalan, mengganti saliran, membaiki cerun, membaiki jambatan dan pembetung yang menghubungkan jalan, menyelenggara persimpangan jalan, menguji ketahanan jalan dan menyelenggara lampu jalan dan lampu isyarat; dan
  3. Penyelenggaraan kecemasan iaitu kerja-kerja luar jangka yang memerlukan tindakan seperti pokok tumbang, tanah atau cerun atau tembok penahan runtuh, jalan mendap, kegagalan benteng, pembetung dan perparitan runtuh, banjir atau lain-lain kerja yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

30.    Bagi makluman Yang Berhormat, jumlah penerimaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Negeri bagi tahun-tahun kebelakangan ini adalah seperti berikut:

TahunPeruntukan Diterima
2016RM107,548,155.01
2017RM110,774,600.05
2018RM114,097,838.00
2019RM183,364,182.00
2020RM200 juta (anggaran)

31.    Sepertimana yang jelas dinyatakan, peningkatan peruntukan MARRIS bagi tahun 2016 hingga 2018 adalah lebih kurang RM3-4 juta setahun. Namun pada tahun 2019, jumlah peruntukan telah meningkat hampir RM70 juta daripada RM114 juta kepada RM183 juta. Pada tahun ini pula, jumlah yang bakal diterima adalah dianggarkan sebanyak RM200 juta.

32.    Peningkatan secara mendadak ini sebenarnya tidak berlaku dengan sendiri. Sebenarnya ia adalah hasil inisiatif Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan projek pencerapan jalan bermula tahun 2019. Skop projek ini merangkumi pengumpulan dan pemprosesan data jalan baharu dan jalan lama serta pendaftaran ke dalam sistem MARRIS. Fasa pertama yang berlangsung pada tahun 2019 telah melibatkan pencerapan sebanyak 500km jalan di kelima-lima daerah. Hasilnya, terdapat pertambahan sebanyak 35.9% atau 201km yang berjaya didaftarkan dalam sistem MARRIS. Fasa kedua sedang dilaksanakan pada tahun ini dan adalah dijangkakan bahawa peruntukan MARRIS dapat ditingkatkan lagi. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada JKR kerana memimpin inisiatif pencerapan jalan ini serta semua agensi yang memberi kerjasama seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri.

Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

33.    Pulau Pinang sememangnya sebuah negeri yang senantiasa berhadapan dengan risiko banjir kilat, lagi-lagilah semasa musim hujan. Risiko ini sukar untuk dielak atas sebab keadaan geografi, faktor pembangunan yang pesat ataupun urbanisation serta perubahan iklim (climate change) yang telah berlaku.

34.    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri senantiasa peka terhadap keperluan untuk menangani masalah banjir kilat yang kerap menyusahkan rakyat. Oleh itu, Kerajaan Negeri sedang dalam proses pembinaan enam (6) Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi di mana empat (4) projek dijangka siap pada awal tahun hadapan, yakni RTB Mak Mandin, RTB Parit 4, RTB Parit 5 dan juga RTB Sungai Nipah. Satu lagi RTB berimpak tinggi iaitu Kolam Takungan Alma akan dimulakan dalam masa terdekat setelah pihak kontraktor menerima surat setuju terima daripada pihak JPS Pulau Pinang.

35.    Selain daripada RTB yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan pelbagai RTB pada tahun 2018 dan 2019 seperti berikut:

ProjekStatus
RTB Sungai Pinang, Daerah Timur LautReka bentuk terperinci
RTB Teluk Kumbar, Daerah Barat DayaPembinaan
RTB Pondok Upeh, Daerah Barat DayaLaporan konsep
RTB Teluk Bahang, Daerah Barat DayaLaporan konsep
RTB Sungai Kechil, Seberang Perai SelatanLaporan konsep
RTB Sungai Dua Besar, Daerah Timur LautLantikan perunding
Kajian Keberkesanan Penyelesaian Banjir Jangka Panjang di Negeri Pulau Pinang termasuk Daerah Kulim dan Bandar Bharu di Negeri KedahLantikan perunding

Tuan Yang Dipertua,

36.    Yang Berhormat Sungai Dua telah memuji keberkesanan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Perai yang mampu meminimakan impak banjir. Beliau menyarankan di masa hadapan agar pihak Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap isu banjir di Sungai Jarak dan pekan Sungai Dua. Selain itu, yang berhormat Sungai Dua juga berhasrat agar RTB turut dipanjangkan ke Sungai Maklom dan sungai-sungai yang berdekatan.

37.    Untuk makluman Yang Berhormat, bagi isu banjir di Sungai Jarak, pihak JPS telah mengemukakan permohonan peruntukan Persekutuan RMKe-12 bagi pelaksanaan RTB Sungai Jarak Fasa 2 sebanyak RM27 juta dan RTB Sungai Maklom sebanyak RM45 juta yang tertakluk kepada kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Mungkin sebagai ahli parti yang berkuasa di peringkat Persekutuan, Yang Berhormat boleh turut membantu untuk mendapat kelulusan.

38.    Sebagai makluman Yang Berhormat juga, isu banjir di pekan Sungai Dua telah dapat dikurangkan setelah Rumah Pam Sungai Pengkalan Machang siap dibina pada Mei 2017 di mana rumah pam ini dapat membantu memberi tahap perlindungan sehingga 50 ARI (average recurrence interval). Mengimbau kembali kejadian banjir yang berlaku pada 4 dan 5 November 2017 di pekan Sungai Dua, ia adalah berikutan kejadian hujan luar biasa di seluruh Negeri Pulau Pinang yang melebihi tahap 100 ARI.

39.    Memandangkan kawasan tadahan Sungai Perai merentasi dua negeri iaitu bahagian hulu sungai bermula di Kedah dan bahagian hilir atau muara sungai berada di Pulau Pinang, maka satu kajian menyeluruh yang melibatkan kedua-dua Negeri Kedah dan Pulau Pinang sedang dilaksanakan oleh JPS Malaysia. Kajian ini juga merangkumi Lembangan Sungai Perai dan dijangka siap pada penghujung tahun 2021. Hasil syor kajian pula akan dirujuk bagi penyediaan permohonan peruntukan Persekutuan RMKe-12 bagi RTB Sungai Perai Fasa 2 dan RTB Sungai Maklom.

40.    Berkaitan isu banjir kilat, Yang Berhormat Bukit Tambun ada membangkitkan isu masalah banjir di kawasan Sungai Bakap, Batu Kawan dan kawasan sekitar dengan memohon pihak JPS menyelesaikan masalah ini.

41.    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JPS telah menerbitkan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam bagi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) pada tahun 2017. Kajian ini telah mengenal pasti isu banjir di kawasan Sungai Bakap dan Batu Kawan serta menggariskan cadangan-cadangan mengurangkan risiko banjir bagi kawasan tersebut. Berdasarkan kepada kajian ini, JPS telah mengemukakan dua cadangan projek tebatan banjir melalui RMKe-12, iaitu RTB Anak Sungai Junjung, SPS dan RTB Sungai Jawi, SPS.

42.    Antara cadangan yang disyorkan oleh kajian yang dijalankan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan Sungai Bakap adalah untuk menaik taraf pembetung oleh JKR; menaik taraf sistem saliran di kawasan Valdor, Taman Sri Aman dan Kampung Titi Hitam; serta membina rumah pam berkapasiti 20m3/s di Sungai Badak Mati. Manakala bagi kawasan Batu Kawan pula adalah dengan menaik taraf rumah pam di Pintu Tanjung Ketupat kepada kapasiti 28.5 m3/s; menaik taraf Pintu Tidal Control Gate; menaik taraf Sungai Simpang Ampat; dan menaik taraf Parit A1.

43.    Seterusnya Yang Berhormat Batu Lanchang memohon pertimbangan pihak Kerajaan Negeri untuk membina dua (2) kolam takungan air jenis vertical tube dan pada masa yang sama mencadangkan agar syarikat perunding dilantik bagi membuat kajian dan penilaian di kawasan Jalan Van Praagh, Jalan Teh Ewe Lim dan Jalan Sir Ibrahim (kawasan kampung).

44.    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS telah pun melantik perunding bagi Kajian Reka Bentuk Terperinci Bagi Cadangan Membina Struktur Takungan Bawah Tanah di Solok Van Praagh, Jelutong pada 9 Oktober 2020. Kajian ini akan mengenal pasti kesesuaian lokasi bagi pembinaan struktur takungan bawah tanah yang dapat mengurangkan kekerapan banjir di Solok Van Praagh dan persimpangan Jalan Sir Ibrahim/Jalan Van Praagh. Kajian ini turut akan mengenal pasti punca serta syor penyelesaian bagi banjir di kawasan Jalan Teh Ewe Lim kepada agensi bertanggungjawab yang berkaitan.

Tuan Yang Dipertua,

45.    Yang Berhormat Sungai Dua juga menyarankan agar kekosongan kakitangan sokongan JPS dapat dipenuhi bagi memudahkan kerja-kerja yang dihadapi di setiap daerah.

46.    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Pulau Pinang melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) pernah mengemukakan permohonan penstrukturan semula jawatan pada tahun 2009 dan tahun 2015, namun permohonan tersebut tidak diluluskan oleh JPA. Kini, pihak JPS bercadang mengemukakan draf kertas cadangan pengukuhan perjawatan JPS untuk penelitian Pihak Berkuasa Negeri dan kertas tersebut sedang dalam proses penyediaan akhir sebelum dikemukakan kepada pihak JPA melalui BPSM PSUKPP.

47.    Yang Berhormat Sungai Dua turut membangkitkan isu tawaran pelantikan sub-kontraktor kepada warga asing oleh pihak JPS.

48.    Untuk makluman Yang Berhormat, semua pelantikan kontraktor adalah kepada syarikat yang layak dan berdasarkan lesen syarikat yang sah sama ada berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ataupun Kementerian Kewangan. Pada masa kini, penawaran sub-kontrak kerja yang ditawarkan oleh pihak kontraktor utama kepada kontraktor bawahan yang lain adalah di luar bidang kuasa jabatan. Walau bagaimanapun, pengambilan pekerja warga asing akan tertakluk kepada ketetapan garis panduan dan syarat oleh pihak CIDB untuk memastikan pengambilan tenaga kerja asing adalah sah dari segi undang-undang dan kompeten untuk melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan.

Tuan Yang Dipertua,

49.    Yang Berhormat Jawi membangkitkan isu mengenai pencemaran sampah (sisa pepejal) di Ban Sungai Tengah.

50.    Untuk makluman Yang Berhormat, lawatan antara agensi telah diadakan pada 2 September 2020. Berikut adalah hasil perbincangan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di kawasan tersebut:

  1. Pihak MBSP akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas lori-lori yang membuang sampah haram; dan
  2. Pihak JPS akan membina palang kekal bagi menghalang kemasukan lori ke kawasan ini setelah kerja-kerja pembersihan sampah sedia ada diselesaikan.

51.    Seterusnya, Yang Berhormat Bukit Tengah membangkitkan isu banjir di Kampung Dock yang merupakan kawasan beraras rendah. Yang Berhormat ada mencadangkan agar pihak JPS dapat mencari kawasan lapang yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan banjir.

52. Untuk makluman Yang Berhormat, memang benar punca utama kejadian banjir di Kampung Dock adalah disebabkan oleh faktor geografi di mana kedudukan Kampung Dock yang berada di kawasan beraras rendah. Oleh yang demikian, satu (1) kajian tebatan banjir merangkumi kawasan Kampung Dock melalui reka bentuk terperinci bagi pembinaan Rumah Pam Parit 4 telah disediakan pada tahun 2017. Pada masa kini, pembinaan Rumah Pam Parit 4 sedang dilaksanakan dengan kemajuan kerja fizikal semasa 83% dan dijangka siap pada Disember 2020. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa risiko kekerapan banjir di kawasan Kampung Dock akan dikurangkan setelah Rumah Pam Parit 4 beroperasi kelak. Sementara menunggu pengoperasian Rumah Pam Parit 4, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir telah menyediakan peruntukan Caruman Perparitan sebanyak RM167,955 pada tahun 2018 bagi membina Rumah Pam Kampung Dock yang baharu di parit utama yang akan menyalurkan air terus ke Sungai Juru. Rumah Pam Kampung Dock yang baharu ini telah siap pada awal tahun 2019, manakala Rumah Pam Kampung Dock sedia ada pula berfungsi bagi mengepam saluran daripada kampung ke parit utama sahaja. Selain itu, sebagai langkah persediaan musim banjir dari September hingga November tahun 2020, satu unit pam bergerak telah disediakan untuk digunakan sekiranya berlaku banjir besar yang melebihi kapasiti Rumah Pam Kampung Dock tersebut. Bagi cadangan Yang Berhormat untuk menyediakan kawasan kolam takungan banjir, Kerajaan Negeri akan memperhalusi cadangan tersebut setelah penilaian dan pemantauan terhadap keberkesanaan pengoperasian Rumah Pam Parit 4 dan rumah-rumah pam sedia ada.

Tuan Yang Dipertua,

53.    Yang berhormat Machang Bubuk meminta RTB Sungai Junjung dilaksanakan. Yang Berhormat juga memohon agar pihak JPS melaksanakan RTB Kilang Ubi dan penaiktarafan rumah pam di Sungai Junjung Mati.

54.    Untuk makluman Yang Berhormat, bagi mengurangkan isu banjir di Lembangan Sungai Junjung, JPS akan memohon peruntukan Persekutuan di bawah RMKe-12 hingga RMKe-13 dalam tiga (3) fasa pelaksanaan. Permohonan secara berfasa ini adalah kerana faktor geografi sub-lembangan dan syor penemuan daripada laporan Kajian Keberkesanan Penyelesaian Banjir Jangka Panjang di Negeri Pulau Pinang dan Kulim Bandar Bharu di Negeri Kedah yang melibatkan sungai-sungai merentasi Negeri Pulau Pinang dan Kedah. Ketiga-tiga fasa tersebut merangkumi RTB Sungai Junjung Mati di bawah RMKe-12, RTB Sungai Junjung Fasa 2 di bawah RMKe-13 dan RTB Sungai Machang Bubuk di bawah RMKe-13. Buat masa ini, JPS telah mengemukakan permohonan peruntukan Persekutuan di bawah RMKe-12 bagi RTB Sungai Junjung Mati sebanyak RM60 juta yang tertakluk kepada kelulusan di peringkat Persekutuan. Manakala bagi isu banjir di Lembangan Sungai Juru khususnya di sub-lembangan Sungai Kilang Ubi, permohonan sebanyak RM40 juta telah dikemukakan di bawah RMKe-12 yang juga tertakluk kepada kelulusan di peringkat Persekutuan.

55.    Yang Berhormat Sungai Acheh membangkitkan isu masalah banjir di Taman Sempadan, Kampung Sungai Chenaam dan Taman Pekaka serta status rumah pam di setiap kawasan tersebut.

56.    Untuk makluman Yang Berhormat, kejadian banjir di Taman Sempadan dan Taman Pekaka adalah melibatkan saliran dalaman di bawah seliaan pihak MBSP. Pihak MBSP dalam proses untuk melantik perunding bagi kajian keperluan rumah pam di kawasan ini. Bagi Kampung Sungai Chenaam, kejadian banjir yang berlaku adalah banjir kilat yang berpunca daripada sistem perparitan dalaman yang tidak dapat menampung aliran air semasa hujan lebat. Sistem perparitan ini adalah di luar seliaan pihak JPS dan pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah mengambil maklum permasalahan ini.

57.    Selain itu, Yang Berhormat Sungai Acheh juga mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melaksanakan kajian semula atau task force untuk mengkaji pengairan sawah padi di Sungai Acheh.

58.    Untuk makluman Yang Berhormat, satu (1) jawatankuasa penyelarasan peringkat Negeri telah diwujudkan antara agensi-agensi yang terlibat dalam sektor tanaman padi Negeri Pulau Pinang. Keahlian bagi mesyuarat tersebut selain daripada JPS Negeri dan Daerah adalah pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Negeri dan Daerah, Lembaga Pertubuhan Peladang, Pertubuhan Peladang Kawasan dan lain-lain agensi yang berkaitan. Antara agenda utama mesyuarat tersebut adalah membincangkan isu pengairan dan sumber bekalan air termasuklah tindakan penyelesaian bagi isu pengairan di Skim Pengairan Sungai Acheh. Selain itu, jawatankuasa ini juga telah menubuhkan satu (1) Kumpulan Pengguna Air (KPA) bagi kawasan Sungai Acheh. Objektif KPA adalah untuk mewujudkan satu kumpulan tani bagi menguruskan penggunaan air untuk sesuatu kawasan sawah tertentu dengan cekap dan berkesan. Program KPA ini juga dibantu dengan kepakaran pegawai daripada agensi-agensi yang terlibat secara langsung di dalam sektor tanaman padi.

Tuan Yang Dipertua,

59. Yang Berhormat Machang Bubuk bertanya mengenai kerja-kerja yang dilaksanakan bagi menyelenggara Sungai Junjung.

60. Untuk makluman Yang Berhormat, kerja-kerja penyelenggaraan bagi Sungai Junjung telah dilaksanakan hampir setiap tahun melibatkan kerja-kerja penstabilan tebing, pemuliharaan sungai, mengorek, mendalam dan pemotongan rumput. Kerja penyelenggaraan sungai ini dilaksanakan secara bersama oleh JPS Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan SPS. Ringkasan kos bagi kerja penyelenggaraan Sungai Junjung bagi tiga tahun kebelakangan ini adalah sebanyak RM594,152.80 bagi tahun 2018, RM698,465.00 bagi tahun 2019 dan RM607,577.60 bagi tahun 2020. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tahun terkini iaitu tahun 2020, sebanyak lima (5) projek telah dikenal pasti  dan sedang dilaksanakan iaitu kerja-kerja persediaan untuk menghadapi banjir seperti mendalam dan membaiki Sungai Junjung, Daerah SPT, mendalam dan membaiki Sungai Junjung, Daerah SPS, serta kerja-kerja penyelenggaraan Lembangan Sungai Junjung bagi Pakej 24 dan Pakej 6 di Daerah SPT.

61.    Saya beralih kepada Yang Berhormat Bagan Dalam yang meminta agar RTB Lembangan Sungai Nyior dilaksanakan dengan kadar segera memandangkan masalah banjir yang kritikal di kawasan Sungai Nyior.

62.    Untuk makluman Yang Berhormat, perancangan RTB Lembangan Sungai Nyior pada asalnya adalah menggunakan peruntukan Persekutuan RMKe-12, di samping menggunakan peruntukan caruman perparitan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan seperti pelantikan perunding, kerja-kerja ukur dan penyiasatan tanah. Status semasa kajian reka bentuk terperinci bagi RTB Lembangan Sungai Nyior dalam peringkat penyediaan dokumen pelawaan bagi pelantikan perunding yang dijangka pada bulan Disember 2020. JPS Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan peruntukan Persekutuan RMKe-12 bagi pelaksanaan RTB Sungai Nyior sebanyak RM60 juta yang tertakluk kepada kelulusan di peringkat Persekutuan.

63.    Seterusnya Yang Berhormat Pulau Betong membangkitkan isu banjir di simpang tiga di Pulau Betong dan Teluk Bahang.

64.    Untuk makluman Yang Berhormat, sebab utama banjir di simpang tiga Pulau Betong adalah disebabkan oleh flapgate yang gagal berfungsi kerana berkapasiti kecil dan sampah sarap yang sering tersangkut di permukaan flapgate tersebut. Pihak JPS akan membuka semula flapgate sedia ada dan seterusnya akan menaik taraf struktur flapgate agar kapasitinya dapat ditingkatkan.

Bekalan Air

Tuan Yang Dipertua,

65.    Yang Berhormat Sungai Dua membangkitkan isu kenaikan tarif air bagi menampung kos dan pelaburan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

66.    Untuk makluman Yang Berhormat, tarif air tidak akan dinaikkan dalam tahun 2020. Pada 21 Julai 2020, Menteri Alam Sekitar dan Air telah mengumumkan bahawa tiada penyelarasan tarif air dalam tempoh terdekat kerana bebanan ekonomi kepada rakyat berikutan situasi pandemik Covid-19. Namun demikian, PBA akan terus melaksanakan projek-projek kritikal untuk menjamin keselamatan bekalan air di Negeri Pulau Pinang dengan tiga (3) cara iaitu dengan menggunakan dana PBA sendiri, memohon pinjaman kewangan daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan memohon peruntukan daripada agensi-agensi kewangan.

67.    Yang Berhormat Bukit Tambun membangkitkan soalan apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani isu pencemaran sektor akuakultur ikan ternakan di Sungai Udang dan tindakan lanjutan daripada pihak PBA untuk mengadakan perbincangan dengan pihak yang mempunyai kepakaran dalam sektor ini.

68.    Untuk Makluman Yang Berhormat, dalam hal ini pihak pengusaha akuakultur perlu melantik jurutera perunding untuk memohon bekalan air yang diperlukan supaya PBA boleh memberi pertimbangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tuan Yang Dipertua,

69.    Yang Berhormat Teluk Bahang membangkitkan soalan berkenaan punca peningkatan paras air di Empangan Teluk Bahang yang tidak ketara.

70.    Untuk makluman Yang Berhormat, punca utama status abnormal paras air di Empangan Teluk Bahang adalah disebabkan oleh taburan hujan yang sangat rendah dalam tempoh 1 September 2019 sehingga 18 September 2020. Dalam tempoh ini, jumlah hujan yang dicatatkan di kawasan tadahan air adalah 4,545 mm. Jumlah hujan ini adalah 33.8% lebih rendah daripada purata hujan sebanyak 6,863 mm dalam tempoh yang sama bagi tiga (3) tahun sebelumnya iaitu dari tahun 2017 sehingga 2019. Fenomena taburan hujan yang lebih rendah ini kemungkinan besar berpunca daripada fenomena perubahan iklim atau climate change. Kapasiti efektif empangan Teluk Bahang seterusnya meningkat daripada 16% kepada 22.6% di antara 5 September 2020 dan 6 Oktober 2020, dan kini berada di tahap 27.5% ekoran permulaan musim tengkujuh di Negeri Pulau Pinang.

71.    Saya merujuk pula kepada persoalan Yang Berhormat Batu Lanchang, sama ada pihak PBA atau MBPP boleh meletakkan syarat kepada Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) untuk mewajibkan pengemukaan laporan kerja-kerja penyelenggaraan tangki air di kawasan strata untuk menjamin bekalan air yang selamat.

72.    Pihak PBA mencadangkan untuk mewajibkan pemeriksaan dan penyelenggaraan mandatori secara tahunan ke atas sistem retikulasi paip dalaman selepas meter pukal termasuk sistem pengepaman dan tangki-tangki air bagi kediaman bertingkat di Negeri Pulau Pinang kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT). Pada masa ini, BKT sedang dalam perancangan untuk mengemukakan cadangan ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Majlis Mesyuarat Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk dipersetujui dan seterusnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk penggubalan akta berkaitan.

Tuan Yang Dipertua,

73.    Yang Berhormat Komtar membangkitkan isu berkaitan pemuliharaan kawasan tadahan air terutamanya empangan dan sungai-sungai yang perlu dijaga dengan baik dan rapi.

74.    Untuk makluman Yang Berhormat, kebanyakan kawasan tadahan air meliputi kawasan bukit dan hutan yang luas. Justeru tidak mudah untuk membuat pengawasan yang teliti, namun pemantauan sememangnya dilakukan secara berkala oleh agensi berkaitan bagi memastikan kawasan tadahan sentiasa dipelihara. Namun begitu, sekiranya Yang Berhormat mendapat aduan atau maklumat mengenai pencerobohan bolehlah panjangkan kepada Kerajaan Negeri.

Tuan Yang Dipertua,

75.    Seterusnya Yang Berhormat Air Putih ada membangkitkan soalan berkenaan Projek Pemindahan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

76.    Untuk makluman Yang Berhormat, semasa perjumpaan antara Ketua Menteri dan Menteri Alam Sekitar Dan Air pada 24 September 2020 yang lalu, Kerajaan Negeri telah menyatakan pendirian bersedia untuk menawarkan kadar harga pembelian air mentah yang lebih tinggi kepada Kerajaan Negeri Perak. Justeru, pihak Kementerian bersetuju untuk mengangkat perkara ini kepada Kerajaan Negeri Perak bagi perbincangan lanjut. Sepertimana Dewan yang mulia ini sedia maklum, isu ini terbantut akibat keengganan Kerajaan Negeri Perak untuk menjual air mentah kepada Negeri Pulau Pinang dan sebaliknya ingin menjual air terawat. Pendirian sebegini tidak boleh diterima oleh Kerajaan Negeri kerana tidak pernah berlaku duluan atau precedent di mana projek pemindahan air secara besar-besaran dilakukan berdasarkan air terawat. Malah, Negara Singapura membeli air mentah dan bukan air terawat daripada Negeri Johor. Saya rasa semua Ahli-ahli Yang Berhormat di sini setuju bahawa Negeri Pulau Pinang tidak boleh dilayan lebih teruk berbanding negara asing.

Pengangkutan

Tuan Yang Dipertua,

77.    Sejak 15 September 2020, rombakan portfolio di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri telah mula dikuatkuasakan dan saya telah dipertanggungjawabkan dengan portfolio baharu iaitu Pengangkutan. Justeru, antara beberapa perkara yang ingin saya tekankan dalam ucapan ini adalah berkaitan dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), projek tambakan Penang South Reclamation (PSR), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, perkhidmatan feri serta perkhidmatan bas.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

78.    Pulau Pinang kini ke arah merealisasikan gagasan pembangunan negeri iaitu Penang 2030 yang merangkumi empat (4) tema utama. Tanggungjawab yang digalas dalam portfolio Infrastruktur dan Pengangkutan adalah untuk melaksanakan tema keempat iaitu melabur dalam persekitaran infrastruktur dan kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan (invest in the built environment to improve resilience).

79.    Penyediaan infrastruktur merupakan langkah utama bagi proses pentransformasian landskap Negeri Pulau Pinang menjadi negeri moden dan pintar yang berupaya untuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta kualiti kehidupan yang lebih baik. Melalui infrastruktur yang mampan dan menyeluruh, rakyat Pulau Pinang dari setiap lapisan masyarakat akan menikmati pertumbuhan inklusif dan keseimbangan sosio-ekonomi tanpa mengira latar belakang geografi atau keturunan.

Tuan Yang Dipertua,

80.    Semestinya, dalam usaha untuk mengecapi objektif-objektif tersebut, Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua garis panduan baik dari agensi Persekutuan ataupun Negeri adalah dipatuhi dan diambil kira sebelum apa-apa projek dilaksanakan.

81.    Justeru, berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Dua, perhatian yang sewajarnya akan diberikan berkaitan reka bentuk PIL1 untuk memastikan kesan dan impak yang minimum kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Pembinaan jalan pada paras tanah sedia ada (at-grade) telah dikurangkan dan reka bentuk secara bertingkat dan terowong di jajaran tertentu akan digunapakai. Daripada panjang keseluruhan PIL1 sejauh 19.5km, 10.1km atau 52% adalah terowong manakala 7.6km atau 39% adalah bertingkat untuk meminimakan pemotongan bukit. Hanya 1.8km atau 9% adalah jenis embankment.

82.    Pelan mitigasi juga dirancang, umpamanya penyediaan penghadang bunyi (noise barriers) di kawasan-kawasan yang sensitif serta menaik taraf dua (2) taman rekreasi utama yang berada di sekitar jajaran PIL1.

Penang South Reclamation (PSR)

Tuan Yang Dipertua,

83.    Pembangunan mampan sesebuah negeri adalah bergantung kepada sesuatu pelan perancangan yang sistematik dan realistik yang dapat memberi impak positif kepada kadar pertumbuhan ekonomi, kelestarian serta daya huni (liveability). Oleh yang demikian, projek tambakan PSR memainkan peranan yang amat penting dalam pembiayaan pelaksanaan PTMP di samping memangkin pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang secara amnya.

84.       Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk memastikan PTMP termasuk PSR dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Walaupun terdapat kritikan mahupun bantahan, Kerajaan Negeri tetap komited untuk membantu rakyat memahami manfaat yang akan diperolehi daripada projek-projek ini dan memastikan tiada sebarang komuniti terpinggir dari arus pembangunan.

85.       Walaupun Pulau Pinang mempunyai hab perindustrian yang unggul dan persekitaran perniagaan yang kompetitif, ia terus menghadapi cabaran terutamanya dari segi kekurangan tanah di lokasi strategik.

86.       Oleh yang demikian, projek PSR boleh dianggap sebagai projek transformasi ekonomi Pulau Pinang untuk mewujudkan hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang mantap. Sepertimana yang telah saya sebut dalam jawapan soalan lisan tempoh hari, projek PSR ini bukanlah sekadar projek tambakan biasa untuk tujuan spekulasi hartanah tetapi sebaliknya adalah projek kritikal bagi masa hadapan Pulau Pinang.

87.       Tanah yang bakal ditambak ini tidak akan dilaksanakan secara kaedah yang biasa tetapi akan direka bentuk secara khusus mengikut keperluan semasa industri sedunia. Dalam abad ke-21 ini, industri global tidak lagi hanya mahukan kos buruh yang murah atau insentif-insentif tempatan semata-mata. Kebanyakan syarikat-syarikat ternama kini mengutamakan faktor ESG (Environmental, Social, Governance).

88.       Dalam erti kata lain, syarikat-syarikat ini akan memilih tapak pelaburan yang dapat memenuhi keperluan piawaian ESG antarabangsa yang sukar dicapai dengan tanah-tanah sedia ada yang merupakan kawasan brownfield yang sudah dibangunkan. Tetapi dengan tambakan PSR yang baharu ini, pembangunan greenfield dapat dilakukan agar Pulau Pinang dapat menawarkan kawasan perindustrian baharu yang sesuai dan dapat menarik minat syarikat-syarikat ternama ini agar pekerjaan-perkerjaan berpendapatan tinggi dapat diwujudkan di Negeri kita ini.

89.    Salah satu lagi objektif projek PSR adalah untuk mengalihkan fokus pembangunan dari kawasan utara dan timur laut ke bahagian selatan pulau yang masih kurang dibangunkan. Ini dapat meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan, termasuk nelayan dan generasi muda akan datang.

90.    Bagi menjayakan objektif PSR, khususnya berkaitan reka bentuk ESG, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Master Design Competition (MDC) yang telah menarik penyertaan syarikat-syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang berminat untuk merancang dan mereka bentuk PSR. Lima (5) syarikat telah dipilih ke pusingan akhir bagi pertandingan tersebut dan pemenang yang berjaya ialah Bjarke Ingels Group (BIG), sebuah syarikat antarabangsa yang ternama, dengan rakan syarikat tempatan iaitu Hijjas Architects and Planners yang tidak kurang namanya di peringkat negara kita. Pihak BIG akan menyediakan reka bentuk terperinci bagi PSR dalam masa yang terdekat.

91.    Dalam reka bentuknya yang bertema “BiodiverCity Penang”, BIG telah mengemukakan konsep persekitaran yang berdaya tahan (environmentally resilient) dengan penekanan terhadap kelestarian dari segi infrastruktur sosial dan kepelbagaian ekologi, termasuk juga manfaat untuk komuniti nelayan, kesejahteraan awam serta dengan mengambil kira keunikan identiti budaya masyarakat Pulau Pinang.

92.       Kerajaan Negeri percaya bahawa masa depan Pulau Pinang amat bergantung kepada projek PTMP dan PSR. Projek-projek ini bakal menjadi produk transformasi yang penting untuk memastikan Pulau Pinang dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam ekonomi dunia yang sangat mencabar ini.

Perkhidmatan Bas

Tuan Yang Dipertua,

93.    Perkhidmatan bas percuma I Love Penang Congestion Alleviation Transport (CAT) telah beroperasi selama 29 bulan sejak dilancarkan pada 1 April 2018 yang lalu. Perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada penduduk negeri Pulau Pinang di kawasan Seberang Perai dan Bahagian Pulau.

94.    Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 18 Mac 2020 yang lalu, perkhidmatan bas percuma CAT juga turut terkesan. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, bas CAT telah dihentikan operasi sepenuhnya bermula pada 4 April 2020 dengan tujuan untuk membendung penularan wabak Covid-19. Sehingga kini, kesemua 12 laluan bas CAT tidak dioperasikan semula memandangkan kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

95.    Merujuk kepada Yang Berhormat Air Itam yang memohon agar CAT Air Itam dioperasikan semula memandangkan jumlah ridership laluan tersebut adalah yang tertinggi. Hakikat ini memang benar kerana demografi kawasan Air Itam sendiri yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi (high-density area) berbanding kawasan-kawasan yang lain.

96.    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mengoperasikan semula laluan CAT Air Itam buat masa ini. Sebagai alternatif, penduduk mempunyai pilihan bas berbayar yang disediakan oleh Rapid Penang.

97.    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga dalam proses mengkaji semula keberkesanan perkhidmatan bas percuma CAT yang jelas tidak dapat mencapai ridership yang diingini. Ada kemungkinan terdapat kaedah-kaedah lain yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan penggunaan bas. Pun begitu, Kerajaan Negeri masih lagi komited untuk meneruskan subsidi bas kepada rakyat Pulau Pinang sepertimana yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri dalam pembentangan belanjawan di mana RM15 juta telah diperuntukkan untuk perkhidmatan bas CAT.

Tuan Yang Dipertua,

98.    Yang Berhormat Bukit Tambun membangkitkan cadangan agar CAT Bridge turut melalui Jambatan Kedua. Untuk makluman Yang Berhormat, perkhidmatan CAT Bridge di Jambatan Pertama Pulau Pinang merupakan laluan percubaan selama empat (4) bulan. Sekiranya terdapat buy-in dari segi penggunaan CAT Bridge, perkhidmatan ini akan diteruskan sebagai salah satu alternatif selain daripada perkhidmatan feri untuk berulang-alik dari kawasan Seberang Perai ke Bahagian Pulau dan sebaliknya.

99.    Sebagai maklumat tambahan, jumlah bilangan penumpang (ridership) bagi perkhidmatan CAT Bridge kini semakin meningkat iaitu dari 400 penumpang kepada kira-kira 650 ke 700 orang untuk dua (2) hala sejak mula dioperasikan pada 1 September 2020. Ridership ini masih dikira rendah dan perlu ditingkatkan lagi dan kini dilihat stagnant selepas berlaku gelombang ketiga pandemik Covid-19. Sehubungan itu, beberapa usaha sedang dirancang bersama pihak operator Rapid Penang untuk mempromosikan perkhidmatan CAT Bridge.

Tuan Yang Dipertua,

100.  Yang Berhormat Bayan Lepas membangkitkan aduan mengenai bas awam di kawasan Gertak Sanggul yang tidak mengikut jadual dan laluan yang ditetapkan.

101.  Untuk makluman Yang Berhormat, Jalan Gertak Sanggul mempunyai satu (1) laluan bas iaitu 308 dengan kekerapan (frequency) selama satu (1) jam. Kerajaan Negeri telah memanjangkan aduan Yang Berhormat kepada pihak Rapid Penang. Menurut mereka, kekerapan bas akan terjejas sekiranya terdapat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan berkala dan akan terus bekerjasama dengan pihak Rapid Penang bagi memastikan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik dapat disediakan.

Tuan Yang Dipertua,

102.  Yang Berhormat Bukit Tambun memohon agar pembinaan terminal bas ekspres di kawasan Design Village dipercepatkan dan dikecualikan daripada Kebenaran Merancang. Perkara ini akan disusuli oleh MBSP dengan pihak Design Village dalam masa terdekat.

Perkhidmatan Feri

103.  Isu mengenai perkhidmatan feri telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bagan Dalam, Teluk Bahang dan Pengkalan Kota.

104.  Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai cadangan-cadangan yang diutarakan oleh Yang Berhormat sekalian. Kerajaan Negeri turut berharap agar pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai perancangan yang komprehensif dan membawa manfaat kepada semua pihak terutamanya pengguna-pengguna feri. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri sedang menantikan pembentangan mengenai hala tuju perkhidmatan feri yang telah dijanjikan oleh Kementerian.

105.  Yang Berhormat Air Putih telah membangkitkan mengenai kesediaan dan komitmen oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mengoperasikan perkhidmatan feri bermula pada tahun hadapan. Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu dan memudah cara PPSB atau mana-mana operator yang dilantik bagi melancarkan perkhidmatan feri. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Kerajaan Persekutuan dapat memastikan perkhidmatan feri dapat terus beroperasi tanpa sebarang masalah memandangkan perkhidmatan feri bukan sahaja mempunyai sejarah lebih seratus tahun tetapi juga masih menjadi mod pengangkutan awam utama yang digunakan oleh rakyat Pulau Pinang.

106.  Berhubung dengan isu perkhidmatan feri yang tergendala sekali lagi semasa Sidang Dewan ini berlangsung, iaitu pada 14 Oktober, pihak Rapid Ferry telah mengemukakan laporan teknikal kepada Kerajaan Negeri pada hari yang sama. Berdasarkan laporan tersebut, kejadian ini berlaku kerana sambungan paip ke tangki utama pam hidraulik telah mengalami kerosakan di terminal Pengkalan Raja Tun Uda (PRTU) di Weld Quay. Kejadian ini telah menyebabkan feri dari Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth terpaksa berpatah balik memandangkan ramp di terminal PRTU tidak dapat berfungsi. Walaupun terdapat dua (2) pam hidraulik di jeti, namun secara kebetulan pam yang satu lagi sedang menjalani penyelenggaran berkala. Kejadian ini telah berlaku pada jam 8 pagi sempat dibaiki pada jam 4 petang hari yang sama. Sepanjang tempoh pembaikan, pihak Rapid Ferry telah menyediakan tiga (3) buah bas Rapid Penang dari Penang Sentral ke Weld Quay sebagai perkhidmatan alternatif.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

107.  Isu berkaitan penaiktarafan dan pembesaran lapangan terbang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Air Putih. Dalam ucapan penggulungan Ketua Menteri dalam Sidang Dewan pada tahun 2019, beliau telah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan pelan penaiktarafan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

108.  Projek tersebut pula telah mendapat semua kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan termasuk kelulusan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan. Namun demikian, tiada kerja fizikal yang telah dijalankan di tapak.

109.  Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai cadangan kajian National Airport Strategic Plan (NASP) yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan dijangka siap pada tahun 2023. Walaupun Kerajaan Negeri memahami kepentingan kajian NASP ini, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sepatutnya dikecualikan daripada kajian ini memandangkan projek pembesaran ini sudah pun diluluskan dahulu bahkan sudah sampai ke tahap pembinaan.

110.   Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi mencapai persetujuan agar penaiktarafan dan pembesaran lapangan terbang diteruskan.

Pengangkutan Hijau dan Micromobility

111.   Yang Berhormat Pengkalan Kota telah membangkitkan mengenai penggunaan kenderaan micromobility seperti e-bike dan e-scooter di laluan-laluan basikal. Untuk makluman, Menteri Pengangkutan telah mengumumkan bahawa kementeriannya akan menguatkuasakan pendaftaran lesen micromobility di bawah Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Pindaan ini telah diluluskan dalam Dewan Rakyat dan akan dibentangkan ke Dewan Negara untuk kelulusan sebelum diwartakan.

112.   Walau bagaimanapun, keselamatan pengguna basikal dan pejalan kaki juga perlu diambil kira sekiranya kenderaan micromobility digunakan di laluan khas basikal.

Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

113.   Mengenai infrastruktur telekomunikasi, saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Sungai Dua tentang peri pentingnya ketersediaan jalur lebar 5G ke seluruh Negeri Pulau Pinang khususnya di kawasan-kawasan luar bandar. Pengukuhan infrastruktur jalur lebar ini bukan sahaja menjadi perkara asas dalam pelaksanaan inisiatif negeri pintar, malah sekaligus dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

114.   Sebagai makluman Yang Berhormat, bagi memastikan ketersediaan jalur lebar bertaraf 5G di seluruh Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah merangka Pelan Kesalinghubungan Negeri Pulau Pinang atau Penang Connectivity Master Plan (PCMP) selaras dengan aspirasi negara melalui perancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bersama-sama dengan sembilan (9) syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom Networks Sdn. Bhd., Maxis Broadband Sdn. Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., U Mobile Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, YTL Communications Sdn. Bhd., Webe Digital Sdn. Bhd. dan Allo Technology Sdn. Bhd.

115.   Untuk makluman Yang Berhormat juga, strategi pelaksanaan PCMP ini akan merangkumi 20 Inisiatif Strategik bagi mencapai enam (6) KPI dalam usaha menaik taraf infrastruktur telekomunikasi ke arah 5G seperti berikut:        

  1. 100% ketersediaan kelajuan gigabit di Ibu Negeri dan kawasan berimpak tinggi di Pulau Pinang menjelang tahun 2023;
    1. 50% premis di kawasan berimpak rendah tersedia dengan capaian sehingga 500 Mbps menjelang tahun 2025;
    1. Ketersediaan 100% rangkaian gentian optik di sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos menjelang tahun 2025;
    1. Kelajuan purata jalur lebar mudah alih 50 Mbps di 100% kawasan berpenduduk menjelang tahun 2025;
    1. Drop Call Rate (DCR) kurang daripada 3% dan Call Setup Successful Rate (CSSR) sama atau melebihi 95% di kawasan Green Connector di Pulau Pinang menjelang tahun 2023; dan
    1. 90% jumlah aduan mengenai struktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang dapat diselesaikan.

Tuan Yang Dipertua,

116.   Izinkan saya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Sungai Dua bersekali dengan pertanyaan daripada Yang Berhormat Bayan Lepas dan Bagan Dalam, kerana ketiga-tiga pertanyaan tersebut menyentuh perkara yang sama. Mereka telah membangkitkan isu capaian internet di kawasan masing-masing.

117.   Untuk makluman Yang Berhormat, menurut data liputan telekomunikasi suku pertama tahun 2020 daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kadar penembusan jalur lebar mudah alih 4G bagi kawasan Sungai Dua dan Tasek Gelugor secara puratanya adalah sebanyak 99.08% manakala kawasan seperti Mutiara Perdana telah dikenal pasti sebagai kawasan underserved area dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 4G adalah sebanyak 97.62%.

118.   Walau bagaimanapun, rungutan kekurangan liputan internet yang kurang memuaskan adalah disebabkan oleh isu kapasiti di setiap struktur telekomunikasi sedia ada di sesuatu kawasan. Oleh itu, bagi menambah baik rangkaian capaian internet, pihak syarikat penyedia fasiliti atau Network Facility Provider (NFP) perlu menaik taraf struktur sedia ada dan menambah bilangan struktur telekomunikasi baharu bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Tuan Yang Dipertua,

119.   Seterusnya Yang Berhormat Permatang Berangan dan Yang Berhormat Bagan Dalam juga telah membangkitkan isu tentang kelemahan internet jalur lebar tetap atau (fixed broadband) di kawasan Pokok Machang, Pokok Tampang, Permatang Indah, Pengkalan Batu dan Butterworth.

120.  Sebagai makluman yang berhormat, Kerajaan Negeri berkerjasama rapat dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menaik taraf kabel copper (perkhidmatan Streamyx) di seluruh Pulau Pinang secara berperingkat kepada gentian optik Unifi. Berdasarkan perancangan TM, bagi kawasan Pengkalan Batu projek penaiktarafan fiber ini akan dilaksanakan pada suku kedua tahun 2021 manakala kawasan-kawasan seperti Pokok Machang, Pokok Tampang dan Permatang Indah Butterworth akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021. Secara keseluruhannya, pelaksanaan naik taraf internet jalur lebar tetap oleh TM di seluruh Negeri Pulau Pinang akan siap sepenuhnya pada tahun 2022.

121.  Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu. Hal ini dapat dilihat dengan statistik liputan telekomunikasi daripada MCMC yang menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kadar penembusan jalur lebar mudah alih (mobile broadband) per kapita di Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 141% melebihi kadar nasional 118.1% manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (fixed broadband) pula, Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 13.1%, juga melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 9.3%.

122.  Walaupun laporan prestasi ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, namun Kerajaan Negeri amat komited untuk meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi agar kawasan pinggir bandar dapat mencapai keseimbangan dengan kawasan bandar. Selain itu, Kerajaan Negeri  sentiasa menambah baik tadbir urus bagi meningkatkan dan menggalakkan pelaburan pihak syarikat telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang.

123.  Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa Kerajaan Negeri telah mewujudkan beberapa garis panduan dan polisi yang baharu agar dapat melicinkan pentadbiran dan mengurangkan hal-hal kerenah birokrasi yang mengekang proses pelaksanaan projek-projek telekomunikasi infrastruktur telekomunikasi tetap dan tanpa wayar.

124.  Antaranya, Kerajaan Negeri berjaya mewujudkan sebuah polisi berkenaan Bantahan Penduduk Terhadap Struktur Pemancar Telekomunikasi, di mana polisi berkenaan telah menjadi rujukan oleh beberapa buah negeri di Malaysia seperti Negeri Sembilan, Johor dan lain-lain. Tujuan utama polisi ini diwujudkan adalah untuk mendidik rakyat tentang kesedaran dan keselamatan pemancar telekomunikasi berikutan wujudnya bantahan penduduk setempat berasaskan salah faham, kekeliruan dan salah tafsiran terhadap pembinaan struktur pemancar telekomunikasi.

125.  Seterusnya, izinkan saya memberi maklum balas kepada kenyataan Yang Berhormat KOMTAR yang mencadangkan agar bangunan KOMTAR dinaiktaraf dengan liputan bertaraf 5G.  

126.  Untuk makluman Yang Berhormat, merujuk kepada pengumuman Kerajaan Persekutuan yang terkini, pelan pelaksanaan liputan teknologi 5G telah disemak semula di bawah satu pelan tindakan yang dinamakan sebagai JENDELA. Dalam pelan tindakan tersebut, JENDELA akan dilaksanakan secara berfasa di mana Fasa 1 telah pun bermula.

127.  Sepanjang Fasa 1 ini, rangkaian 3G akan ditamatkan secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk tujuan memantapkan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

128.  Pada Fasa ke-2, peralihan kepada teknologi 5G akan menyusul setelah platform yang kukuh di dalam Fasa 1 tercapai. Oleh itu, dijangka penggunaan teknologi 5G akan dapat digunakan sepenuhnya menjelang tahun 2023.

129.  Untuk makluman Yang Berhormat juga, buat masa ini, Kerajaan Negeri masih belum menerima senarai kawasan jaringan 5G kerana peruntukan spektrum 5G masih belum diberikan kepada mana-mana syarikat telekomunikasi. Namun begitu berdasarkan kepada ciri-ciri 5G ini, keutamaan pelaksanaan adalah di kawasan berimpak tinggi seperti kawasan industri, kawasan berkepadatan tinggi, hab pengangkutan utama dan kawasan bandar-bandar utama.

130.  Bagi makluman Yang Berhormat, Negeri Pulau Pinang adalah negeri kedua yang melaksanakan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) selepas perasmian projek tersebut di Pulau Langkawi pada 19 Januari 2020 yang lalu.

131.  Untuk tujuan ini, sebanyak tujuh (7) buah syarikat telekomunikasi telah dipilih untuk melaksanakan 19 use cases di Negeri Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM23.2 juta. Use cases yang akan dilaksanakan di Negeri Pulau Pinang juga merangkumi lima (5) vertical iaitu pertanian, pendidikan, negeri pintar, industri pembuatan dan pelancongan. Kesemua use cases tersebut dijadualkan untuk bermula pada bulan Mac 2020 dan berlangsung selama enam (6) bulan.

132.  Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan kepada pelaksanaan 5GDP ini. Kebanyakan syarikat telekomunikasi telah menggunakan semula (re-purpose) peruntukan bagi projek 5GDP ini kepada inisiatif Covid-19 yang lebih memerlukan.

133.  Namun selepas beberapa siri perbincangan diadakan di antara Kerajaan Negeri, sukacita dimaklumkan 5GDP akan terus dilaksanakan dengan penglibatan 11 use cases dengan anggaran kos sebanyak RM10.65 juta merangkumi lima (5) vertical iaitu pertanian, pendidikan, bandar pintar, perindustrian dan pelancongan. Sebanyak lima (5) buah syarikat telekomunikasi telah dipilih untuk melaksanakan projek-projek use cases ini yang dijadualkan akan bermula pada bulan September 2020 sehingga penghujung tahun 2020.

134.  Selain itu, Projek Demonstrasi 5G ini juga adalah penting sebagai salah satu daripada komponen dalam penganjuran TECHFEST2020 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 18 – 20 November 2020. TECHFEST2020 merupakan acara pelancaran bagi memberikan momentum kepada persidangan World Congress of Information Technology (WCIT) yang bakal diadakan di Pulau Pinang.

135.  Akhir kata, dalam hasrat Kerajaan Negeri menerajui teknologi Industrial Revolution (IR) 4.0, pembangunan infrastruktur telekomunikasi adalah faktor utama bagi untuk memastikan ketersediaan Negeri Pulau Pinang untuk menghadapi cabaran dunia abad ke-21, termasuk penyertaan dalam ekonomi digital dan capaian kepada teknologi terbaru seperti 5G.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

136.  Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan Negeri Pulau Pinang dilaksanakan dengan kaedah yang paling cekap dan lestari bagi kemaslahatan bersama rakyat Pulau Pinang.

137.  Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak termasuk pihak swasta, Kerajaan Persekutuan bahkan masyarakat madani dapat bekerjasama dan berkongsi aspirasi untuk membangun dan memajukan Negeri Pulau Pinang agar menjadi sebuah bandar pintar, hijau dan berorientasikan nilai-nilai kekeluargaan, sejajar dengan gagasan Penang 2030.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s