Kerajaan Persekutuan Perlu Memegang Kepada Jaminan Menteri Kewangan Untuk Mengekalkan Perkhidmatan Feri Ikonik

George Town, 19 Disember 2020

Tempoh hari, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah mengumumkan rancangan penstrukturan semula perkhidmatan feri Pulau Pinang yang akan melihat penamatan perkhidmatan feri ikonik yang bersejarah dan penggantiannya dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari 2021.

Dalam rancangan tersebut, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menggantikan Prasarana Malaysia Bhd sebagai operator feri baharu yang hanya akan membawa penumpang sahaja dan tidak lagi membawa kenderaan. Selepas lebih kurang 18 bulan, bot penumpang laju ini akan digantikan dengan catamaran yang akan membawa penumpang serta vehicle transporter yang akan membawa motosikal serta kenderaan-kenderaan kecemasan seperti Bomba atau ambulans. Dalam erti kata lain, perkhidmatan feri bagi kereta akan tamat pada 31 Disember 2020 ini.

Rancangan yang diumumkan ini tidak mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang telah bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula ini dengan syarat perkhidmatan feri ikonik tidak ditamatkan. Malangnya, Kementerian Pengangkutan di bawah Perikatan Nasional enggan mengikut keputusan tersebut dan memilih untuk menamatkan perkhidmatan feri ikonik.

Pada 2 Disember 2020, cadangan ini telah dibentangkan kepada mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Setelah mendengar pembentangan oleh PPC, Kerajaan Negeri telah menyampaikan pendirian bahawa perkhidmatan feri ikonik hendaklah dikekalkan, malah mengharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan penambahbaikan dengan pembelian feri baharu yang serupa dengan feri RO-RO (roll-on, roll-off) sedia ada agar perkhidmatan feri bagi kereta dapat diteruskan.

Namun begitu, pengumuman PPC pada 15 Disember 2020 jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak setuju dengan permintaan Kerajaan Negeri. Ekoran daripada itu, Ahli-ahli Parlimen Pulau Pinang telah membangkitkan isu ini di sidang Parlimen. Persoalan ini telah dijawab oleh Menteri Kewangan yang telah memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang tidak akan ditamatkan dan sebaliknya akan diteruskan oleh PPSB.

Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif PPSB dilaporkan terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan yang jelas bercanggah dengan keputusan yang diumumkan oleh PPC pada tempoh hari. Oleh itu, satu penjelasan harus dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan berkenaan status feri ikonik yang memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan akan memegang kepada jaminan Menteri Kewangan bahawa perkhidmatan feri ikonik akan diteruskan.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s