George Town, 24 Januari 2021
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum isu liputan Internet di Pulau Aman, iaitu sebuah pulau berpopulasi rendah berdekatan dengan kawasan Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang terkenal sebagai perkampungan nelayan. Masalah ini mendatangkan kesukaran kepada sesetengah penduduk di pulau tersebut, khususnya beberapa pelajar yang perlu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, Kerajaan Negeri telah mengaturkan sesi lawatan tapak ke Pulau Aman pada hari Sabtu, 23 Januari 2021 yang turut dihadiri oleh saya sendiri bersama ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Tujuan lawatan tapak ini adalah untuk mengenal pasti lokasi-lokasi di Pulau Aman yang menghadapi masalah liputan Internet. Ekoran daripada tinjauan yang dibuat, pihak SKMM akan menjalankan kajian terperinci bagi mencari penyelesaian yang paling sesuai bagi penduduk di situ.
Antara cadangan jangka masa pendek yang boleh dipertimbangkan adalah pengoptimuman (optimisation) infrastruktur telekomunikasi sedia ada di kawasan tersebut, serta pemasangan peranti seperti repeater yang dapat meluaskan kawasan liputan. Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, SKMM akan mempertimbangkan pemasangan infrastruktur telekomunikasi baharu di kawasan terjejas. Pun begitu, apa-apa penyelesaian juga perlu dibincangkan dengan lebih mendalam bersama syarikat-syarikat telekomunikasi terlebih dahulu.
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan semua warga Pulau Pinang dapat menikmati capaian Internet dan akan bekerjasama dengan SKMM serta pihak syarikat telekomunikasi untuk mencari langkah-langkah penyelesaian yang terbaik bagi kemaslahatan penduduk Pulau Aman.
Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang