Ucapan Pembentangan Sesi Libat Urus Kerajaan Negeri 2021

  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada barisan urusetia yang menjadi koordinator bagi Sesi Libat Urus Antara Ahli Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang sedang berlangsung ini. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang memberi komitmen tinggi bagi menjayakan sesi libat urus ini yang julung-julung kali diadakan.
  2. Jawatankuasa MMK Infrastruktur dan Pengangkutan amat komited dalam usaha menangani isu-isu berkaitan pembangunan sektor infrastruktur termasuk infrastruktur digital dan pengangkutan di Pulau Pinang serta giat merealisasikan inisiatif-inisiatif sedia ada mahupun yang baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tebatan Banjir

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius dan peka terhadap keperluan untuk menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa kawasan di Negeri Pulau Pinang. Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri menjangkakan lima (5) projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi melalui peruntukan Kerajaan Negeri dan dua (2) projek RTB melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan akan siap pada tahun ini lantas membawa manfaat kepada rakyat di kawasan terbabit.
  2. Projek-projek RTB utama yang sedang dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri dan dijangka selesai pada tahun ini adalah seperti berikut:
ProjekJumlah KosJangkaan Siap
RTB Parit 4 di Bukit Tengah, Taman Desa Damai, Daerah Seberang Perai TengahRM16.98 jutaMei 2021
RTB Parit 5 di Taman Mangga dan Jalan Juru, Daerah Seberang Perai TengahRM14.6 jutaApr 2021
RTB Kawasan Mak Mandin, Daerah Seberang Perai UtaraRM42.4 jutaJul 2021
RTB Sungai Nipah di Taman Iping, Daerah Barat DayaRM15.27 jutaJul 2021
RTB di Bayan Baru, Daerah Barat DayaRM20.2 jutaNov 2021
  1. Manakala projek-projek RTB utama yang sedang dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan juga dijangka selesai pada tahun ini adalah seperti berikut:
ProjekJumlah KosJangkaan Siap
RTB Sungai Kerian di Kampung Tanjung Berembang/Taman Sempadan dan Kampung Teluk Ipil/Kampung Teluk, Daerah Seberang Perai SelatanRM46 jutaApr 2021
RTB Teluk Kumbar, Daerah Barat DayaRM7.96 jutaOkt 2021

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Projek RTB Lembangan Sungai Pinang pula sedang dilaksanakan dengan kos sebanyak RM150 juta melalui peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Projek ini akan memberikan manfaat kepada kira-kira 150,000 (150 ribu) orang penduduk di dalam kawasan perlindungan banjir seluas 300 hektar.
  2. Secara umumnya, projek ini telah dimulakan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7) pada tahun 1996 sehingga Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) pada tahun 2004. Namun begitu, fasa ketiga projek ini tergendala selama lebih sedekad sehinggalah Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan meneruskannya semula pada tahun 2018.
  3. Status semasa projek ini adalah di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci serta pelaksanaan kerja-kerja ukur tanah dan penyiasatan tanah (soil investigation) oleh pihak perunding. Kajian perunding merangkumi lapan (8) aspek kajian iaitu Cost Benefit Analysis (CBA), Environmental Management Plan (EMP), Value Management (VM), Heritage Impact Assessment (HIA), Socio Economy Impact Assessment (SEIA), Social Impact Assessment (SIA), Traffic Impact Assessment (TIA) dan Road Safety Audit (RSA). Kelapan-lapan laporan kajian ini telah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dan sedang dalam proses semakan.
  4. Berdasarkan perancangan semasa, proses perolehan secara tender bagi kerja-kerja fizikal akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan akan mengambil masa lebih kurang empat (4) bulan. Oleh itu pelaksanaan kerja-kerja fizikal di tapak RTB Lembangan Sungai Pinang dijangka akan bermula pada awal tahun hadapan. Pelaksanaan Pakej 1 bagi projek ini dijangka mengambil masa empat (4) tahun merangkumi beberapa lokasi tapak di Sungai Pinang dan Sungai Jelutong. Skop projek yang terlibat adalah:
    i. Kerja-kerja pembaikan, penaiktarafan dan pengindahan sungai, serta penaiktarafan jejambat pejalan kaki di Sungai Pinang;
    ii. Kerja-kerja peralihan di Sungai Air Itam and Sungai Air Terjun;
    iii. Kerja-kerja tebatan banjir di Sungai Jelutong C;
    iv. Pembinaan lencongan baru Sungai Jelutong di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim and Jalan Ahmad Nor; dan
    v. Kerja-kerja lain yang melibatkan komponen mekanikal dan elektrikal.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri terus komited memastikan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang – Penang Transport Master Plan (PTMP) dilaksanakan bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk Pulau Pinang.
  2. Projek Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di bawah inisiatif PTMP yang melibatkan tiga (3) komponen jalan dan satu (1) komponen terowong dasar laut sedang dilaksanakan oleh syarikat konsesi Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC). Salah satu daripada komponen projek jalan ini, iaitu projek Pakej 2 – Jalan Pintasan dari Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu telah memasuki fasa pembinaan pada 1 Februari 2021 yang lalu manakala 2 lagi komponen jalan iaitu projek Pakej 1 – Jalan Berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dan projek Pakej 3 – Jalan Pintasan Daripada Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Pesiaran Gurney masih dalam fasa pemuktamadan reka bentuk terperinci yang dijangka pada pertengahan tahun 2021.
  3. Projek Pakej 2 yang sedang giat dijalankan oleh pihak CZC berfungsi sebagai laluan alternatif atau by-pass yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di kawasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang. Projek Pakej 2 dijangka selesai pada suku tahun pertama tahun 2025 dengan kos pembinaan sebanyak RM851,040,000.00.
  4. Berkaitan komponen projek Terowong Dasar Laut, laporan kajian kebolehlaksanaan telah disiapkan oleh syarikat konsesi CZC dan dikemukakan kepada pihak Kerajaan Negeri pada Disember 2020. Laporan ini telah disemak dan disahkan oleh syarikat perunding teknikal bebas (ICE) setelah ulasan pihak berkepentingan (stakeholders) diambil kira. Hasil kajian laporan kajian kebolehlaksanaan kini dalam proses penelitian Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri dan akan diangkat ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan dan tindakan seterusnya, iaitu peralihan ke fasa reka bentuk terperinci.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Projek tambakan Penang South Reclamation (PSR) merupakan model pembiayaan pelaksanaan PTMP dan secara tidak langsung menjadi pemangkin transformasi ekonomi negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan projek PSR juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan tanah di bahagian pulau untuk tujuan pembangunan ekonomi.
  2. Projek PSR akan dibangunkan dengan konsep pembangunan bandar raya pintar yang memenuhi syarat-syarat ESG (environmental, social, governance) dan projek ini akan mewujudkan lebih 300,000 (300 ribu) peluang pekerjaan menjelang tahun 2050 serta menghasilkan kawasan baharu (greenfield area) untuk projek komersil, perumahan dan pelancongan pada masa hadapan.
  3. Projek PTMP dan PSR ini akan secara langsung membolehkan Pulau Pinang mencapai ekonomi yang berdaya saing dan memberangsangkan terutamanya dalam keadaan dunia yang sedang mengalami krisis ekonomi akibat pandemik wabak COVID19.
  4. Sebagai makluman, kerja pembinaan bagi projek PSR masih belum dimulakan kerana Kerajaan Negeri sedang menunggu kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environment Management Plan, EMP) daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). EMP tersebut merupakan salah satu syarat dalam kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) yang wajib dipatuhi. Kerajaan Negeri menjangka pihak JAS akan memaklumkan keputusan permohonan EMP tersebut tidak lama lagi.
  5. Dalam pada itu, syarikat Bjarke Ingels Group (BIG) iaitu syarikat yang bertanggungjawab dalam penyediaan pelan induk pembangunan PSR, sedang giat menyediakan ‘Detailed Masterplan Design’ dan Urban Design Guideline (UDG). Proses ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir bulan Mei 2021.
  6. Permohonan Kebenaran Merancang untuk memulakan aktiviti menebus guna tanah PSR telah diperakui pada 3 Mac 2021. Sementara itu, Kebenaran Merancang bagi pembangunan topside pula telah dikemukakan kepada PLANMalaysia pada 12 Januari 2021 dan turut diedarkan kepada 31 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan. Pihak PLANMalaysia dijangka memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Teknikal Perancangan pada akhir bulan Mac 2021 sebelum mengemukakan saranan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (State Planning Committee, SPC) untuk keputusan pembentangan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dijangka diadakan pada bulan Julai 2021.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Beralih semula kepada inisiatif di bawah PTMP, Projek Lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL 1) sepanjang 19.5km yang menghubungkan Daerah Timur Laut dari kawasan Persiaran Gurney ke kawasan Free Trade Zone (FIZ) 4 di Daerah Barat Daya telah mendapatkan kelulusan EMP dari JAS pada 10 April 2019. Tempoh sah laku kelulusan EIA selama dua (2) tahun pula telah dilanjutkan sehingga 10 April 2022. Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang merancang pelaksanaan Lebuhraya PIL 1 secara berfasa bermula dengan jajaran sepanjang 2.4km dari Jalan Tun Dr. Awang sehingga Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di kawasan FIZ 4. Dengan pelaksanaan fasa jajaran ini, kesesakan di Jalan Tengah/Jalan Bayan dan kawasan perindustrian FIZ dapat dikurangkan melalui penyuraian trafik yang efektif.
  2. Seterusnya, Kerajaan Negeri juga dalam perancangan melaksanakan Lebuhraya Pan-Island Link 2A (PIL 2A) yang merupakan jajaran penghubung utama di antara kawasan tambakan PSR dan pulau sedia ada di kawasan Barat Daya. Jajaran sepanjang 5.3km ini adalah dirancang sebagai struktur jejambat (viaduct) untuk menambah baik aliran trafik ke kawasan PSR dan tidak menjejaskan aliran trafik setempat sepanjang kawasan jajaran.
  3. Sementara itu, pihak Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memuktamadkan lokasi stesen LRT di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Lokasi stesen ini adalah antara perkara yang perlu dimuktamadkan bagi mendapat kelulusan penuh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
  4. Proses untuk membolehkan pelaksanaan komponen Bayan Lepas LRT melibatkan kelulusan Skim Kereta Api (rail scheme), EIA, SIA, Heritage Impact Assessment (HIA), dan Traffic Impact Assessment (TIA). Setakat ini, kelulusan EIA dan SIA bagi jajaran Komtar ke Permatang Damar Laut iaitu untuk Segmen 1 sehingga Segmen 4, serta laporan TIA dan HIA telah pun diperolehi. Kerajaan Negeri masih perlu mendapatkan kelulusan untuk EIA dan SIA bagi Segmen 5.

Perkhidmatan Bas

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menambahbaik sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Bermula dengan perkhidmatan bas percuma Central Area Transit (CAT) George Town sehingga ke perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) dan Bas Percuma Congestion Alleviation Transport (CAT), Pulau Pinang sekali lagi melakukan anjakan paradigma dengan menyediakan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma pada setiap masa, setiap hari dan setiap laluan bagi semua warga Malaysia yang melanggan Pas Mutiara My30. Ini menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia di mana perkhidmatan bas awam adalah percuma.
  2. Perkhidmatan ini dapat diperkenalkan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan yang telah memperluaskan Pas Perjalanan Tanpa Had My30 ke Negeri Pulau Pinang mulai 1 Januari 2021. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas kendalian Kumpulan Prasarana iaitu Rapid Penang dengan harga RM30 sebulan. Justeru, sebagai langkah proaktif untuk membantu meringankan beban perbelanjaan harian pengguna yang terjejas pendapatannya sepanjang pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menanggung kos langganan yang bernilai RM30 sebulan untuk setiap kad dengan jumlah 10,000 kad. Sejak program ini dilancarkan pada 1 Mac 2021, bilangan pelanggan Pas Mutiara My30 ini telah meningkat daripada sekitar 2,300 orang kepada 8,000 orang.
  3. Ini bermaksud bahawa skim bas percuma ini telah berjaya meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, selaras dengan hasrat Penang 2030. Secara tidak langsung, program ini juga membantu pengguna meraih penjimatan kos seharian seperti petrol, parkir dan tol.

Infrastruktur Telekomunikasi

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus berusaha untuk memastikan penyediaan keperluan infrastruktur digital yang menyeluruh dan berkualiti tinggi bagi menampung keperluan norma baharu dan menyokong ekonomi digital di negeri ini. Pengukuhan infrastruktur telekomunikasi melalui kemudahan jalur lebar bukan sahaja menjadi perkara asas dalam pelaksanaan inisiatif negeri pintar, malah sekaligus dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.
  2. Sejajar dengan inisiatif Penang Connectivity Master Plan (PCMP), Kerajaan Negeri telah menggariskan keperluan untuk menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi tetap sebagai salah satu infrastruktur asas yang telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil 25 dan 27 di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
  3. Justeru, Kerajaan Negeri telah memutuskan agar pihak pemaju diwajibkan untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi gentian optik di dalam mana-mana bangunan atau kawasan skim pemajuan baharu di seluruh Negeri Pulau Pinang. Keputusan Kerajaan Negeri ini adalah bagi menyokong penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi memandangkan penggunaan wayar jenis copper tidak lagi relevan.
  4. Untuk makluman semua, Negeri Pulau Pinang sekali lagi menjadi peneraju dan merupakan perintis dalam penguatkuasaan polisi ini apabila diberi pengiktirafan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai negeri pertama yang melaksanakan dasar mengiktiraf infrastruktur fiber gentian optik sebagai utiliti asas, setaraf dengan bekalan elektrik dan air.
  5. Penguatkuasaan pemasangan infrastruktur komunikasi ini bukan sahaja menjadi pemboleh (enabler) utama dalam memastikan pelaksanaan PCMP berjalan dengan lancar, tetapi dapat mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G dan mengatasi masalah pemain industri bagi mendapatkan kelulusan tanah bagi membina menara komunikasi.

Penutup

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan Negeri Pulau Pinang dilaksanakan mengikut perancangan bagi memberi kemudahan kepada rakyat Pulau Pinang.
  2. Justeru, semua pihak termasuk pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan harus bekerjasama dan berganding bahu untuk mencapai sasaran ini demi kemakmuran rakyat dan kemajuan negeri terutama dalam merealisasikan aspirasi Penang 2030 agar Negeri Pulau Pinang dapat menjadi sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s