Hakisan Tebing Pantai Di Batu Ferringgi Adalah Insiden Terpencil

George Town, 26 April 2021

Saya merujuk kepada laporan surat khabar The Star yang berjudul “Sandy beaches being washed away” pada 24 April yang lalu. Laporan tersebut amat mengelirukan dan memberi gambaran yang salah mengenai keadaan pantai di Batu Ferringgi.

Menurut laporan tersebut, hampir seluruh pantai Batu Ferringgi sudah terhakis dan yang tinggal hanyalah batu-batuan. Kenyataan ini amat mengelirukan dan amat tidak bertanggungjawab kerana hakikatnya kawasan yang terjejas oleh hakisan pantai hanyalah di kawasan Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa dan bukannya di seluruh pantai Batu Ferringgi.

Buat pengetahuan umum, Rasa Sayang sememangnya tidak mempunyai pesisiran pantai pada waktu air pasang dan hanya mempunyai kawasan pantai ketika air surut. Malah, pihak hotel telah membina struktur atas tebing pantai dalam kawasan lot tanah mereka sehingga ke pinggir laut. Struktur tersebut juga menjadi beban ke atas tebing tersebut dan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada hakisan tebing pantai yang berlaku.

Pejabat saya telah menerima aduan daripada pihak Rasa Sayang berkaitan isu ini pada 8 Februari 2021. Setelah berbincang dengan agensi-agensi teknikal, satu lawatan tapak telah dijalankan pada 18 Februari 2021 bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Dalam lawatan tersebut, anggaran panjang hakisan adalah lebih kurang 300 meter dengan ketinggian tebing dalam lingkungan 2 meter. Dalam erti kata lain, kawasan yang terjejas dengan hakisan hanyalah 0.3km daripada keseluruhan 2.7km pantai Batu Ferringgi. Oleh itu, kenyataan yang dibuat oleh The Star adalah salah sama sekali.

Hasil daripada lawatan tapak, pihak hotel bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan hakisan tebing pantai tersebut. Justeru, mereka telah pun melantik perunding dan mengemukakan pelan cadangan kepada JPS dan MBPP untuk mendapatkan ulasan sebelum melaksanakan kerja pembaikan hakisan tebing tersebut.

Sebagai maklumat tambahan, hakisan pantai adalah perkara yang berlaku secara semula jadi dan kadar hakisan di Batu Ferringgi hanyalah 2.08 meter setahun berbanding dengan negeri seperti Terengganu yang mengalami kadar hakisan 24 meter setahun. Kerajaan Negeri sedang mengawasi perkara ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya dari masa ke semasa.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s