MCA cuba mengelirukan rakyat kerana tarif air adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan

George Town, 28 Mei 2021

Saya merujuk beberapa laporan media yang memetik Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng sebagai menggesa agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang “membatalkan rancangan menaikkan tarif air” khususnya pada ketika rakyat sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.[1]

Isu ini dibangkitkan ekoran proses rundingan awam berkaitan cadangan semakan semula tarif air di Pulau Pinang yang sedang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dari 24 Mei hingga 6 Jun 2021.

Sebenarnya, kenyataan MCA ini amat menghairankan kerana sekiranya beliau tidak setuju dengan semakan semula tarif air di Pulau Pinang, aduannya sepatutnya ditujukan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana proses rundingan awam ini sedang dijalankan oleh SPAN dan bukannya Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

Tambahan lagi, proses rundingan awam ini bukan sahaja dilakukan di Pulau Pinang malah melibatkan kebanyakan negeri. SPAN telah memulakan proses rundingan awam bagi penyemakan semula tarif air pada tahun 2019 dan 2020 di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Labuan. Bagi tahun 2021 pula, SPAN akan melaksanakan rundingan awam di Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.

Mengapa MCA tidak mempersoalkan proses rundingan awam bagi penyemakan semula tarif air di negeri-negeri lain dan hanya menumpukan perhatian terhadap Negeri Pulau Pinang sahaja? Malah, Tan menyatakan bahawa “tarif air melonjak empat kali lebih 20 peratus” dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Namun apa yang tidak disebutkan oleh Tan adalah hakikat bahawa sejak pentadbiran Pakatan Harapan bermula pada tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mengekalkan tarif air domestik Pulau Pinang sebagai tarif air yang paling murah di seluruh negara walaupun penggunaan air per kapita Pulau Pinang merupakan yang paling tinggi.

Akhir sekali, tidakkah MCA tahu bahawa Menteri Alam Sekitar dan Air semasa sidang Parlimen pada 21 Julai 2020 telah pun mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan, selaku pihak berkuasa yang mempunyai kata akhir mengenai tarif air, tidak akan meluluskan semakan tarif air semasa pandemik Covid-19?

Justeru, berdasarkan kenyataan Menteri, jelas tiada kenaikan tarif yang akan berlaku dalam masa terdekat dan proses rundingan awam ini kemungkinan besar adalah sebahagian daripada usaha SPAN untuk bersiap sedia bagi penyemakan semula tarif pada masa hadapan setelah pandemik berjaya ditangani. Apa-apa pun, semakan semula tarif akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan pada masa yang dianggap sesuai.

MCA sebagai rakan kongsi dalam gabungan pemerintah Perikatan Nasional seharusnya lebih arif mengenai bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dalam penentuan tarif air di negara ini. Oleh itu, kenyataan yang dibuat oleh Tan ini tidak berasas dan hanyalah cubaan untuk mengelirukan rakyat.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang


[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/820532/p-pinang-diminta-tangguh-naik-tarif-air

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s