Dek krisis Covid-19, lagi penting PSI diteruskan

George Town, 1 Jun 2021

Saya merujuk kepada kenyataan Nurul Izzah Anwar bertarikh 31 Mei 2021 yang menggesa pembatalan projek Penang South Island (PSI).

Model usaha sama (JV) mengurangkan risiko

Pertama sekali, beliau telah membuat dakwaan serius dengan menggelarkan projek tersebut sebagai “penuh dengan risiko, hutang, ketidakpastian”. Walaupun saya memahami kegusaran yang mungkin timbul dalam projek yang besar sebegini, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah jauh dari realiti sebenarnya. Malahan, salah satu sebab utama Kerajaan Negeri memilih model usaha sama bersama SRS Consortium adalah untuk mengurangkan risiko tersebut.

Sekiranya Kerajaan Negeri mengusahakan PSI secara sendiri, ia pastinya akan menjadi beban kewangan yang besar. Bukan sahaja modal berbilion ringgit diperlukan untuk projek tambakan laut, pulangan pula hanya akan dinikmati setelah bertahun-tahun berlalu kerana tanah tidak dapat dijual sehingga projek tambakan siap.

Melalui model usaha sama pula, kita dapat meneruskan projek tambakan laut dengan semua risiko dan hutang berkaitan termasuk kos pembiayaan dan jaminan korporat ditanggung oleh rakan kongsi utama SRS Consortium iaitu Gamuda Berhad. Sekiranya berlaku kemungkiran (default), telah pun dipersetujui bahawa semua tanah yang ditambak tidak akan dikaveat oleh peminjam. Justeru, semua potensi risiko telah dikurangkan dengan sebaik-baiknya.

PSI akan menguntungkan nelayan

Keduanya, Nurul Izzah telah membangkitkan isu penting melibatkan mata pencarian para nelayan dan mendakwa bahawa projek PSI akan menjejaskan komuniti mereka dan “meningkatkan kadar kemiskinan”. Ini adalah jauh panggang dari api kerana beliau sendiri mengakui bahawa “Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan pakej dan program ex-gratia yang bertujuan untuk memberikan faedah jangka panjang kepada 1,615 nelayan yang terjejas”.

Secara faktanya, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan pakej ex-gratia yang ditawarkan kepada para nelayan adalah pakej bayaran berskala besar yang paling lumayan di Malaysia. Bukan sahaja bayaran tunai, mereka juga akan menerima bot dan enjin baharu, membawa jumlah nilai pakej tersebut kepada hampir RM60,000 setiap seorang tertakluk kepada kategori. Boleh dikatakan ini semua adalah pelaburan modal yang mereka tidak akan mampu memperolehi secara sendiri.

Di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial pula, beberapa usaha tambahan akan dilakukan seperti program pengimbangan ekologi seperti penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun  tiruan dan unjam yang berfungsi sebagai kawasan ikan berkumpul, pelepasan benih ikan dan udang, serta peruntukan dana bagi penyelidikan perikanan, tukun dan ekologi laut.

Selain itu, Nurul Izzah menghujahkan peri pentingnya peningkatan kemahiran ataupun usaha “re-skilling” sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat nelayan. Di sini, saya setuju dengan pendapat beliau.

Oleh itu, selain daripada pakej ex-gratia di atas, program kemahiran semula untuk para nelayan sepenuh masa juga akan dilaksanakan. Melaluinya, mereka akan mendapat peluang pekerjaan semasa tempoh pelaksanaan projek PSI. Dengan peluang pekerjaan ini, mereka akan menikmati pendapatan yang lebih stabil dan jaminan kewangan di dalam bentuk sumbangan KWSP, iaitu satu faedah yang tidak dinikmati mereka pada waktu sekarang. Sokongan keusahawanan dan latihan juga akan diwujudkan di samping skim tuisyen untuk anak-anak nelayan. Selain itu, keutamaan untuk perumahan kos rendah dan sederhana rendah juga akan diberikan kepada nelayan yang layak.

Bagi meyakinkan Nurul Izzah, Kerajaan Negeri sedia mengaturkan perjumpaan beliau bersama dengan para nelayan yang benar-benar terlibat agar beliau akan memperolehi gambaran yang lebih tepat dan bukannya bersandarkan kepada nasihat yang salah.

Mesra alam dan pembangunan yang mampan

Sebagai hujah ketiga, Nurul Izzah telah membangkitkan isu kebimbangan alam sekitar. Dalam hal ini saya bersetuju dengan beliau. Oleh itu, PSI telah direka dan dirancang dengan mematuhi kriteria ESG (environmental, social, governance) yang ketat.

Kerajaan Negeri amat maklum bahawa syarikat multinasional dan pelabur masa kini meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap pembangunan mampan. Dengan PSI, kita boleh membuat perancangan awal untuk membina bandaraya rendah karbon yang mampan serta selari dengan piawai antarabangsa yang tertinggi, seterusnya berupaya untuk menarik pelaburan yang sangat diperlukan ke dalam negeri ini.

Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dikaji dan langkah-langkah mitigasi telah dirancang di bawah program ofset ekologi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil kira kajian UN Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), Low Carbon Cities Framework, dan laporan bebas oleh Royal HaskoningDhv di dalam perancangan PSI.

Mudah untuk mendakwa tambakan laut adalah buruk untuk alam sekitar, namun hakikatnya tambakan laut telah diiktiraf oleh UN IPCC sebagai “teknologi matang dan efektif’” yang “boleh mewujudkan tahap keselamatan boleh ramal” seterusnya berfungsi sebagai salah satu cara mitigasi impak perubahan iklim. Singapura adalah contoh yang baik di mana tambakan laut dilaksanakan bagi menangani kesan perubahan iklim.[1]

Sudah tentu, ketiga-tiga pulau dalam PSI telah dirancang dengan kawasan hijau awam yang banyak, dengan 20% kawasan disediakan untuk taman dan padang, kawasan paya bakau, terusan air dan tanah lembap (wetlands) untuk mencapai penurunan suhu persekitaran. Tambahan lagi, PSI menyasarkan untuk menurunkan pengeluaran karbon sebanyak 40% dan pencapaian 100% penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan permintaan air tawar sebanyak 70%.

PSI sebagai pemangkin ekonomi

Akhir sekali, PSI dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah diiktiraf oleh  Penang Socio-Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) sebagai pemacu pemulihan utama untuk memastikan keadaan ekonomi akan terus sihat sepertimana rakyat negeri Pulau Pinang ketika dan selepas krisis Covid-19 ini.

Malah, krisis ekonomi yang tercetus akibat pandemik inilah yang menjadikan PSI sebagai satu projek yang lebih penting untuk dilaksanakan. Dalam kata lain, PSI amat diperlukan untuk menjadi pemangkin utama bagi membangunkan Pulau Pinang dalam dunia pasca-Covid-19.

Berdasarkan trajektori industrialisasi Pulau Pinang sebelum ini, satu kajian bebas yang dibuat oleh PricewaterhouseCoopers telah menunjukkan bahawa setelah siap, PSI mampu menarik RM70bil pelaburan langsung asing dan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak lebih 300,000 sepanjang tempoh 30 tahun.

PSI juga akan menjadi pemangkin peluang pekerjaan bernilai tinggi supaya kita bukan sahaja dapat mengurangkan penghijrahan keluar modal insan (brain drain) daripada negeri ini di samping menarik lebih ramai modal insan yang berbakat daripada dalam dan luar negara ke Pulau Pinang.

Seperti Zon Industri Bebas Bayan Lepas sebelum ini, PSI adalah projek untuk masa hadapan Pulau Pinang. Tidak seperti Nurul Izzah, saya telah membesar di Pulau Pinang, saya kini bekerja di Pulau Pinang dan merancang untuk bersara di Pulau Pinang. Oleh itu, saya amat mengharapkan agar kita dapat mewujudkan peluang terbaik bukan sahaja untuk rakan-rakan sebaya saya, tetapi lebih penting lagi untuk anak cucu kita. Tanpa adanya PSI, saya bimbang anak-anak kita akan terus meninggalkan negeri untuk mencari hujan emas di negeri orang seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang


[1] https://www.japantimes.co.jp/news/2020/02/28/asia-pacific/science-health-asia-pacific/singapore-climate-change/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s