Desakan PN untuk batal projek PSI bersifat hipokrit dan merupakan satu lagi penindasan politik terhadap Pulau Pinang

George Town, 4 June 2021

Projek Penang South Islands (PSI) kian mendapat perhatian banyak pihak dan terkininya daripada Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pulau Pinang dianaktirikan lagi

Sejurus selepas membentuk kerajaan pintu belakang pada tahun lepas, Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) telah mula menyasarkan Pulau Pinang. Tiga projek infrastruktur strategik telah dibatalkan atau digantung pelaksanaannya, iaitu projek kereta kabel Bukit Bendera yang bernilai RM100 juta, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang bernilai RM800 juta dan paling ketara sekali pembatalan jaminan bon sukuk berjumlah berbilion ringgit bagi pembiayaan sistem LRT di Pulau Pinang.

Di saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang hampir tidak terkawal, segala usaha patut diberikan kepada program vaksinasi nasional dan sistem kesihatan negara yang makin tenat. Sebaliknya, menteri-menteri PN lebih minat bermain politik dengan memangsakan Pulau Pinang sekali lagi.

Kali ini mereka menyerang projek PSI, iaitu satu projek yang bukan sahaja bertujuan sebagai modal pembiayaan pembangunan infrastruktur penting seperti LRT dan lebuh raya Pan-Island Link 1 di negeri ini, tetapi juga berperanan besar untuk memperluaskan peluang ekonomi baharu di masa hadapan khususnya untuk rakyat Pulau Pinang.

Asap dan cermin

Yang paling ironis sekali, kedua-dua menteri PN tersebut menggunakan isu alam sekitar dan impak sosial sebagai asas penolakan mereka terhadap projek PSI. Namun yang peliknya mereka tidak pula menyuarakan kebimbangan terhadap projek-projek tambakan berskala besar di negeri-negeri yang dipimpin PN seperti Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan dan Melaka.

Malah, Majlis Perancang Fizikal Negara baru-baru ini memberi restu kepada negeri Melaka untuk membangunkan kawasan seluas 7,081 hektar termasuk 4,485 hektar tambakan pesisiran pantai, iaitu dua setengah kali ganda lebih luas berbanding apa yang dicadangkan di dalam PSI (1,821 hektar). Di manakah suara kebimbangan alam sekitar dan impak sosial kedua-dua menteri PN mengenai projek tersebut yang jauh lebih besar impaknya berbanding projek di Pulau Pinang? Kebisuan mereka amat memekakkan dan lantas membuktikan bahawa Pulau Pinang sekali lagi dimangsakan atas tujuan politik semata-mata.

Kebingitan Wan Junaidi menyuarakan kebimbangan beliau tentang isu alam sekitar amat menyangsikan kerana sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia telah menjadi salah satu pusat longgokan sampah terbesar di dunia dengan mengimport 941,100 tan sisa plastik dari pelbagai negara luar dari tahun 2016 sehingga beliau digantikan pada 2018.[1]

Pendirian cakap tak serupa bikin oleh Wan Junaidi ini juga terserlah di dalam portfolio semasa yang dipegang beliau selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas pembangunan usahawan. Tidakkah beliau tahu bahawa cubaan untuk menghentikan projek PSI ini hanya akan membantutkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Pulau Pinang?

Reezal Merican pula mendakwa ada cara lain untuk mencari dana bagi pembangunan infrastruktur. Kenyataan ini amat ironis kerana adalah kerajaan PN sendiri yang membatalkan jaminan kerajaan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan dahulu.

Memang mudah menuduh Pulau Pinang tidak cuba mencari cara pembiayaan alternatif, namun Kabinet yang dianggotai Reezal sendiri juga yang telah menyekat usaha Pulau Pinang untuk membuat pinjaman. Hakikatnya, tanpa kebenaran untuk mengumpul dana di pasaran, Pulau Pinang terpaksa kembali kepada pelan asal iaitu dengan menambak laut.

PSI sebagai pemangkin pemulihan

Saya telah menjawab dengan panjang lebar berkenaan isu impak sosial dan alam sekitar di dalam kenyataan sebelum ini dan saya tidak akan mengulanginya. Secara faktanya, PSI telah dirancang dengan teliti bukan sahaja sebagai pembangunan mampan yang mematuhi piawaian ESG (environmental, social and governance) antarabangsa, tetapi juga bakal menjadi pemangkin untuk pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di samping dapat menghalang penghijrahan keluar modal insan serta menarik bakat-bakat terbaik ke Pulau Pinang.

Lebih penting lagi, PSI juga berperanan besar sebagai pemangkin pemulihan pasca-Covid-19 seperti yang diiktiraf oleh Penang Socio-Economic Recovery Consultative Council. Projek ini dijangka akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh masa 30 tahun. Sekiranya pembinaan dimulakan tahun ini, kita menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam lingkungan masa tiga tahun di samping suntikan dana bernilai RM7 bilion ke dalam ekonomi tempatan semasa tambakan pulau yang pertama.

Justeru, desakan menteri-menteri PN untuk membatalkan PSI adalah bersifat hipokrit dan merupakan satu penindasan politik yang bertujuan untuk membantutkan kesejahteraan Pulau Pinang dengan membunuh peluang pekerjaan dan menyukarkan pemulihan negeri ini daripada krisis Covid-19.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang


[1] https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/05/29/malaysia-makes-its-stand-on-waste

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s