CIVac Perlu Disegerakan Dan Bukan Ditunda

George Town, 5 Ogos 2021

Jumlah kes Covid-19 di Pulau Pinang terus menunjukkan peningkatan mendadak sehingga Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang terpaksa ditutup mulai 4 Ogos 2021 bagi diubah suai menjadi wad pemerhatian dan rawatan awal untuk pesakit Covid-19. Ini menunjukkan virus Covid-19 telah pun menular di kalangan komuniti warga Pulau Pinang dan sistem kesihatan negeri kini berada di ambang kelumpuhan.

Nescaya, satu-satunya langkah bagi menangani pandemik Covid-19 dan memastikan warga Pulau Pinang kembali ke norma kehidupan pra-Covid-19 adalah melalui vaksinisasi.

Kadar vaksinasi perlu dipergiatkan lagi

Namun, walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula dijalankan sejak bulan Februari yang lalu, masih ramai warga Pulau Pinang yang belum menerima temu janji dos pertama vaksin Covid-19, termasuk sebilangan warga emas yang ‘tercicir’. Berdasarkan data semasa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya 18.2% warga Pulau Pinang yang sudah menerima dua (2) dos vaksin Covid-19 setakat ini.

Bagi mempergiatkan lagi kadar vaksinisasi di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memberi kerjasama penuh kepada pihak Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan sehingga kini telah berjaya mewujudkan 101 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk PIKAS di negeri ini. Selain itu, beberapa buah bas CAT tajaan Kerajaan Negeri turut diubah suai sebagai PPV Bergerak (mobile PPV) yang digunakan dalam program Outreach Vaksinisasi anjuran CITF.

CIVac bagi sektor pembinaan

Antara program vaksinasi yang turut disokong oleh Kerajaan Negeri adalah program Construction Industry Vaccination (CIVac) wilayah utara yang dijadualkan berlangsung mulai hari ini, 5 Ogos 2021, bertempat di Sunway Carnival Convention Centre, Seberang Jaya.

 Malangnya, berita baru diterima petang semalam bahawa pelaksanaan program CIVac di Pulau Pinang dan Johor terpaksa ditunda selama seminggu kepada 12 Ogos 2021.

Umum mengetahui industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang kritikal, bukan sahaja dari segi penularan virus malah juga dari segi potensi pemulihan ekonomi kerana sektor ini merupakan penyumbang ekonomi utama yang bakal menjana peluang pekerjaan dan kesan limpahan (spillover effects) yang positif.

Menurut data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sendiri, terdapat seramai 47,950 pekerja sektor pembinaan di Pulau Pinang. Justeru, jumlah vaksin yang diberi untuk 30,000 pekerja sahaja jelas tidak mencukupi dan harus ditambah dalam fasa akan datang. Pun begitu, vaksinasi pekerja-pekerja wajar dimulakan dengan kadar segera.

Segerakan dan bukan ditunda

Kerajaan Negeri amat kesal dengan penundaan program CIVac di Pulau Pinang dan berpendirian bahawa program perlu disegerakan dalam masa terdekat. Keselamatan rakyat Pulau Pinang secara amnya dan juga para pekerja sektor pembinaan secara khusus perlu diberi keutamaan dan tidak wajar diabaikan.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s