Ucapan Penggulungan Usul Terima Kasih TYT 2021

Tuan Yang Dipertua,

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak atas pelantikan sebagai Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan serta ucapan terima kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun untuk hadir dan merasmikan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada kali ini. Harapan kami, semoga Negeri Pulau Pinang bertambah maju dan makmur di bawah pentadbiran dan pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun.
  2. Tidak dilupakan, ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan Negara Malaysia yang ke-64 pada tahun ini kepada semua rakyat Malaysia khususnya penduduk Negeri Pulau Pinang. Walaupun kita semua sedang mengalami kesukaran akibat pandemik Covid-19 yang masih menular, saya yakin dengan daya tahan ataupun resilience rakyat Pulau Pinang yang tidak pernah mengaku mengalah, Negeri kita sudah tentu akan bangkit kembali dalam masa terdekat. Justeru, Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah proaktif bagi merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk meneliti dan merancang strategi untuk memulihkan ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu pembangunan sektor infrastruktur dan pengangkutan di Pulau Pinang bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mengurangkan impak negatif kepada sektor ini.

Kerja Raya dan Infrastruktur Jalan

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bukit Tambun ada bertanya berkenaan status projek Jambatan Valdor merentasi Sungai Tengah serta sambungan Jalan Perusahaan Valdor yang sepatutnya selesai pada tahun 2019. Selain itu, Yang Berhormat juga turut bertanya mengenai isu sambungan jalan dari Bandar Tasek Mutiara ke Hijauan Hills, Valdor yang masih belum dilaksanakan.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, terdapat isu kelulusan pelan dan isu kerosakan jalan yang telah berlaku bagi pelaksanaan projek Jambatan Valdor ini. Bagi isu kelulusan pelan, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mensyaratkan agar pusingan-U disediakan bagi kenderaan berat. Pihak Penang Development Corporation (PDC) akan berbincang dengan pihak MBSP dalam masa terdekat mengenai cadangan perkongsian dana antara pemaju-pemaju di Valdor. Manakala isu kerosakan jalan pula adalah disebabkan faktor reka bentuk oleh pihak konsultan yang tidak mematuhi spesifikasi dan pembinaan oleh pihak kontraktor yang tidak mematuhi pelan. Justeru, mesyuarat bersama Yang Berhormat sendiri pada 27 Julai yang lalu telah bersetuju supaya kelulusan pelan diperolehi dan perkongsian dana dipersetujui sebelum kerja pembinaan dilaksanakan di tapak.
  3. Selain itu, bagi isu sambungan jalan dari Bandar Tasek Mutiara ke Hijauan Hills, Valdor, Kerajaan Negeri telah memutuskan agar pembinaan jalan tersebut disyaratkan kepada pemaju Tetuan Palmington Sdn. Bhd. sekiranya pemaju mengemukakan Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) yang baharu bagi projek di Bandar Tasek Mutiara kelak. Ini termasuk juga projek-projek di sekitar Bandar Tasek Mutiara dan bukan hanya tertakluk kepada pemajuan di township tersebut. Pembinaan jalan ini perlu dijalankan sebelum projek baharu boleh dimulakan. Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak MBSP masih belum menerima sebarang PKM daripada pihak pemaju.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Permatang Berangan membangkitkan mengenai kemalangan yang kerap berlaku di jalan utama Tasek Gelugor dan Simpang Tiga Kampung Tok Bedu. Jalan Kampung Tok Bedu menjadi laluan utama kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut termasuk dari Kepala Batas yang kerap menggunakan jalan tersebut dan mengakibatkan kesesakan berlaku terutamanya setiap pagi.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang telah membuat bancian lalu lintas dan hasil bancian mendapati terdapat keperluan bagi pemasangan lampu isyarat di persimpangan tersebut. JKR akan mengangkat hasil bancian lalu lintas ini untuk mendapatkan kelulusan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas di peringkat MBSP. Seterusnya pihak JKR akan memohon peruntukan melalui bajet pembangunan tahun 2022 untuk tujuan pembinaan lampu isyarat ini.
  3. Selain itu, Yang Berhormat Permatang Berangan juga membangkitkan isu untuk membina lampu isyarat bagi mengurangkan kesesakan jalan di Simpang Tiga Pokok Tampang melalui jalan keluar ke Jalan Arumugam Pillay menuju ke Padang Menora di sebelah kiri dan Lahar Liur di sebelah kanan.
  4. Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR tiada perancangan untuk memasang lampu isyarat di persimpangan tersebut kerana telah ada lampu isyarat dengan jarak lebih kurang 50 meter daripada simpang tersebut. Selain itu juga, sekiranya dilaksanakan pembinaan lampu isyarat di simpang tersebut akan melibatkan kerja-kerja pengalihan kedai-kedai sedia ada dan memerlukan pelebaran jalan untuk kelancaran trafik. Walau bagaimanapun, pihak JKR akan membuat penambahbaikan dengan menambah bilangan transverse bar serta papan tanda amaran di kawasan berkenaan supaya pemandu dan penunggang kenderaan lebih berwaspada.
  5. Seterusnya, Yang Berhormat Permatang Berangan memohon untuk keperluan menaik taraf jalan ban di kawasan sawah padi di Lorong 28, Pengkalan Batu Pokok Tampang di persisiran Sungai Tok Keramat sehingga Lorong 10, Pokok Tampang. Laluan tersebut menjadi laluan utama kepada penduduk setempat selain menggunakan jalan utama.
  6. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa jalan ladang di ban pesisir di kawasan tersebut merupakan jalan bagi tujuan mekanisasi ladang dan digunakan untuk proses penghantaran input-input pertanian seperti baja, racun dan biji benih bagi kawasan jelapang padi. Jalan tersebut adalah di bawah projek Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Negeri Pulau Pinang di mana fungsi asal jalan pertanian adalah sesuai untuk tujuan jentera pertanian. Bagi isu ini, keperluan menaik taraf jalan tersebut akan dikaji dan dicadang oleh pihak JPS kepada pihak IADA.
  7. Yang Berhormat Permatang Berangan juga menyentuh berkenaan permohonan untuk membina tembok tebing di sepanjang tali air di Kampung Belukar di mana telah berlaku kes kemalangan yang menyebabkan kanak-kanak terjatuh dan mempunyai risiko kematian selain ia turut menjadi permintaan dari sekumpulan pengusaha sawah padi.
  8. Sebagai makluman Yang Berhormat, pembinaan tembok penahan di tali air Kampung Belukar telah dilakukan oleh IADA melalui projek pembangunan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke11 (RMKe-11). Pembinaan tembok penahan ini telah dilaksanakan di Tali Air G Blok M5D sepanjang 700 meter selepas berlakunya kejadian kemalangan tersebut.

Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap keperluan untuk menangani masalah banjir yang berlaku di Negeri Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi melaksanakan lapan (8) projek high impact di seluruh negeri Pulau Pinang sejak tahun 2017. Manakala Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sebanyak RM303.5 juta bagi melaksana lapan (8) projek tebatan banjir melalui peruntukan sambungan RMKe-11 dan RMKe-12. Di samping itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga melalui peruntukan Caruman Perparitan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM47.5 juta bagi projek-projek berskala sederhana.
  2. Sebagai makluman terkini, Kerajaan Negeri telah selesai melaksanakan dua (2) projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi iaitu RTB Parit 4 dan RTB Parit 5 di Seberang Perai Tengah. Manakala tiga (3) RTB lagi masih sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini iaitu RTB Mak Mandin di Seberang Perai Utara, serta RTB Sungai Nipah dan RTB Bayan Baru di Daerah Barat Daya. Satu lagi RTB berimpak tinggi iaitu Kolam Takungan Banjir Alma juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022.
  3. Selain itu, pihak JPS melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan juga telah siap melaksanakan projek RTB Sungai Kerian manakala RTB Teluk Kumbar sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Sungai Dua membangkitkan isu banjir dan apakah punca utama banjir masih berlaku di negeri ini.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, kejadian banjir yang berlaku di Negeri Pulau Pinang adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antara punca utama berlakunya banjir kilat adalah faktor geografi di mana Negeri Pulau Pinang berada di hilir sungai-sungai utama seperti Sungai Muda, Sungai Perai, Sungai Junjung, Sungai Jawi dan Sungai Kerian. Sebagai contoh, kawasan Seberang Perai menerima impak aliran hujan melalui sungai-sungai yang mengalir dari Kedah dan berisiko tinggi untuk berlakunya banjir sekiranya terjadi pertembungan hujan lebat dan faktor air laut pasang. Selain daripada itu, punca-punca lain berlakunya banjir adalah disebabkan oleh halangan dalam sistem perparitan sama ada sampah sarap, utiliti atau jambatan yang lama dan rendah. Sistem perparitan yang uzur dan di bawah kapasiti, keadaan paras tanah atau pembangunan sedia ada yang rendah dan di dalam dataran banjir, limpahan air sungai melalui ban rendah atau pecah juga turut menjadi faktor.
  3. Pihak JPS sentiasa menangani isu berkaitan sungai cetek secara berkala dengan menggunakan peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri dan juga peruntukan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri melalui pihak JPS telah mengenal pasti 63 kawasan hotspot banjir yang masih aktif di seluruh negeri sejak 2016. Dijangka menjelang tahun 2030 sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan hotspot dapat dikurangkan.
  4. Yang Berhormat Pantai Jerejak pula ada bertanya berkenaan kawasan hotspot banjir yang berlaku di kawasan DUN Pantai Jerejak.
  5. Sebagai makluman Yang Berhormat juga, kawasan hotspot banjir yang tertumpu di DUN Pantai Jerejak adalah di kawasan Bayan Baru. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bagi melaksanakan RTB Bayan Baru sebagai salah satu projek tebatan banjir berimpak tinggi. Projek ini menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM20,217,500.00. Kemajuan pembinaan fizikal semasa bagi projek ini adalah 78% dan dijangka siap pada Oktober 2021.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk memastikan projek-projek yang telah dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau Penang Transformation Master Plan (PTMP) termasuk projek Penang South Reclamation (PSR) dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Walaupun terdapat kritikan mahupun bantahan, Kerajaan Negeri tetap komited untuk membantu rakyat memahami manfaat yang akan diperolehi daripada projek-projek ini dan memastikan tiada sebarang komuniti terpinggir dari arus pembangunan.
  2. Projek-projek ini merupakan penyumbang utama kepada pelaburan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Peranan PTMP adalah untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, khususnya dengan menyediakan sistem pengangkutan rel yang akan mengurangkan kebergantungan penduduk Negeri Pulau Pinang terhadap kenderaan persendirian. Selain menambah baik tahap kehidupan dan keselesaan hidup rakyat, projek ini turut dapat membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing Negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pelancongan antarabangsa.
  3. Status terkini bagi projek-projek di bawah Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong adalah seperti berikut:
ProjekStatus
Pakej 1 (Projek Jalan Berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang)Kini dalam proses menentukan opsyen jajaran yang bersesuaian.
Pakej 2 (Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam)Kerja-kerja awalan telah dijalankan. Di samping itu, proses pengambilan balik tanah sedang dilaksanakan.
Pakej 3 (Projek Jalan Pintasan dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu)Dalam tindakan kontraktor memuktamadkan reka bentuk terperinci.
Pakej 4 (Projek Terowong Dasar Laut)Kerajaan Negeri dalam tindakan memuktamadkan kelulusan draf laporan kajian kebolehlaksanaan yang dikemukakan oleh kontraktor.
  1. Walau bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 ini telah menyebabkan pelaksanaan projek komponen PTMP ini tergendala pada peringkat awal kerana kekangan dan halangan terhadap kerja-kerja yang telah dirancang.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri menganggap pelaksanaan PTMP ini amat penting, lagi-lagilah dalam keadaan semasa kerana projek ini akan memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi. Dalam jangka masa pendek, pelaksanaan PTMP dan PSR akan menjana peluang perniagaan kepada banyak syarikat-syarikat pembekal bahan pembinaan dan perkhidmatan tempatan. Peluang perniagaan ini akan membolehkan syarikat-syarikat ini menjana pendapatan dan mengekalkan pekerja mereka, selain membayar cukai kepada kerajaan. Manakala, bagi jangka masa panjang, PSR menyasarkan Foreign Direct Investment (FDI) dengan anggaran sebanyak RM70 bilion, dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan sebanyak RM1.5 trilion, serta mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan menjelang tahun 2050. Pembangunan ini akan menjadi pemangkin perkembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang memacu ekonomi negeri.
  2. Semua usaha ini harus dilaksanakan mengikut perancangan supaya Negeri Pulau Pinang tidak ketinggalan dalam ekonomi dunia yang semakin mencabar. Sekiranya ditangguhkan lagi, pelaksanaan projek-projek yang terlibat akan memakan kos yang lebih tinggi di masa hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Salah satu rancangan untuk menjadikan Pulau Pinang lebih berdaya saing adalah melalui pengembangan zon perindustrian bebas Bayan Lepas untuk menarik pelabur baru ke Pulau A melalui pembangunan Penang South Islands (PSI).
  2. Zon Industri di Pulau A akan dibangunkan sebagai taman perindustrian teknologi tinggi “Green Tech Park” untuk menarik pelabur antarabangsa dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) berteknologi tinggi pada masa hadapan. Pembangunan Green Tech Park ini adalah berbeza daripada taman perindustrian yang sedia ada kerana ia direka bentuk secara khusus untuk menyediakan infrastruktur bagi menyokong keperluan Revolusi Perindustrian 4.0, teknologi digital, e-dagang, Artificial Intelligence (AI), 5G, Internet of Things (IoT), robotik dan automasi.
  3. Selain itu, pembangunan Green Tech Park juga akan memenuhi prinsip-prinsip Environmental, Social and Corporate Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG), serta mengambil kira cadangan Low Carbon Cities Framework (LCCF). Taman perindustrian baharu ini juga akan berjiran dengan sebuah “software campus” yang mempunyai pusat pentadbiran kerajaan negeri, pusat seni dan budaya, pusat konvensyen, pusat komersial dan tarikan pelancongan. Kerajaan Negeri yakin bahawa Green Tech Park akan menjadi satu jenama antarabangsa baru dalam menambah baik dan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam rantaian nilai sektor E&E dunia bagi 30 tahun akan datang.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Walaupun menghadapi cabaran untuk mendapatkan kelulusan dan peruntukan bagi projek-projek ini tetapi Kerajaan Negeri tidak pernah berputus asa. Buat masa ini, Kerajaan Negeri masih menantikan kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi Projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang. Sementara itu, aktiviti pra-pembinaan seperti kerja ukur (survey works) dan siasatan tanah (soil investigation) akan diteruskan di tapak projek. Walau bagaimanapun, kerja-kerja penambakan tidak akan dilaksanakan sehingga kelulusan EMP diberikan oleh JAS.
  2. Justeru, Yang Berhormat Sungai Dua usah khuatir kerana Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek PSR ini hanya akan bermula setelah kelulusan EMP diperolehi. Kerajaan Negeri juga akan memastikan kesan-kesan seperti selut dan lumpur dapat dikawal dengan baik.
  3. Selain itu, Kerajaan Negeri sedang menyusuli kelulusan akhir untuk memuktamadkan Skim Rel Bayan Lepas Light Rail Transit (BLLRT) yang telah mendapat kelulusan bersyarat pada 18 Julai 2019 dan dijangka akan mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada suku pertama tahun 2022 memandangkan Kerajaan Negeri masih dalam perbincangan bersama pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk memuktamadkan jajaran dan stesen BLLRT di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang seperti yang telah disyaratkan oleh pihak APAD.
  4. Kerajaan Negeri kini juga dalam proses mendapatkan kelulusan bagi laporan EMP daripada pihak JAS bagi Projek Pan Island Link 1 (PIL1). Di samping itu, pada peringkat ini juga pelantikan perunding bagi kerja-kerja pelaksanaan projek PIL1 sedang dijalankan dan dijangka akan memulakan kerja-kerja mereka bentuk pada akhir bulan September 2021 bagi Fasa 1A iaitu daripada Tun Dr. Lim Chong Eu (LCE) Interchange ke Tun Dr. Awang Interchange.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Pantai Jerejak dan Yang Berhormat Machang Bubuk telah membangkitkan mengenai cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
  2. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, pembinaan lapangan terbang seperti KXP adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT). Kerajaan Negeri berpendirian cadangan pembinaan KXP perlu diteliti secara mendalam dan lebih terperinci. Pendirian ini telah disuarakan secara konsisten dalam ulasan-ulasan Kerajaan Negeri kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MPFN dan Mesyuarat Kawal Selia MPFN.
  3. JPS pula telah memberi amaran bahawa terdapat sebatang sungai yang terdapat di pertengahan tapak cadangan KXP dan pelaksanaan diversion bagi Sungai Jerung adalah tidak digalakkan. JPS juga turut memaklumkan bahawa kualiti air Sungai Muda yang berdekatan dengan cadangan tapak KXP tersebut perlu dipelihara memandangkan sungai tersebut merupakan sumber air bersih bagi Negeri Pulau Pinang dan Negeri Kedah.
  4. Selain daripada risiko ancaman kepada sungai dan sumber air, Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya memberi penjelasan mengenai status projek KXP ini kerana ia juga berkait secara langsung dengan projek pembesaran dan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
  5. Seperti Yang Berhormat semua sedia maklum, projek pembesaran LTAPP amat diperlukan kerana perangkaan menunjukkan bahawa kapasiti lapangan terbang sudah lama dilampaui. Pada tahun 2019, jumlah penumpang telah mencecah 8.3 juta orang meskipun kapasiti LTAPP hanyalah 6.5 juta.
  6. Namun begitu, projek pembesaran LTAPP yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan telah pun ditangguh pelaksanaannya apabila Kerajaan Persekutuan yang baharu ditubuhkan pada awal tahun lepas. Alasan yang diberi oleh Menteri Pengangkutan adalah bahawa semua projek lapangan terbang di Malaysia akan ditangguh secara menyeluruh sehingga hasil kajian National Airports Strategic Plan (NASP) dimuktamadkan.
  7. Justeru itu, Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan sama ada projek KXP ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan walaupun kajian NASP belum lagi selesai. Sekiranya tidak dipersetujui, Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan sama ada projek KXP ini akan dibenarkan untuk diteruskan. Pada masa yang sama, adakah projek pembesaran LTAPP akan diteruskan atau tidak memandangkan LTAPP merupakan antara lapangan terbang dengan kadar pertumbuhan penumpang dan kargo yang paling memberangsangkan.

Bekalan Air

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Sungai Dua membangkitkan isu pemotongan bekalan air dan mengharapkan agar pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dapat memberi kelonggaran kepada pengguna-pengguna yang tidak dapat membayar bil air dengan tidak melaksanakan sekatan air. Yang Berhormat juga berharap agar pihak PBAPP dapat membuat penggantian paip air utama di kawasan kampung yang kerap mengalami kebocoran.
  2. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak PBAPP akan mempertimbangkan untuk tidak memotong bekalan air bagi Tariff 1 iaitu pelanggan domestik semasa keadaan pandemik COVID-19 ini sehingga ke suatu tempoh yang akan diberitahu kelak. Manakala bagi isu penggantian paip air utama, penggantian paip utama di kawasan DUN Sungai Dua akan dikaji dan diperuntukkan di dalam belanjawan PBAPP bagi tahun 2022. Walau bagaimanapun, penggantian paip air yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak PBAPP di daerah Seberang Perai Utara adalah seperti berikut:
TahunProjek
2019Satu (1) projek telah disiapkan di Kampung Sungai Korak.
2020Satu (1) projek telah disiapkan di Jalan Mohd Saad.
2021Dua (2) projek sedang dilaksanakan di Jalan Padang Tembusu, Penaga dan di Jalan Kampung Tok Bedu ke Kampung Pokok Jenerih.
  1. Selain itu, Yang Berhormat Sungai Dua juga turut membangkitkan soalan apakah tindakan dan alternatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan sumber air mentah bagi Negeri Pulau Pinang dengan tidak bergantung kepada sumber air dari Negeri Perak dan Negeri Kedah.
  2. Untuk Makluman Yang Berhormat, Sungai Muda hanya dapat memenuhi keperluan air mentah bagi Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2025. Sumber tambahan air mentah bagi Negeri Pulau Pinang telah dikenalpasti dalam Penang Water Supply Initiative (PWSI) 2050 yang telah dicadangkan oleh PBAPP bagi menjamin bekalan air Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2050.
  3. Justeru, sumber air mentah tambahan yang telah dikenal pasti oleh pihak PBAPP adalah melalui Skim Bekalan Air Sungai Perai dan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS). Projek SPRWTS ini telah dikenal pasti sejak tahun 2011 lagi namun ia tertangguh kerana Negeri Perak ingin menjual ‘air terawat’ manakala Negeri Pulau Pinang ingin membeli ‘air mentah’. Status terkini bagi pelaksanaan skim ini ialah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melantik pihak konsultan untuk membuat kajian tentang opsyen-opsyen yang bersesuaian bagi pelaksanaan projek ini. Kajian ini dijangka siap pada bulan November 2021.
  4. Selain itu, PBAPP juga telah mencadangkan Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS) sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber air mentah. Projek ini dicadang untuk dimulakan sekiranya projek SPRWTS masih tertangguh menjelang tahun 2025. Ingin dimaklumkan bahawa kos penyahgaraman air laut adalah lebih tinggi daripada merawat air mentah dari Sungai Perak.
  5. Yang Berhormat Machang Bubuk pula ada bertanya mengenai apakah tindakan alternatif Kerajaan Negeri sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan menolak cadangan penubuhan Ulu Muda Basin Authority (UMBA) serta apakah jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memainkan peranan secara profesional terhadap isu ini.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mencadangkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan agar satu pihak berkuasa bebas ditubuhkan untuk memelihara dan mengurus sumber air dari Ulu Muda. UMBA dicadangkan sebagai langkah diplomasi bagi memastikan sumber air tidak tercemar dan tidak terjejas melalui Rancangan Lembangan Ulu Muda yang akan memberi kepentingan kepada 4.2 juta rakyat di Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Ulu Muda mesti dikendalikan secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan menghentikan sepenuhnya serta melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan dan lain-lain yang mencemarkan sumber air di Ulu Muda.
  2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga meminta agar Kerajaan Persekutuan menjadi penyumbang utama kepada Rancangan Lembangan Ulu Muda melalui peruntukan tahunan persekutuan yang diperoleh daripada perolehan cukai dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar cadangan penubuhan UMBA dapat dilaksanakan agar Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dapat menerima manfaat secara langsung daripada projek ini.

Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

  1. Mengenai infrastruktur telekomunikasi, saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Sungai Dua tentang keperluan internet atau jalur lebar secara inklusif kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajatan Di Rumah (PdPR). Pengukuhan infrastruktur jalur lebar ini bukan sahaja menjadi perkara asas dalam pelaksanaan inisiatif negeri pintar, malah sekaligus dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan. Tambahan pula di saat sistem pendidikan negara kita sedang melaksanakan sesi PdPR akibat pandemik COVID-19, maka semua pelajar amat memerlukan perkhidmatan jalur lebar tersebut di rumah kediaman masing-masing.
  2. Yang Berhormat Permatang Berangan juga turut mengutarakan isu yang sama dengan berharap agar Kerajaan Negeri dapat menyegerakan kerja-kerja menaik taraf capaian jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar kerana kawasan ini kerap mengalami gangguan capaian internet bagi membantu para pelajar agar dapat melaksanakan sesi PdPR dan para peniaga e-dagang untuk melaksanakan perniagaan masing-masing bagi menjana pendapatan demi menampung kos sara hidup akibat kehilangan kerja akibat pandemik COVID-19.
  3. Sebagai makluman Yang Berhormat Sungai Dua dan Yang Berhormat Permatang Berangan, bagi menambah baik jaringan liputan komunikasi dan menambah kelajuan kemudahan jalur lebar di seluruh Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah merangka Penang Connectivity Master Plan (PCMP) yang diselaraskan dengan perancangan Kerajaan Persekutuan melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA). Melalui perancangan tersebut, kerajaan telah menetapkan sasaran jangka masa pendek dengan purata kelajuan jalur lebar mudah alih sebanyak 35 megabit sesaat menjelang tahun 2022. Berdasarkan laporan kajian analisa kelajuan internet jalur lebar tetap dan mudah alih dari Ookla, KADUN Sunga Dua merekodkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih 11 megabit sesaat pada Suku Kedua 2021.
  4. Antara perancangan inisiatif strategik yang telah dirangka dan dilaksanakan untuk memastikan sasaran yang telah ditetapkan tercapai adalah seperti berikut:

i. Menaik taraf struktur sedia dan menambah bilangan struktur telekomunikasi baharu bagi menampung keperluan yang semakin meningkat;
ii. Melaksanakan projek Micro Cell dengan menggunakan Perabot Jalan milik Pihak Berkuasa Tempatan;
iii. Menggantikan kabel talian tetap jenis copper milik syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) di Negeri Pulau Pinang kepada kabel dari jenis fiber optic; dan
iv. Memperkenalkan kaedah-kaedah fiberisasi baharu bagi mempercepatkan dan memudahkan peluasan capaian jalur lebar ke kawasan kediaman penduduk.

  1. Pencapaian inisiatif bersama PCMP dan JENDELA bagi KADUN Sungai Dua sehingga 31 Julai 2021 adalah seperti berikut:

i. Menyiapkan projek jalur lebar talian tetap di 1,678 buah premis daripada 1,763 premis yang telah dirancang;
ii. Membina satu (1) buah struktur telekomunikasi bagi tapak baharu daripada dua (2) tapak yang telah dirancang; dan
iii. Menaiktaraf 34 stesen pemancar bagi jalur lebar mudah alih dan 40 stesen pemancar yang teah dirancang.

  1. Setakat ini, jaringan kesalinghubungan di Pulau Pinang telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Bagi tempoh 2020 hingga 2021, sebanyak 79 struktur telekomunikasi baharu telah didirikan dan sebanyak 1,384 struktur telekomunikasi telah dinaik taraf bagi menambah baik kualiti jaringan komunikasi mudah alih di Negeri Pulau Pinang. Prestasi liputan talian tetap juga telah meningkat dengan penambahan sebanyak 114,355 buah premis diliputi dengan jajaran gentian fiber optik bagi menampung keperluan jaringan komunikasi penduduk setempat.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Seterusnya Yang Berhormat Machang Bubuk juga turut menyentuh mengenai data internet percuma kepada golongan B40.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak industri sentiasa prihatin dan berganding bahu dalam memastikan wujud keseimbangan antara melindungi nyawa dan kelangsungan hidup rakyat.
  3. Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 pada tahun ini, pihak industri telekomunikasi dan penyiaran telah menyediakan beberapa nilai tambah pakej untuk kemudahan rakyat khususnya untuk golongan B40. Pakej-pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan banyak lagi, di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna.
  4. Pakej-pakej yang ditawarkan adalah seperti berikut:

i. Tawaran Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan semua rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE, bermula dengan harga RM1. Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian adalah Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL;
ii. Pemberian data harian sebanyak 1 gigabyte oleh Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Selain itu, inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021; dan
iii. Sokongan berterusan bagi pakej Jaringan Prihatin yang dilanjutkan sehingga 30 September 2021 untuk golongan B40.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Machang Bubuk dan Yang Berhormat Permatang Berangan turut bertanya apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang tidak mampu memiliki peranti elektronik seperti laptop atau tab agar anak-anak mereka boleh menyertai sesi PdPR seperti para pelajar yang lain.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, meskipun bidang pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pasukan khas Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’, sebagai usaha membangunkan bidang pendidikan dalam suasana normal baharu.
  3. Pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah pasukan khas itu antaranya ialah Skim Pinjaman Peranti Komputer; Skim Pemberian Komputer Terpakai, tawaran sokongan teknikal dan penyelenggaraan; program latihan literasi komputer; pemerkasaan komuniti melalui e-dialog dan e-forum serta pembelian peranti komputer pada harga diskaun melalui skim pembayaran ansuran tanpa faedah. Kesemua inisiatif ini adalah untuk memastikan anak-anak di Negeri Pulau Pinang boleh membuat peralihan kepada sistem e-pembelajaran dengan lancar.
  4. Setakat ini, Intel Malaysia telah menyumbang sebanyak RM250 ribu bagi pembelian 120 unit komputer riba. Selain Intel Malaysia, banyak syarikat lain juga turut memberi sumbangan mereka dan Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang membantu menjayakan program ini.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan dilaksanakan dengan kaedah yang paling cekap dan lestari bagi kemaslahatan bersama rakyat Pulau Pinang.
  2. Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, Kerajaan Persekutuan bahkan setiap lapisan masyarakat dapat bekerjasama dan sentiasa menyokong setiap inisiatif Kerajaan Negeri bagi membangun dan memajukan Negeri Pulau Pinang ke arah mencapai visi dan misi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s