Tiada Kenaikan Kos Projek Jalan Bukit Kukus

George Town, 22 Oktober 2021

Baru-baru ini, media massa melaporkan kenyataan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong yang mendakwa bahawa kos projek Jalan Berkembar Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) telah meningkat daripada RM275 juta sehingga RM545 juta.

Kenyataan yang dibuat oleh Oh ini sememangnya mendedahkan betapa kurang fasihnya beliau mengenai projek ini. Hakikatnya, projek ini terbahagi kepada tiga bahagian yang semuanya dilaksanakan oleh pihak-pihak berlainan, yakni PLB Land Sdn Bhd, Geo Valley Sdn Bhd serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Hal ini sudah dijelaskan sejak dari awal projek dan boleh dilihat secara terang dalam gambar yang disertakan.

Bahagian yang dilaksanakan oleh MBPP pula terbahagi kepada tiga lagi bahagian iaitu:

  1. Menaiktaraf Jalan Bukit Kukus sepanjang 600 meter di antara Lebuhraya Thean Teik dan Lorong Semarak Api 3 termasuk menaiktaraf 450m sepanjang Lebuhraya Thean Teik yang telah disiapkan sepenuhnya (100%) pada 14 Januari 2017.
  1. Menaiktaraf sebahagian Jalan Bukit Kukus di antara Tingkat Paya Terubong 1 dan Lorong Bukit Kukus sepanjang 600 meter lagi yang telah disiapkan sepenuhnya (100%) pada 14 Januari 2017.
  1. Membina jajaran utama Jalan Bukit Kukus sepanjang 1.6 kilometer dan Link Tun Sardon dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon sepanjang 500 meter serta menaiktaraf Lebuh Bukit Jambul yang akan disiapkan pada hujung tahun ini.

Dari segi kos, bahagian MBPP menelan belanja sebanyak RM275 juta dan kos ini tidak meningkat sama sekali walaupun berlaku kelewatan. Angka RM545 juta pula merupakan kos keseluruhan projek termasuk bahagian-bahagian yang dilaksanakan oleh pihak swasta. Oh sepatutnya tahu perbezaan ini kerana sudah berkali-kali perkara ini dijelaskan.

Pada ketika ini, tahap kemajuan bahagian MBPP adalah 96% dan dijangka siap pada penghujung tahun 2021. Jelas Oh tidak memahami perihal projek pembinaan kerana peratusan itu adalah pengiraan yang relatif kepada masa dan kuantiti kerja yang ditetapkan. Sekiranya tempoh siap kerja dilanjutkan dengan EOT (extension of time), maka sudah tentu peratusan kemajuan kerja juga akan berubah. Pengiraan ini merupakan kelaziman dalam semua projek pembinaan.

EOT yang terbaru iaitu sehingga hujung tahun 2021 telah diberi kepada kontraktor akibat isu-isu seperti pengambilan tanah, kerja penstabilan cerun, pengalihan utiliti, tanah runtuh di tapak kerja serta masalah-masalah berkait dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun 2020. Justeru, sebahagian Jalan Bukit Kukus yang dibina oleh MBPP dijangka akan dibuka kepada pengguna jalan raya menjelang hujung tahun ini.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s