Ucapan Penggulungan Belanjawan 2022

Tuan Yang Dipertua,

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri atas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Dan Usul Anggaran Pembangunan Bagi Tahun 2022 pada hari Jumaat yang lepas. Dengan tema “Mempercepat Pencapaian Penang2030” atau “Accelerating Penang2030”, Kerajaan Negeri jelas komited dalam usaha memulihkan sektor ekonomi pasca pandemik COVID-19. Peruntukan yang akan disalurkan kepada projek-projek infrastruktur, tebatan banjir serta pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang pada tahun hadapan diharap dapat membantu dalam memacu pertumbuhan yang mampan serta mengurangkan impak negatif kepada ekonomi Negeri ini.

Kerja Raya dan Infrastruktur Jalan

Tuan Yang Dipertua,

  1. Saya bermula dengan Yang Berhormat Bertam yang membangkitkan beberapa isu berkaitan pembinaan Projek Membina Jalan Dari Dua Lorong Ke Empat Lorong Dari Permatang Pak Elong (Sek. 773) Hingga Jambatan Merdeka (Sek. 782) Seberang Perai Utara yang melalui kawasan Bertam.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, pihak kontraktor kini dalam proses memindahkan keluar plastic barrier dari kawasan yang sudah selesai pembinaan bebendul jalan (kerb). Bagi lokasi di Jalan Permatang Manggis pula, proses pembinaan garisan jalan sedang dilaksanakan di tapak dan ianya dijangka siap dalam tempoh seminggu sebelum dibuka kepada pengguna jalan raya. Berkenaan sela masa lampu isyarat di persimpangan Permatang Sintok, tempoh masa telah diselaraskan sehingga 40 saat dalam satu pusingan (one cycle). Untuk isu pencahayaan di sepanjang jajaran, reka bentuk jalan ini merangkumi pembinaan lampu jalan di setiap persimpangan yang mempunyai lampu isyarat di samping penggantian one-to-one di kawasan sedia ada yang mempunyai lampu jalan. Perubahan laluan sementara sentiasa berlaku dari semasa ke semasa memandangkan proses pembinaan jalan sedang dilaksanakan di tapak.
  3. Yang Berhormat Bukit Tengah telah menyentuh isu kesesakan lalulintas khususnya di kawasan persimpangan Jalan Chiang Heng Kai, Jalan Kebun Nenas dan Jalan Bukit Tengah.
  4. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, isu ini sememangnya telah dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan perkara ini pada 17 November yang lalu dan sukacita dimaklumkan pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik perunding bagi menjalankan kajian Traffic Impact Assessment (TIA) di kawasan tersebut. Setelah TIA dijalankan, Kerajaan Negeri akan mengkaji opsyen-opsyen yang dikemukakan kelak.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bayan Lepas ada memohon penaiktarafan Laluan FT006 dari Teluk Kumbar ke PUSPAKOM, selain membangkitkan masalah kesesakan lalulintas di Sungai Batu.
  2. Bagi makluman Yang Berhormat, pihak JKR telah memohon untuk menaik taraf Jalan Teluk Kumbar melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Namun begitu, permohonan tersebut masih di peringkat penilaian oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Berkenaan kesesakan di Sungai Batu, antara puncanya adalah lampu trafik sedia ada. Perkara ini akan disemak oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar fasa lampu trafik dapat dioptimumkan.
  3. Yang Berhormat Jawi pula membangkitkan berkenaan perancangan untuk membina sebatang jalan menghubungkan FT001 (persimpangan tol Jawi) ke Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP 2) bagi mengatasi isu kesesakan lalulintas.
  4. Bagi makluman Yang Berhormat, projek ini telah pun dimohon dalam senarai projek RMK-12 di bawah tajuk Projek Membina dan Menaiktaraf Jalan Dari Laluan Persekutuan FT001 Di Jawi Ke Persimpangan Bertingkat Jambatan Kedua Pulau Pinang, Seberang Perai Selatan. Selain daripada itu, terdapat juga rancangan oleh pihak Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) untuk menghubungkan lebuh raya baharu Northern Corridor Highway (NCH) dari Serdang ke Bandar Cassia melalui jalan FT001 dan BKIP 2 di masa hadapan.
  5. Mengulas dengan lebih lanjut berkenaan hujah-hujah Yang Berhormat Jawi mengenai infrastruktur di BKIP 2 dan Byram, pihak Penang Development Corporation (PDC) akan membina jalan dan jambatan merentasi Sungai Tengah yang akan menghubungkan Batu Kawan dengan BKIP 2. PDC juga akan menyediakan infrastruktur-infrastruktur asas yang lain seperti sambungan bekalan air dan elektrik ke kawasan BKIP 2 termasuk pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat serta pemasangan kabel fiber. Kajian sistem saliran, Environmental Impact Assessment (EIA) dan TIA telah pun dilaksanakan. Kajian Social Impact Assessment (SIA) pula sedang dilaksanakan bagi menilai kesan pembangunan terhadap persekitaran sedia ada. Projek naik taraf ini akan dilaksanakan mengikut dapatan kajian-kajian yang diluluskan.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Saya kini merujuk kepada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Tambun. Antaranya kesesakan lalu lintas di Jalan Bukit Tambun, Jalan Batu Kawan, Jalan Perusahaan Valdor dan Jalan Persekutuan serta masalah kecacatan Jalan Perusahaan Valdor dan Jambatan Batu Kawan. Selain itu, Yang Berhormat juga membangkitkan isu jalan sambungan ataupun missing link di antara Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan 1.
  2. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, pihak JKR telah melantik juruukur untuk menjalankan kerja-kerja ukur sempadan bagi cadangan pelebaran susur kiri dari Jalan FT001 ke Jalan Perusahan Valdor. Pada masa yang sama projek menaiktaraf persimpangan tersebut telah pun dimasukkan dalam RMK-12 untuk kelulusan di peringkat Kementerian Kerja Raya.
  3. Berkenaan Jambatan Batu Kawan pula, status kemajuan semasa adalah 69%. Sepertimana Yang Berhormat sendiri maklum, projek ini sepatutnya sudah siap namun kelewatan berpunca daripada keruntuhan Pier 2. Perunding geoteknikal yang dilantik untuk menyiasat punca kejadian telah melaporkan bahawa keruntuhan berlaku akibat kerja pembinaan temporary working platform. Pihak kontraktor dipertanggungjawabkan ke atas kerja-kerja pembaikan dan tarikh kesiapan baru adalah Mei 2023. Manakala bagi projek Jambatan Valdor, status kemajuan adalah 95% dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2022. Bagi sambungan Jalan Valdor, kerja premix sedang dijalankan dan dijangka siap pada awal tahun 2022.
  4. Berkenaan dengan missing link antara Bandar Tasek Mutiara dan Hijauan Hills, perkara ini sememangnya telah dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri dan keputusan telah pun dibuat untuk mengenakan syarat pembinaan jalan sepanjang 380 meter tersebut kepada pemaju Tetuan Palmington Sdn Bhd apabila sebarang permohonan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) dibuat bagi apa-apa projek di dalam dan sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Seberang Jaya ada membangkitkan isu kesesakan di Bulatan Seberang Jaya serta bottleneck di kawasan Prai sebaik sahaja turun dari Jambatan Pulau Pinang. Tambahan pada itu, Yang Berhormat juga meminta agar Jalan Permatang Pauh dapat dinaiktaraf kerana ia masih lagi single lane dual carriageway.
  2. Bagi makluman Yang Berhormat, Bulatan Seberang Jaya merupakan jalan Negeri dan ia telah pun dinaiktaraf daripada dua lorong kepada tiga lorong pada tahun 2018 bagi mengurangkan kesesakan trafik yang berpunca dari laluan lebuh raya utara selatan yang melalui bulatan tersebut. Walau bagaimanapun, bulatan ini tiada lagi ROW yang mencukupi bagi pelebaran kepada empat lorong.
  3. Jalan Permatang Pauh pula merupakan Jalan Persekutuan FT3111 dan JKR telah mengangkat permohonan pelebaran ke peringkat Kementerian Kerja Raya bagi pertimbangan.
  4. Yang Berhormat Sungai Acheh telah menimbulkan masalah kesesakan jalan di kawasan Sungai Acheh. Bagi makluman Yang Berhormat, kesesakan lalu lintas di jalan Persekutuan dari Simpang Ampat ke Simpang Sembilan adalah disebabkan kapasiti jalan sedia ada telah mencapai tahap tepu serta tidak dapat menampung isipadu kenderaan terutamanya pada waktu puncak. Lampu isyarat di persimpangan sepanjang jalan Persekutuan berfungsi sebagai kawalan lalulintas dan memberi kemudahan untuk pengguna jalan raya untuk membuat belokan.
  5. Cadangan penambahbaikan seperti berikut boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kelancaran aliran lalulintas di jalan Persekutuan, yakni pelebaran jalan bagi meningkatkan kapasiti jalan, penutupan operasi lampu isyarat di beberapa persimpangan sepanjang jalan Persekutuan serta naik taraf persimpangan kepada persimpangan bertingkat. Walau bagaimanapun, penutupan lampu isyarat hanya dapat dipertimbangkan apabila pihak JKR dapat menyediakan pusingan-U di lokasi yang bersesuaian bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

  1. Berkenaan hal ehwal tebatan banjir, saya ada perhatikan dalam perbahasan kali ini bahawa pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah mendapat banyak pujian daripada Ahli-ahli Yang Berhormat atas usaha mereka dalam membendung masalah banjir di Negeri Pulau Pinang. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa bakti seluruh pasukan JPS Pulau Pinang.
  2. Yang Berhormat Sungai Dua telah minta senarai projek-projek tebatan banjir oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bagi makluman Yang Berhormat, senarai projek-projek tebatan banjir utama yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:
Bil.ProjekStatus
1Projek Tebatan Banjir Kawasan Mak MandinSiap
2Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang RawaReka bentuk semula
3Projek Tebatan Banjir Parit 4Siap
4Projek Tebatan Banjir Parit 5Siap
5Projek Tebatan Banjir Sg. Nipah di Taman Iping99%
6Projek Tebatan Banjir Bayan Baru89%
7Projek Tebatan Banjir Membina Kolam Takungan Banjir di Alma37%
8Projek Tebatan Banjir Sg. Tiram di Kampung Naran7%
9Projek Tebatan Banjir di Solok Van Pragh, Jelutong, Daerah Timur LautProses tender
10Projek Tebatan Banjir Parit Monsun Pokok Asam, Jelutong, Daerah Timur LautProses tender
  1. Manakala bagi projek-projek di bawah peruntukan Persekutuan pula adalah seperti berikut:
Bil.ProjekStatus
1Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya95%
2Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang, Daerah Timur LautPenyediaan dokumen tender
3Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pondok Upeh / Sungai Burong, Daerah Barat DayaPeringkat reka bentuk
4Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Bahang, Daerah Barat DayaPeringkat reka bentuk
5Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil, Daerah Seberang Perai SelatanPeringkat reka bentuk
6Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Dua Besar, Daerah Timur LautPeringkat reka bentuk
7Rancangan Tebatan Banjir Taman Siakap, Daerah Seberang Perai TengahPenyediaan dokumen tender
  1. Yang Berhormat Permatang Berangan telah menimbulkan isu banjir kilat di kawasan Simpang Tiga, Pokok Machang, Pokok Tampang dan Taman Desa Ara Permai, Ara Kuda.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, sistem perparitan kampung di Simpang Tiga, Pokok Machang dan Pokok Tampang terletak di atas tanah milik dan memerlukan kebenaran tuan tanah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan. Bagi longkang-longkang yang terlibat, pihak MPKK dan penduduk sedang dalam proses mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik tanah. Walau bagaimanapun, pentadbiran ini sentiasa memantau dan melaksanakan segera pembaikan di kawasan yang dibenarkan oleh pemilik tanah. Sebagai contoh, pada tahun 2021 Kerajaan Negeri telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit di Kampung Chegar dan Kampung Banggol di KADUN Permatang Berangan dengan kos pembaikan sebanyak RM130,536.00.
  3. Bagi Taman Desa Ara Permai, pihak pemaju sedang dalam proses menyelesaikan isu banjir dengan menaiktaraf sistem perparitan sedia ada serta membina parit pintasan untuk menyelesaikan sepenuhnya isu terbabit. Antara skop penaiktarafan adalah pembinaan parit monsun 3.6 meter di hadapan taman perumahan tersebut. Status semasa pihak pemaju sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak JKR bagi kerja-kerja pembinaan parit pintasan merentangi jalan Ara Kuda. Di samping itu, kerja-kerja penambahbaikan kolam takungan sedia ada juga sedang dilaksanakan di tapak.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Batu Lanchang bertanya mengenai projek tebatan banjir di Solok Van Praagh. Sukacita dimaklumkan tender projek tersebut telah diiklankan pada 17 November 2021 dan lawatan tapak telah diadakan pada 24 November 2021. Tarikh tutup iklan dijadualkan pada 23 Disember 2021 dan pelantikan kontraktor dijangka akan dibuat pada pertengahan bulan Februari 2022.
  2. Yang Berhormat Batu Lanchang juga membangkitkan mengenai parit monsun di bawah Jalan Kurau yang kurang diselenggara akibat isu bidang kuasa yang tidak jelas. Berkenaan isu ini, JPS akan mengaturkan mesyuarat bersama MBPP untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
  3. Yang Berhormat Jawi ada menyentuh berkaitan permasalahan infrastruktur di BKIP 2 di Byram. Untuk makluman Yang Berhormat, pembangunan BKIP 2 keseluruhannya melibatkan kawasan seluas 1,327 ekar. Kerja tambun tanah yang sedang berlangsung melibatkan pembangunan fasa pertama iaitu seluas 100 ekar. Pembinaan infrastruktur seperti rumah pam berkapasiti tinggi dan sistem saliran yang sempurna dengan kapasiti yang mencukupi adalah amat mustahak bagi menjamin pembangunan yang mampan dan mengelak daripada berlaku masalah di masa hadapan. Cadangan tersebut telah disampaikan oleh JPS kepada penggerak projek iaitu PDC melalui siri bengkel dan ulasan secara bertulis. Ianya adalah keperluan yang penting khususnya kerana kawasan Byram adalah salah satu kawasan dataran banjir (flood plain) di Seberang Perai Selatan.
  4. Yang Berhormat Jawi juga ada membangkitkan berkenaan Sungai Jawi. Sebagai makluman, JPS melalui peruntukan Kerajaan Negeri telah menyediakan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjiir dan Sistem Saliran Mesra Alam (Drainage Master Plan) bagi Seberang Perai Selatan yang disiapkan pada tahun 2017. Melalui kajian yang menyeluruh dan komprehensif ini dianggarkan RM835 juta diperlukan bagi kos pembangunan infrastruktur kawalan banjir di Seberang Perai Selatan. Kos yang dianggarkan untuk pembangunan Sungai Jawi pula adalah sebanyak RM383 juta. Oleh kerana melibatkan kos yang tinggi, JPS telah merancang pembangunan secara berperingkat berdasarkan keutamaan. Bagi Sungai Jawi, JPS telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM70 juta bagi cadangan menaiktaraf Sungai Jawi di dalam RMK-12 namun permohonan telah ditolak. Melihat kepada kepentingan dan keperluan yang mendesak, JPS akan memohon semula cadangan projek ini dalam Rolling Plan 3 dalam RMK-12.
  5. Merujuk pula kepada kelulusan peruntukan untuk menaikkan aras tebing Sungai Jawi yang baru diluluskan oleh Kerajaan Negeri, JPS akan meneliti cadangan-cadangan yang disyorkan oleh Yang Berhormat. Kerja-kerja akan dilaksanakan berdasarkan jumlah peruntukan yang diterima serta keperluan-keperluan teknikal yang lain. Keadaan sungai yang sempit, cerun tebing yang curam dan rizab sungai yang terhad adalah cabaran utama dalam merangka cadangan kerja-kerja naik taraf di kawasan ini. Walau bagaimanapun, JPS akan sedaya upaya menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan penduduk di kawasan ini.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Merujuk kepada Projek RTB Teluk Kumbar, Yang Berhormat Bayan Lepas memohon Kerajaan Negeri membuat perancangan awal bagi fasa-fasa akan datang termasuk pembinaan retention pond, menaik taraf parit-parit dan sungai-sungai sedia ada dan merancang pengambilan tanah.
  2. Buat makluman Yang Berhormat, Projek RTB Teluk Kumbar yang sedang dilaksanakan telah direka bentuk untuk memberi tahap perlindungan sehingga 20 ARI dan dijangka siap pada penghujung tahun ini. Selepas itu, JPS akan menjalankan penilaian outcome terhadap projek tersebut. Berdasarkan penilaian tersebut, JPS akan merangka semula cadangan projek fasa kedua yang akan memberi tahap perlindungan 50 ARI dan disusuli dengan permohonan peruntukan. Antara cadangan komponen kerja dalam projek fasa kedua adalah termasuk pembinaan kolam takungan banjir dan membina ban yang turut melibatkan pengambilan tanah.
  3. Yang Berhormat Bukit Tambun telah menimbulkan masalah struktur boxed culvert di Sungai Kechil berhadapan Nibong Tebal Paper Mill.
  4. Sebagai makluman Yang Berhormat, punca utama kejadian limpahan air Sungai Kechil di kawasan tersebut adalah disebabkan saiz struktur pembetung (culvert) yang kecil. JPS telah mengambil tindakan proaktif dengan mengutamakan cadangan naik taraf pembetung tersebut dengan jambatan baru di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil. Cadangan naik taraf tersebut masih dalam peringkat reka bentuk terperinci dan iklan tender dijadualkan pada tahun 2022.
  5. Yang Berhormat Bukit Tambun turut membangkitkan isu banjir di Kampung Sepulau, Kampung Sethu, serta persimpangan Jalan Changkat dan jalan Persekutuan.
  6. Sebagaimana Yang Berhormat maklum, banjir di Kampung Sethu dan persimpangan Jalan Changkat-jalan Persekutuan adalah berpunca daripada limpahan air Sungai Jawi apabila kawasan tadahan menerima jumlah taburan hujan yang tinggi. Keadaan ini bertambah buruk apabila terdapat halangan aliran Sungai Jawi oleh struktur jambatan jalan Persekutuan dan jalan Negeri yang dibina terlalu rendah. Bagi perancangan jangka masa panjang untuk mengurangkan risiko banjir kawasan tersebut, JPS telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM70 juta seperti yang telah disebut sebelum ini.
  7. Bagi Kampung Sethu, rekod JPS menunjukkan kawasan tersebut merupakan kawasan yang paling kerap berlaku banjir di Seberang Perai Selatan. Pembangunan di kawasan sekeliling Kampung Sethu telah menjadikannya sebagai kawasan beraras paling rendah. Oleh yang demikian, selain langkah struktur bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan ini, mungkin satu penyelesaian alternatif yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mengadakan penempatan semula.
  8. Kejadian banjir di Kampung Sepulau pula berhubung kait dengan Sungai Junjung yang menjadi sempadan antara Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah. Sungai Junjung juga menerima air larian dari kawasan tadahan berbukit di Negeri Kedah yang menyebabkan aliran air menjadi deras dengan isipadu yang besar apabila berlakunya hujan berkeamatan tinggi. Sungai yang sempit dan ketiadaan ban menyebabkan limpahan sungai sering terjadi seterusnya menyebabkan banjir. Sebagai kaedah penyelesaian, JPS telah mengangkat cadangan projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai Junjung di dalam RMK-12 berjumlah RM85 juta. Inisiatif jangka masa pendek bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut adalah dengan membina ban sementara di kawasan yang kritikal serta kerja-kerja penyelenggaraan sungai dengan memastikan setiap halangan dibersihkan segera.
  9. Yang Berhormat Bukit Tengah telah membangkitkan masalah banjir di Kampung Dock. Sukacita dimaklumkan Kerajaan Negeri telah pun meluluskan peruntukan untuk melaksanakan kerja ukur bagi penentuan skop kerja naik taraf tersebut.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

Tuan Yang Dipertua,

  1. Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan Penang South Reclamation (PSR) yang juga dikenali sebagai pembangunan Penang South Islands (PSI) telah dikenal pasti oleh Majlis Perundingan Pemulihan Sosioekonomi Pulau Pinang (PSERCC) sebagai antara pemacu utama pemulihan ekonomi dalam zaman pasca COVID-19.
  2. Berkenaan projek ini, Yang Berhormat Machang Bubuk telah mengajukan soalan mengenai kriteria ESG (Environmental, Social, Governance) bagi menarik pelabur ke pulau baharu.
  3. Sebagai makluman Yang Berhormat, pembangunan PSR sememangnya mengutamakan pematuhan ESG untuk menangani isu perubahan iklim, memenuhi tanggungjawab sosial, serta mematuhi amalan tadbir urus yang baik sepertimana yang dikehendaki pelabur antarabangsa. PSR bakal menjadi projek pertama di Pulau Pinang bahkan juga di negara ini yang mengamalkan dasar ESG. Pematuhan ESG ini bukan sekadar kerana ingin memulihara alam sekitar, tetapi ia sudah menjadi permintaan dan syarat wajib bagi kebanyakan syarikat-syarikat antarabangsa. Contohnya syarikat Dyson yang baru-baru ini dilaporkan menamatkan kontrak sebuah syarikat tersenarai dari Malaysia kerana gagal memenuhi syarat ESG. Justeru, Kerajaan Negeri telah menyahut cabaran untuk memastikan Pulau Pinang terus berdaya saing dan mampu menarik pelabur-pelabur terkemuka sepertimana yang berjaya dilakukan sekian lama ini.
  4. Yang Berhormat Machang Bubuk juga telah membangkitkan sama ada konsep green financing boleh dipertimbangkan untuk menjana peruntukan untuk membiayai projek PTMP.
  5. Untuk makluman Yang Berhormat, green financing menggalakkan dan menyokong aliran kewangan dan perkhidmatan berkaitan ke arah pelaksanaan pembangunan, model perniagaan, pelaburan, perdagangan, ekonomi, projek sosial dan mesra alam sekitar serta dasar-dasar yang lestari atau mampan. Kerajaan Negeri percaya pembiayaan hijau dapat digunakan untuk membiayai projek PTMP. Malah, buat pengetahuan Yang Berhormat, saya pernah dijemput untuk membuat pembentangan berkenaan projek PSR di 6th OECD Forum on Green Finance and Investment yang telah berlangsung di Paris, Perancis pada tahun 2019. Secara dasarnya, projek PSR telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pemain industri serta institusi-institusi kewangan antarabangsa yang hadir di persidangan tersebut. Malah, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik minat Asian Development Bank untuk memberi pembiayaan green financing bagi projek LRT. Namun sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, sebarang pembiayaan termasuk pembiayaan hijau yang ingin diterima oleh Kerajaan Negeri adalah bergantung kepada persetujuan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan. Malangnya, setelah pertukaran Kerajaan pada awal tahun 2020, antara keputusan yang dibuat oleh kerajaan baharu adalah untuk membatalkan pembiayaan projek LRT oleh Asian Development Bank. Sekali lagi, Pulau Pinang dimangsakan walaupun pembiayaan itu bukan diminta dari Kerajaan Persekutuan. Sekadar persetujuan untuk menerima pembiayaan dari institusi kewangan antarabangsa pun ditarik balik.
  6. Mengenai persoalan Yang Berhormat berkenaan peruntukan yang telah diberikan dan kepada Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) sejak penubuhannya pada 9 Julai 2020 sehingga akhir November 2021, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan sebanyak RM13,871,845.90. Walau bagaimanapun, jumlah ini tidak digunakan sepenuhnya memandangkan tenaga kerja di PIC belum diisi sepenuhnya kerana projek-projek PTMP dan PSR masih belum bermula secara fizikal lagi. Peruntukan ini adalah termasuk kos penubuhan syarikat, pembelian peralatan pejabat, sewaan ruang pejabat, emolumen, gaji dan sebagainya.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Menjawab pertanyaan Yang Berhormat Sungai Dua berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, sukacita dimaklumkan pembangunan PSR akan dilaksanakan selari dengan peraturan-peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan.
  2. Semasa peringkat pelaksanaan (pembinaan), Kerajaan Negeri akan memastikan kepatuhan langkah-langah kawalan dan mitigasi yang dicadangkan dalam kesemua laporan yang telah diluluskan. Antaranya adalah pemantauan kualiti air, pemantauan kualiti udara, pemantauan getaran dan bunyi, pengurusan sisa pepejal, pembuangan bahan pengorekan di kawasan yang dibenarkan, pemasangan tirai kelodak (silt curtain) dan pemasangan peralatan pemantauan secara online bagi kualiti air.
  3. Di samping itu, Third Party Environmental Audit juga turut akan dilaksanakan secara berkala semasa peringkat pembinaan bagi memastikan keberkesanan dan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
  4. Selain itu, pembangunan PSR juga merangkumi inisiatif-inisiatif hijau untuk menjaga alam sekitar. Antaranya adalah penyediaan 20% tanah Pulau A untuk mewujudkan taman awam, terusan air, tanah bencah (wetlands), dataran banjir (floodplains) dan bioswales untuk memperkasakan kepelbagaian biologi dan mencegah banjir, serta menanam pokok bakau di tanah seluas 20 ekar untuk mewujudkan habitat baru dan kawasan nurseri untuk ikan dan udang. Pokok bakau sebagai penyerap karbon yang baik juga boleh membantu mengatasi pemanasan global.
  5. Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan langkah-langkah kawalan jangka masa panjang termasuk melaksanakan program-program pengimbangan (offset) ekologi seperti penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pelepasan benih ikan dan udang, pembinaan garis pantai (shoreline) mesra alam di perimeter pulau PSR untuk menggalakkan kepelbagaian biologi, pertumbuhan habitat mikro dan eko-pelancongan; serta penyediaan dana untuk penyelidikan ekologi laut, perikanan, penyu, tukun dan lain-lain.
  6. Terima kasih kepada Yang Berhormat Seberang Jaya kerana terus memberi sokongan kepada projek PTMP dan PSR. Menjawab persoalan Yang Berhormat, Kerajaan Negeri serta rakan pelaksana projek SRS Consortium sedang menangani isu-isu teknikal yang telah bangkit dalam pelaksanaan PTMP dan PSR, khususnya isu kelulusan Laporan EIA bagi projek PSR yang telah dibatalkan pada 8 September tahun ini.
  7. Kerajaan Negeri kini dalam proses terakhir memohon semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar yang telah membatalkan kelulusan laporan EIA tersebut atas isu teknikal. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengemaskini laporan EIA dengan data yang terkini untuk dikemukakan semula kepada Jabatan Alam Sekitar.
  8. Seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Seberang Jaya, projek ini telah mengambil banyak masa dan kos. Oleh kerana PSR adalah penting untuk ekonomi dan masa depan rakyat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tetap akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk memulakan projek. Kerajaan Negeri juga memberi jaminan bahawa sehingga kesemua kelulusan mandatori diperolehi, projek ini tidak akan dimulakan.

Perkhidmatan Bas dan Feri

Tuan Yang Dipertua,

  1. Negeri Pulau Pinang sememangnya merupakan perintis dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat. Bermula dengan perkhidmatan CAT (Central Area Transit) di George Town kepada inisiatif BEST (Bridge Express Shuttle Transit) yang sudah berlangsung selama bertahun-tahun.
  2. Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah besar dengan melaksanakan inisiatif bas percuma di seluruh Negeri Pulau Pinang melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara. Ini bermaksud bahawa setiap rakyat Malaysia yang memiliki Pas Mutiara dapat menikmati perjalanan percuma menggunakan bas Rapid Penang pada setiap laluan dan setiap masa di Negeri ini.
  3. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara ini bagi tahun hadapan. Walaupun Pulau Pinang tidak termasuk dalam negeri-negeri yang mendapat manfaat My50 dalam pengumuman Belanjawan 2022 oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tetap komited untuk membantu meringankan beban rakyat. Namun begitu, peruntukan untuk tahun hadapan adalah dihadkan kepada maksimum 7,500 pelanggan setiap bulan. Walaupun jumlah ini adalah kurang sedikit berbanding tahun semasa, namun ia diharapkan dapat menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam.
  4. Selain daripada subsidi bas, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan feri percuma kepada semua warganegara Malaysia bermula 1 Julai 2021, terhad kepada 65,000 tiket sebulan. Sukacita saya memaklumkan bahawa program feri percuma akan diteruskan pada tahun 2022 juga.
  5. Bagi menjawab beberapa soalan mengenai bas dan feri yang dibangkitkan, saya bermula dengan Yang Berhormat Bertam yang mengesyorkan agar perkhidmatan Rapid Penang diubah ke laluan baharu untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya di kawasan Permatang Sintok, Permatang Rambai, Permatang Kuala, Permatang Pauh, Permatang Bera, Penaga Dua sehingga ke Padang Gali. Perkara ini akan dimaklumkan kepada pihak operator Rapid Penang agar dapat meneliti kesesuaian perkhidmatan bas di laluan-laluan tersebut.
  6. Yang Berhormat KOMTAR pula mengutarakan cadangan agar bas HINO yang kini sedang dalam tempoh percubaan oleh Rapid Penang disediakan tempat duduk. Untuk makluman, bas HINO merupakan bas percubaan dengan kerjasama antara Rapid Penang. dan Hino Motors Sales (Malaysia) (HINO). Cadangan agar tempat duduk disediakan akan dipanjangkan kepada pihak Rapid Penang.
  7. Yang Berhormat KOMTAR turut mencadangkan agar kerajaan negeri berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperoleh 100 buah bas elektrik untuk kegunaan di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri memang bersetuju dan akan mengutarakan cadangan ini kepada Kementerian Pengangkutan.
  8. Yang Berhormat Pengkalan Kota telah membangkitkan beberapa isu mengenai perkhidmatan feri terutamanya mengenai jadual waktu perjalanan. Pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) telah mengeluarkan jadual perjalanan yang baharu bermula pada 20 November 2021 yang lalu di mana kekerapan pada waktu puncak adalah 30 minit manakala pada waktu bukan puncak adalah 1 jam. Yang Berhormat juga turut mengesyorkan agar perjalanan feri bermula lebih awal sebelum jam 7.00 pagi agar lebih ramai penumpang seperti pelajar dan pekerja dapat menggunakan perkhidmatan feri. Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pihak PPSB mengenai cadangan-cadangan ini dan berharap perkhidmatan feri dapat ditambah baik.

Inisiatif Digital Penang

Tuan Yang Dipertua,

  1. Bagi memastikan ketersediaan Negeri Pulau Pinang menjelang era digital, Kerajaan Negeri telah mewujudkan agensi baharu iaitu Digital Penang yang bertanggungjawab untuk merangka hala tuju digital dalam empat sektor kritikal, yakni infrastruktur digital, ekonomi digital, tadbir urus digital dan komuniti digital. Sejak penubuhannya pada April 2020, Digital Penang telah pun merangkakan Pelan Induk Transformasi Digital yang merangkumi rancangan-rancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
  2. Dalam tempoh masa hanya 18 bulan sejak penubuhannya, Digital Penang telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif dan program. Antaranya, kempen #DahDigital yang bertujuan untuk mendidik rakyat dalam penggunaan teknologi digital asas seperti e-wallet serta kempen “Go Digital Go International” yang menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka bersaing di persada antarabangsa. Selain itu, Digital Penang juga telah menganjurkan beberapa siri bengkel e-commerce serta menerbitkan buku Founders’ Grit, di samping memudahcarakan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada 961 PKS untuk penggunaan aplikasi digital.
  3. Tambahan kepada itu, Digital Penang telah menubuhkan komuniti Coffee Currypuff sebagai forum perkongsian ilmu serta menghubungkan syarikat technology startups. Sebanyak 13 webinar telah diadakan dengan penyertaan seramai 1,584 usahawan teknologi. Alpha Startup Digital Accelerator juga dianjurkan dengan kerjasama syarikat swasta 1337 sebagai bootcamp bagi 11 syarikat startup tempatan. Sebuah fintech hackathon juga berjaya diatur bersama syarikat Finexus yang mendapat penyertaan 34 pasukan daripada seluruh Malaysia.
  4. Digital Penang telah mengenal pasti kawasan di George Town yang bakal dibangunkan sebagai Creative Digital District (CD2) yang akan menjadi hab digital bagi syarikat-syarikat teknologi serta pusat pembelajaran dan tapak uji (test bed) bagi inisiatif-inisiatif strategik seperti Smart City Centre of Excellence dan 5G Sandbox.
  5. Terkini, Digital Penang telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat AngkasaX dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membangunkan subsektor kejuruteraan aerospace di Pulau Pinang. Melalui MoU tersebut, AngkasaX akan menubuhkan fasiliti Assembly, Integration and Testing (AIT) di USM untuk pembangunan satelit Low-Earth Orbit (LEO).
  6. Dari segi infrastruktur digital, Digital Penang sedang menyusuli cadangan penubuhan sebuah Internet Exchange serta data centre di Pulau Pinang. Prasarana-prasarana ini amatlah penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sambungan Internet di Negeri ini.
  7. Selain itu, Digital Penang juga sedang meninjau kemungkinan mewujudkan sebuah pangkalan data bersepadu geospatial bagi mendigitalkan proses permohonan dan pemantauan utiliti bawah tanah. Dengan wujudnya sistem sedemikian, ia akan memudahcarakan proses perancangan pembangunan di seluruh Negeri.
  8. Akhir sekali, Digital Penang juga dalam proses penilaian tender bagi projek Digital Integrated Service Centre (DISC) yang bakal menjadi aplikasi yang akan digunakan di setiap pusat khidmat ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang. Sistem ini akan membolehkan pusat khidmat untuk mendaftarkan pelanggan secara digital serta menghubungkan pelbagai aplikasi Kerajaan Negeri lain seperti iSejahtera dan e-Rumah, serta mengesan dan menyusuli kes-kes dalam tindakan. Projek ini dapat membantu membudayakan cara bekerja secara digital di mana pengurusan maklumat dapat diselia dengan lebih efisyen dan teratur. Di samping itu, ia juga akan mengurangkan pengurusan manual oleh pegawai-pegawai pusat khidmat dan ini akan membantu mereka memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan tambah nilai.

Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

  1. 5G merupakan suatu lonjakan teknologi komunikasi yang sedang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia. Penggunaan 5G akan dapat memberikan kemudahan Internet yang lebih pantas kepada pengguna. Perkhidmatan 5G juga dilihat akan menjadi pencetus perubahan untuk ekonomi masa hadapan, kerana teknologi 5G membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan dalam pelbagai kegiatan berteknologi tinggi.
  2. Bagi Negeri Pulau Pinang, pelaksanaan 5G akan berlangsung pada tahun 2022 melibatkan 151 lokasi yang telah dikenalpasti di kawasan Pulau dan kerja-kerja di tapak dijangka akan dimulakan seawal suku pertama tahun 2022. Namun demikian, Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Digital Nasional Berhad (DNB), iaitu agensi pelaksana Kerajaan Persekutuan, untuk melaksanakan 5G di kawasan Seberang Perai juga dan perbincangan ini masih sedang berjalan.
  3. Kerajaan Negeri turut dimaklumkan bahawa fasa pertama pelaksanaan 5G di Pulau Pinang adalah di kawasan George Town. Sudah semestinya penekanan akan diberikan oleh Kerajaan Negeri agar kemudahan 5G ini turut disediakan di kawasan KOMTAR memandangkan kedudukan KOMTAR sebagai tapak pentadbiran negeri Pulau Pinang yang mewajarkan kawasan KOMTAR diliputi 5G.

Fiberisasi

Tuan Yang Dipertua,

  1. Bagi menyokong pertumbuhan komunikasi di negeri Pulau Pinang, penyediaan kabel fiber dan naik taraf kabel copper kepada kabel fiber adalah amat penting bukan hanya di kawasan bandar malah di kawasan pinggir bandar. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memastikan naik taraf infrastruktur jalur lebar tersebut dibuat di seluruh Negeri Pulau Pinang. Di antara beberapa kawasan kampung yang sedang dinaiktaraf pada ketika ini adalah seperti di Kampung Lebuh Banting dan Kampung Pinang Tunggal yang dijangka akan disiapkan dalam suku pertama tahun 2022.
  2. Kerajaan Negeri akan terus memastikan proses naik taraf jaringan jalur lebar ini dilaksanakan di seluruh negeri Pulau Pinang bagi menyediakan infrastruktur terbaik untuk kemudahan rakyat negeri ini di samping menjadi penarik kepada pelabur asing untuk melabur di Negeri Pulau Pinang.

Smart Street Pole

Tuan Yang Dipertua,

  1. Garis panduan khusus bagi pemasangan Smart Street Pole sedang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk menjadi rujukan kepada semua syarikat penyedia komunikasi yang berminat untuk menyediakan pemasangan Smart Street Pole di negeri ini. Satu sesi libat urus telah diadakan pada 27 Oktober 2021 dengan penglibatan semua pemain industri komunikasi yang telah memberikan input dan maklum balas terhadap cadangan garis panduan yang telah disediakan.
  2. Garis Panduan Smart Street Pole Negeri Pulau Pinang ini dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri pada awal tahun 2022 dan akan berkuatkuasa pada suku pertama tahun 2022. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menggunakan Smart Street Pole ini sebagai salah satu cara untuk menyediakan WiFi percuma di lokasi-lokasi awam tertentu. Walau bagaimanapun, perkara ini masih bergantung kepada model perniagaan yang bersesuaian dan boleh diterima oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan dilaksanakan dengan kaedah yang paling cekap dan lestari bagi kemaslahatan bersama rakyat Pulau Pinang.
  2. Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, Kerajaan Persekutuan bahkan setiap lapisan masyarakat dapat bekerjasama dan sentiasa menyokong setiap inisiatif Kerajaan Negeri bagi membangun dan memajukan Negeri Pulau Pinang ke arah mencapai visi dan misi Penang2030.
  3. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s