Langkah-langkah Pencegahan Bagi Mengelakkan Kejadian Tanah Runtuh Di Negeri Pulau Pinang

George Town, 19 March 2022

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya demi memastikan kestabilan cerun-cerun bukit sedia ada tidak menimbulkan kacau ganggu kepada keselamatan orang awam, harta awam dan persekitaran.
  2. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:
    1. Mewujudkan Penang Safety Guideline For Hill Site Development 2nd Edition 2020
    2. Mewujudkan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di Kawasan Berbukit, Pulau Pinang 2021.
    3. Mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau kawasan cerun-cerun bukit dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta/ Enakmen bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemilik tanah di kawasan cerun-cerun bukit yang tidak mendapat kelulusan daripada PBT.
    4. Memastikan semua cadangan pembangunan di kawasan cerun-cerun bukit tidak melebihi ketinggian 76meter dari paras laut dan footprint bangunan hendaklah berada di atas cerun kelas 1 dan kelas 2 sahaja seperti yang tercatat di dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2030.
    5. Memastikan aktiviti pertanian sedia ada yang telah diusahakan oleh para pekebun/ petani di cerun-cerun bukit tidak menghalang laluan air semulajadi.
  1. Bagi cadangan pembangunan yang berada di atas cerun-cerun bukit kelas 1 dan kelas 2, satu laporan geoteknikal hendaklah disediakan oleh Jurutera Geoteknikal yang bertauliah dan laporan tersebut hendaklah disemak oleh Pemeriksa Bebas bertauliah yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang geoteknikal dan perlu diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Berisiko Negeri Pulau Pinang yang dianggotai oleh Jabatan Teknikal yang pakar di dalam Pengurusan Tanah Berisiko seperti JMG, JPS, JAS, JKR, PTG, Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Pejabat Daerah & Tanah.
  2. Kerajaan Negeri melalui PBT telah mengarahkan semua pemilik bangunan yang berada di kawasan cerun-cerun bukit dikehendaki membuat pemeriksaan dan penyenggaraan dari semasa ke semasa bagi pematuhan Seksyen 85(A), Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974.
  3. Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBT membuat pemantauan berkala ke atas 34 lokasi cerun-cerun yang berisiko berdasarkan laporan daripada Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia tahun 2021 serta laporan Slope Hazard And Risk Assessement For Penang Island tahun 2010 oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia.
  4. Bagi aktiviti pertanian sedia ada yang berada di kawasan cerun-cerun bukit, Kerajaan Negeri telah mewartakan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di Kawasan Berbukit Pulau Pinang 2021 bagi tujuan mengawal perkara-perkara berikut:
    1. Kawasan pembersihan tapak/ pelaksanaan kerja/ penanaman semula untuk aktiviti pertanian adalah dihadkan kepada keluasan maksima satu (1) ekar pada bila-bila masa. Bagi fasa berikutnya aktiviti pembersihan tapak/ pelaksanaan kerja/ penanaman semula hanya boleh bermula selepas 70% daripada fasa sebelumnya telah ditanam.
    2. Pengawalan terhadap aktiviti pertanian melibatkan sebarang gangguan atas cerun dan pemotongan pokok-pokok berukur lilit melebihi 80 cm diukur pada aras 0.5 meter dari paras tanah. Dalam keadaan ini, sekurang-kurangnya 30% daripada kawasan tersebut ditanam dengan pokok-pokok di tapak hendaklah dikekalkan sebaik mungkin secara sama rata.
    3. Tumbuhan dan pokok sediada merentangi jalur/ rizab rabung (ridges) di puncak bukit hendaklah dikekalkan/ dipelihara. Lebar jalur/ rizab rabung yang mana pokok-pokok perlu dikekalkan tidak boleh kurang dari 20 meter di kedua-dua belah rabung/ rizab.
    4. Bagi semua tahap aktiviti pertanian, kelebaran laluan yang dicadangkan tidak boleh melebihi 3.5 meter untuk laluan yang berhubung dari lot ke lot dan 1.8 meter lebar dalam lot.
    5. Sistem perparitan hendaklah mematuhi Pelan Kawalan Hakisan Dan Kelodak (ESCP), berdasarkan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) Edisi Kedua oleh Jabatan Perairan dan Saliran serta Garis Panduan Pembangunan Pertanian Di Tanah Bercerun Edisi 2020.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s