George Town, 1 April 2022
Saya merujuk kenyataan media oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) semalam berkenaan ulasan-ulasan mereka terhadap projek Laluan Ketiga oleh Kerajaan Negeri, iaitu pembinaan terowong bawah dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam.
Dalam kenyataan mereka, PPC menyatakan sokongan terhadap projek tersebut, namun pada masa yang sama meletakkan pelbagai syarat yang perlu diambil kira sekiranya projek tersebut ingin diteruskan.
Antara syarat-syarat yang dinyatakan adalah mengenai jajaran pulau buatan yang akan menjadi laluan masuk dan keluar bagi terowong tersebut. PPC meminta agar lokasi pulau itu dipindahkan merapat ke pesisir pantai bagi mengelak pemanjangan dermaga tambahan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang sedang dirancang. Selain itu, PPC juga meminta agar kedalaman minimum yang diperlukan bagi terowong adalah 23 meter di bawah aras dasar laut.
Sebenarnya, perkara-perkara ini telah pun dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat pada 1 Mac 2022 yang turut melibatkan wakil-wakil daripada PPC serta Penang Port Sdn Bhd.
Sepertimana yang dijelaskan oleh perunding-perunding teknikal dalam mesyuarat tersebut, jajaran Laluan Ketiga termasuk pulau buatan yang menjadi laluan masuk dan keluar terowong itu tidak boleh diubah lagi atas dasar teknikal seperti kecerunan ataupun gradient terowong ke arah pulau buatan.
Ini juga bermaksud bahawa kedalaman 23 meter yang turut diminta oleh PPC dalam kenyataannya adalah mustahil dapat dicapai di sekitar kawasan pulau buatan tersebut.
Sepatutnya, PPC yang baru memulakan perancangan projek pembesaran pelabuhan mereka harus mengambil kira jajaran sedia ada yang telah pun dikongsikan dan dilibat urus bersama pihak mereka sejak tahun 2015. Malah, setelah draf kajian kebolehlaksanaan (draft feasibility study report) siap pada akhir tahun 2019, laporan tersebut telah pun diedarkan kepada semua agensi dan jabatan berkaitan termasuk PPC.
Sekiranya PPC benar-benar ikhlas menyokong projek Laluan Ketiga oleh Kerajaan Negeri, maka merekalah yang sepatutnya mengintegrasikan reka bentuk Laluan Ketiga dalam perancangan pembesaran Pelabuhan NBCT, dan bukan sebaliknya.
Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang