Pengosongan Sebahagian Kawasan Rizab Pantai Tanjong Tokong

George Town, 10 April 2022

Saya merujuk kepada kenyataan oleh wakil Persatuan Penduduk Kampung Nelayan Tanjong Tokong yang dibuat semasa tunjuk perasaan yang diadakan pada hari ini.

Sepertimana yang dilaporkan, perkampungan tersebut wujud sejak tahun 2005 apabila nelayan-nelayan di sekitar kawasan tersebut mula membina struktur-struktur atas rizab pantai milikan Kerajaan Negeri.

Sejak daripada itu, “perkampungan” tersebut telah berkembang sehingga kini dengan lebih kurang 78 struktur, di mana kebanyakannya merupakan struktur bukan kediaman termasuk komersil yang menjalankan perniagaan chalet dan homestay.

Saya pernah melawati perkampungan tersebut sejak sebelum saya menjadi ADUN Tanjong Bunga lagi, iaitu semasa saya menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera. Pada waktu itu, dalam salah satu pertemuan dengan penduduk, mereka telah akur bahawa tanah yang diduduki mereka itu merupakan rizab pantai milikan Kerajaan Negeri. Tambahan kepada itu, mereka juga berjanji untuk melepaskan tanah tersebut apabila diminta oleh Kerajaan Negeri bagi apa-apa tujuan pembangunan.

Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian bersama pihak swasta untuk membangunkan sebuah sekolah antarabangsa yang kini merupakan Stonyhurst International School. Menurut perjanjian tersebut, antara syarat yang perlu ditunaikan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk mengosongkan kawasan rizab pantai bagi membenarkan aktiviti kesukanan air yang ingin dijalankan oleh pihak sekolah bagi murid-muridnya.

Namun setelah saya dipilih menjadi ADUN pada tahun 2018, saya telah berbincang dengan pihak Stonyhurst untuk mengkaji semula keperluan untuk mengosongkan keseluruhan rizab pantai tersebut. Justeru, pihak Stonyhurst telah pun setuju untuk mengosongkan hanya sebahagian daripada rizab pantai agar aktiviti kesukanan air mereka dapat dilaksanakan.

Setelah bancian dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, didapati sebahagian yang bakal dikosongkan ini hanya melibatkan 12 struktur, di mana hanya dua (2) daripadanya merupakan struktur kediaman. Bagi dua (2) rumah yang terlibat, mereka akan ditawar dengan rumah mampu milik jenis kos-sederhana. Pemilik struktur-struktur yang lain pula akan diberi saguhati ex-gratia.

Pihak Stonyhurst juga menyatakan komitmen mereka untuk membantu masyarakat setempat dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

Saya kesal bahawa ada pihak yang memberi gambaran yang kurang tepat mengenai keadaan di perkampungan tersebut. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk memastikan kemaslahatan rakyat terjaga, namun hakikatnya tanah kawasan itu merupakan rizab pantai dan bukannya kawasan komersil sepertimana yang sudah terjadi. Pun begitu, saya selaku wakil rakyat telah berusaha sedaya upaya bagi menyelamatkan sebahagian besar daripada perkampungan tersebut.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang
merangkap ADUN Tanjong Bunga

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s