Tuan Yang Dipertua,
- Pertamanya, saya ingin meluahkan rasa syukur kerana Dewan yang mulia ini dapat bersidang dengan lancar dan sempurna pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas ini. Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri atas kerjasama yang diberikan pada sesi kali ini bagi membincangkan segala isu perihal kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang.
- Sesungguhnya, Kerajaan Negeri senantiasa mengambil langkah proaktif dalam merangka pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk memulihkan ekonomi Negeri Pulau Pinang yang telah terkesan akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia. Sesungguhnya pelan yang dirangka ini disokong dengan strategi yang mantap dan jitu, terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan sektor infrastruktur dan pengangkutan.
Kerja Raya dan Infrastruktur Jalan
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Jawi ada memohon supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti projek-projek pembangunan di Seberang Perai Selatan (SPS) seperti Projek Depot Tahanan Imigresen & Kuarters Jawi agar tidak berlaku gangguan bekalan air semasa beroperasi kelak memandangkan terdapat isu bekalan air di kawasan tersebut. Selain itu, Yang Berhormat juga memohon maklum balas daripada pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkenaan penangguhan projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Tengah.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, projek-projek pembangunan di bawah JKR akan melalui permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan perlu mendapat ulasan teknikal daripada jabatan/agensi teknikal berkaitan. Bagi projek Depot Tahanan Imigresen & Kuarters Jawi, projek ini telah mendapat kelulusan KM, di mana dalam ulasan KM tersebut, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mensyaratkan pembinaan rumah pam bagi mengatasi masalah tekanan air di kawasan tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, projek sedang dalam peringkat pembinaan.
- Manakala berkenaan penangguhan projek pembinaan jambatan di Sungai Tengah, projek pembinaan jambatan ini ditangguh dan tidak dapat dilaksanakan kerana berlakunya musibah kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang telah menyukarkan pemasaran lot-lot tanah perindustrian di Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2), Ladang Byram.
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Bertam membangkitkan mengenai masalah pusingan U (U-turn) yang jauh dalam Projek Pembinaan Jalan dua (2) lorong ke empat (4) lorong di Permatang Pak Elong dan bertanyakan adakah pembinaan jejantas boleh dipertimbangkan.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, skop utama projek berkenaan adalah untuk menaik taraf jalan dan jambatan sepanjang 9.0 kilometer yang bermula dari Persimpangan Pak Elong ke Jambatan Merdeka. Projek ini telah siap pembinaan pada 20 April 2022. Jarak antara setiap pusingan U dan persimpangan adalah menepati keperluan reka bentuk dan spesifikasi yang ditetapkan dalam Arahan Teknik Jalan iaitu kurang daripada 3 kilometer. Berhubung pertanyaan Yang Berhormat berkenaan keperluan penyediaan lintasan pejalan kaki untuk menyeberangi jalan, lintasan pejalan kaki berlampu isyarat (push button) telah dibina di CH18800 berhampiran Pasar Awam, manakala penunggang motosikal perlu menyeberangi jalan menggunakan U-turn dan persimpangan yang telah disediakan. Untuk makluman Yang Berhormat juga, reka bentuk jalan ini telah mematuhi Laporan Audit Keselamatan Jalan (Road Safety Audit) dan Laporan Penilaian Trafik (Traffic Impact Assessment, TIA) bagi memastikan keselamatan pengguna diutamakan.
- Selain itu, Yang Berhormat Sungai Dua juga membangkitkan isu pembangunan lereng bukit yang masih dilaksanakan seperti kawasan Sungai Ara yang telah mengakibatkan hakisan runtuhan dan banjir kilat.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, demi menjamin kesejahteraan dan memastikan keselamatan orang awam, harta awam dan persekitaran serta mengurangkan impak hakisan tanah runtuh dan banjir kilat, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah seperti berikut:
i. Mewujudkan Penang Safety Guideline For Hill Site Development 2nd Edition 2020;
ii. Mewujudkan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di Kawasan Berbukit, Pulau Pinang 2021;
iii. Mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau kawasan cerun-cerun bukit dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta/Enakmen yang berkenaan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemilik tanah di kawasan cerun-cerun bukit;
iv. Memastikan semua cadangan pembangunan di kawasan cerun-cerun bukit tidak melebihi ketinggian 76meter dari paras laut dan footprint bangunan hendaklah berada di atas cerun kelas 1 dan kelas 2 sahaja seperti yang tercatat di dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2030; dan
v. Memastikan aktiviti pertanian sedia ada yang telah diusahakan oleh para pekebun dan petani di cerun-cerun bukit tidak menghalang laluan air semula jadi. - Seterusnya, Yang Berhormat Bayan Lepas bertanyakan mengenai penyelesaian jangka masa pendek terhadap kesesakan lalu lintas di FT006 Jalan Bukit Belah.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, Projek Naik Taraf Jalan Tunggal 2 Lorong kepada Jalan Berkembar 4 Lorong di Laluan Persekutuan FT006 dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar Pulau Pinang (Pakej 2A) samb. Pakej 2B (missing link) telah dimajukan ke JKR Malaysia dan belum diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU). JKR Negeri telah majukan permohonan ke Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) agar dapat menyenaraikan projek ini dalam senarai keutamaan pertama Negeri Pulau Pinang. JKR Negeri sedang dalam perancangan untuk membuat kajian TIA pada lokasi kesesakan jalan bermula dari FT006 Seksyen (Emerald Residence) 20.00 hingga Seksyen 20.70 (simpang lampu isyarat Jalan Sungai Batu) untuk penyediaan reka bentuk mitigasi yang sesuai.
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Berapit menyentuh berkenaan masalah kenderaan yang perlu beratur panjang untuk masuk ke kawasan Berapit (Kampung Besar). Yang Berhormat memohon satu laluan pintas ditambah agar kenderaan tidak bertembung dengan kenderaan dari Jalan Kulim ke Bukit Mertajam.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR mengambil maklum akan kesesakan yang berlaku dan akan bersama-sama dengan pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari penyelesaian lalu lintas lokasi tersebut. Kajian terperinci diperlukan bagi menyelesaikan masalah ini kerana terdapat tanah rizab Kementerian Pengangkutan yang melibatkan laluan utama kereta api elektrik berkelajuan tinggi.
- Seterusnya, isu yang dibangkitkan Yang Berhormat Machang Bubuk berhubung kajian ke atas reka bentuk persimpangan di mana berlaku kemalangan maut seorang pelajar sekolah di Jalan Kampung Baru, Alma.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR akan mengangkat cadangan ini bagi mengkaji semula simpang yang dinyatakan termasuk menaik taraf lalu lintas jalan tersebut pada masa hadapan supaya kemalangan-kemalangan seperti ini dapat dihindarkan.
- Yang Berhormat Sungai Acheh memohon dipanjangkan pelebaran jalan di Kampung Kuyong untuk keselesaan penduduk di kawasan tersebut. Selain itu, Yang Berhormat juga memohon agar kerja-kerja pengorekan utiliti di atas jalan JKR ditampal semula dengan baik kerana banyak isu kemalangan akibat jalan yang rosak semula.
- Untuk makluman Yang Berhormat, bagi pelebaran Jalan Kampung Kuyong dari Simpang 3 ke Sungai Acheh, kerja pelebaran jalan sepanjang jalan tersebut memerlukan peruntukan yang besar. Oleh yang demikian, JKR SPS telah merancang untuk menaik taraf longkang hingga ke tepi rizab jalan dan bahu jalan secara berfasa terlebih dahulu, seterusnya menaik taraf jalan juga secara berfasa. Bagi tahun 2021, JKR SPS telah menaik taraf longkang di jalan tersebut sepanjang 126 meter. Pada tahun 2021 juga, JKR SPS telah membaik pulih struktur jalan di jalan tersebut dengan panjang 400 meter.
- Bagi fasa seterusnya iaitu menaik taraf longkang di jalan tersebut, JKR SPS akan memohon peruntukan pembangunan tahun seterusnya sehinggalah selesai. Setelah itu kerja menaik taraf dan pelebaran jalan tersebut akan dijalankan.
- Bagi kerja tampalan susulan kerja-kerja pengorekan oleh pihak utiliti, JKR sentiasa memantau keadaan jalan dan jika terdapat tampalan pihak utiliti yang tidak mengikut spesifikasi, JKR akan serta merta mengarahkan pihak utiliti yang terlibat untuk membaikinya semula dalam kadar segera. Antara pendekatan yang JKR SPS jalankan adalah sentiasa menegaskan secara bersurat kepada pihak-pihak utiliti berhubung prestasi kerja-kerja pihak utiliti yang tidak memuaskan di samping mengadakan mesyuarat bersama pihak utiliti dari semasa ke semasa. Selain itu, mewujudkan medium komunikasi yang efektif menggunakan Whatsapp Group bersama pihak utiliti dengan tujuan untuk menyampaikan dengan segera mengenai kualiti tampalan atau korekan jalan raya yang tidak memuaskan.
- Yang Berhormat Permatang Berangan mengutarakan permohonan kepada pihak JKR untuk memantau persimpangan jalan yang mempunyai risiko kemalangan yang tinggi seperti berikut:
- Simpang Jalan Tasek Gelugor;
- Simpang Jalan Lahar Yooi;
- Simpang Jalan Pokok Sena;
- Simpang Jalan Pasar Malam Tasek Gelugor;
- Simpang Jalan Tok Pedu; dan
- Simpang Jalan Pongsu Seribu
- Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan maklumat menurut pihak JKR:
- Simpang Jalan Tasek Gelugor
Pihak JKR Malaysia telah pun menjalankan kajian forensik jalan raya baru-baru ini. Berdasarkan hasil kajian forensik ini, pihak JKR Pulau Pinang memohon peruntukan bagi penambahbaikan yang sesuai; - Simpang Jalan Lahar Yooi
JKR perlu melaksanakan kerja-kerja ukur Right of Way (ROW) jalan dan kajian bancian trafik keperluan pemasangan lampu isyarat di persimpangan tersebut terlebih dahulu; - Simpang Jalan Pokok Sena
JKR perlu melaksanakan kajian bancian trafik bagi memastikan keperluan pemasangan lampu isyarat terlebih dahulu; - Simpang Jalan Pasar Malam Tasek Gelugor
JKR perlu melaksanakan kajian bancian trafik bagi memastikan keperluan pemasangan lampu isyarat terlebih dahulu; - Simpang Jalan Tok Bedu
JKR telah memohon peruntukan untuk melaksanakan kerja-kerja ukur terlebih dahulu manakala permohonan peruntukan untuk kerja-kerja pemasangan lampu isyarat telah pun dimohon di dalam Bajet 2023; dan - Simpang Jalan Pongsu Seribu
JKR perlu melaksanakan kajian bancian trafik bagi memastikan keperluan pemasangan lampu isyarat terlebih dahulu.
- Simpang Jalan Tasek Gelugor
Tebatan Banjir
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Sungai Pinang telah membangkitkan isu kekerapan banjir kilat di kawasan Sungai Pinang.
- Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang oleh Kerajaan Persekutuan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang selama bertahun-tahun masih belum bermula. Terkini, Kerajaan Negeri memahami bahawa terdapat beberapa isu pemilikan tanah dan struktur-struktur tanpa izin di rizab Sungai Pinang yang menghalang pelaksanaan projek ini. Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menangani isu-isu ini. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah menulis secara rasmi kepada pihak JPS Malaysia untuk mengkaji semula keperluan pengambilan balik tanah di sebahagian tanah milik melibatkan penempatan penduduk. Proses pengambilan tanah milik (bergeran) akan melibatkan bayaran pampasan kepada penghuni mengikut kadar harga semasa (tidak dapat dikecualikan atau dikurangkan) dan ini akan memerlukan peruntukan yang amat besar dan tempoh masa yang panjang dan seterusnya akan menjejaskan tempoh pelaksanaan projek. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa terdapat beberapa opsyen lain yang boleh dipertimbangkan tanpa menjejaskan tahap perlindungan optimum, dan yang boleh mengelakkan pengambilan tanah tambahan. Cadangan ini telah pun dikemukakan kepada JPS Malaysia dan sekiranya dapat dipertimbangkan, sudah pasti ia dapat menjimatkan kos bayaran pampasan dan menjimatkan masa pengambilan tanah. Dengan itu, perancangan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Bagan Dalam ada bertanya mengenai RTB Sungai Nyior.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, pihak JPS Pulau Pinang telah membuat perancangan berkaitan kejadian banjir di kawasan tadahan Sungai Nyiur dengan membuat panggilan semula tender kajian bagi RTB Sungai Nyiur pada bulan Julai 2022 bagi mematuhi beberapa syarat baharu yang dipinda dalam terma rujukan projek RTB JPS Malaysia.
- Yang Berhormat Teluk Bahang membangkitkan mengenai isu tebatan banjir yang perlu diteliti terutamanya berkaitan fenomena air pasang.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, masalah air pasang besar yang berlaku telah diambil kira dalam perancangan jangka masa panjang dalam RTB Teluk Bahang yang pada masa ini dalam proses reka bentuk terperinci oleh pihak perunding. Antara skop RTB ini adalah:
i) Kerja naik taraf sistem saliran JPS sedia ada;
ii) Pemasangan Flap Gate bagi mengawal air larian hujan (runoff) dan air laut pasang; dan
iii) Naik taraf pintu air pasang surut (Tidal Control Gate) yang lebih besar.
Penyelesaian keseluruhan kawasan limpahan air laut pasang besar kawasan taman perumahan memerlukan kos yang tinggi di mana kawasan tersebut adalah rendah dan memerlukan kerja pembinaan ban di sepanjang kawasan hutan bakau di samping pembinaan sistem saliran baru yang dikawal dengan pembinaan pintu air pasang surut.
Pengangkutan
Tuan Yang Dipertua,
- Selain daripada kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam juga turut dibahaskan oleh Yang Berhormat sekalian. Antaranya Berapit, Bayan Lepas, Teluk Bahang dan lain-lain. Terima kasih kerana sentiasa cakna dengan kepentingan pengangkutan awam di Pulau Pinang.
- Seperti Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, semua perkhidmatan bas awam milik Kumpulan Prasarana yang dioperasikan oleh Rapid Penang adalah percuma di Negeri Pulau Pinang. Kini, sebanyak 50 laluan dioperasikan oleh Rapid Penang dengan 195 buah bas setiap hari mulai jam 5.30 pagi hingga 11.30 malam di seluruh negeri Pulau Pinang. Dengan menggunakan Pas Mutiara, semua bas ini boleh dinaiki secara percuma.
- Kerajaan Negeri bersetuju dengan pandangan dan cadangan Yang Berhormat agar lebih banyak rangka promosi dilaksanakan untuk mempromosikan Pas Mutiara ini agar lebih ramai rakyat menggunakan bas lalu kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan. Sehubungan itu, promosi Pas Mutiara dan semua program tajaan Kerajaan Negeri seperti tambang percuma feri dan program bas percuma CAT Bridge akan turut dimasukkan dalam sesi roadshow promosi PTMP yang telah berlangsung sejak dua minggu lalu. Untuk makluman sidang Dewan, sesi roadshow ini telah dijadualkan selama enam bulan setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad di 16 lokasi terpilih. Diharapkan dengan usaha ini, lebih ramai orang awam akan menyokong dan menggunakan pengangkutan awam.
- Manakala bagi perkhidmatan BEST FIZ yang telah ditamatkan pada bulan Ogos 2019, untuk makluman Berapit, laluan bas percuma CAT Bridge telah melalui kawasan-kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ). Maka, BEST FIZ tidak lagi diperlukan untuk laluan yang sama. Walau bagaimanapun, cadangan Yang Berhormat agar berbincang dengan pihak Frepenca boleh dipertimbangkan untuk mengkaji laluan-laluan baharu. Pengwujudan laluan baru secara terus ke FIZ haruslah mempunyai jumlah ridership yang optimum agar penggunaan bas lebih efisien.
Kenderaan Elektrik (EV)
Tuan Yang Dipertua,
- Kenderaan elektrik semakin mendapat perhatian di Malaysia. Menurut Malaysia Automotive Association, bagi tahun 2021 hanya 274 buah EV yang telah didaftar berbanding jumlah 508,911 buah kenderaan yang dijual secara keseluruhannya di Malaysia bagi tahun tersebut. Walaupun uptake EV masih tidak memberangsangkan, penyediaan infrastruktur untuk menyambut lebih banyak EV di Malaysia dan Pulau Pinang khususnya perlu diteliti. Ini adalah kerana tanpa kemudahan pengecasan, ramai yang tidak ingin menggunakan kereta elektrik.
- Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat Komtar agar lebih banyak tempat pengecasan kenderaan elektrik dipasang di Pulau Pinang. Untuk makluman sidang Dewan, Kerajaan Negeri sedang meneliti perkara ini dan ingin menggalakkan pengusaha-pengusaha atau syarikat-syarikat yang berminat untuk memasang tempat pengecasan elektrik di Pulau Pinang untuk melakukannya di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai yang strategik.
- Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui MBPP telah meluluskan sembilan lokasi untuk pemasangan tempat pengecasan motosikal elektrik secara percuma di Pulau Pinang iaitu enam lokasi di Daerah Timur Laut (DTL) dan tiga lokasi di Daerah Barat Daya (DBD). Tujuan penyediaan stesen pengecasan (charging station) secara percuma bagi motosikal elektrik (e-bike) ini adalah untuk menggalakkan orang awam dan rider e-hailing menggunakan motosikal berkuasa elektrik. Inisiatif ini juga selari dengan Visi Penang2030 melalui Strategik Inisiatif D2: Strengthen Mobility, Connectivity and Digital Infrastructure.
Bayan Lepas LRT & PIL1
Tuan Yang Dipertua,
- Walaupun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif kepada ekonomi negara, Pulau Pinang kekal sebagai negeri utama dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita iaitu sebanyak RM54,718 bagi tahun 2020, iaitu melebihi paras kebangsaan RM43,378 meskipun mengalami penyusutan sebanyak 2.1% berbanding penyusutan 5.6% yang dicatatkan di peringkat nasional. Pertumbuhan positif yang berterusan bagi produk elektrik dan elektronik bagi sektor pembuatan yang kekal unggul dari Negeri ini telah mengimbangi kadar penguncupan ekonomi nasional.
- Sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang bukan hanya menerima impak dari segi pertumbuhan ekonomi malah turut mengalami pertambahan kepadatan penduduk dan bilangan kenderaan saban tahun. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan seharusnya mempertimbangkan semula dan memperuntukkan dana sewajarnya sejajar dengan masa depan Pulau Pinang yang sedang bergerak ke arah sebuah negeri maju dan bertaraf antarabangsa sekaligus kekal menjadi sebuah negeri yang menyumbang manfaat dari segi ekonomi kepada negara dan menjadikan Malaysia terus kekal berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain.
- Projek pengangkutan awam seperti Light Rail Transit (LRT) dan pembinaan jaringan lebuh raya baharu seperti Pan Island Link 1 (PIL1) merupakan projek infrastruktur berskala besar yang secara lazimnya akan mendapat pembiayaan dana daripada Kerajaan Persekutuan. Bagi merealisasikan projek Bayan Lepas LRT dan Lebuhraya PIL1, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan dana daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak tiga kali berturut-turut melalui Rancangan Malaysia Ke-12, namun tidak membuahkan hasil. Malah, jaminan sovereign guarantee yang telah diberi oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan bagi pembiayaan projek LRT serta pinjaman soft loan daripada pihak Asian Development Bank telah pun dibatalkan.
- Walaupun tiada maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan terus memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Rolling Plan 3 (RP3) untuk pelaksanaan projek PIL1 secara berfasa iaitu bermula dengan Fasa 1A terlebih dahulu. Jajaran PIL1 Fasa 1A sepanjang 2.4km akan menghubungkan persimpangan Tun Dr Lim Chong Eu sehingga persimpangan Tun Dr Awang melalui kawasan rizab Sungai Keluang. PIL1 Fasa 1A merupakan projek berimpak tinggi yang dapat menyuraikan kesesakan trafik di kawasan Jalan Tengah, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr. Awang dan rangkaian jalan di sekitar kawasan FIZ secara keseluruhan. Peruntukan sebanyak RM1,614,000,000 dimohon oleh Kerajaan Negeri menerusi RP3 dengan sejumlah RM425,000,000 dimohon bagi tahun 2023.
- Dengan usaha pihak Kerajaan Negeri meneliti semula kaedah pelaksanaan projek PIL1 secara berfasa, adalah diharapkan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permohonan ini dengan kadar segera. Kerajaan Negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan peruntukan oleh Kerajaan Negeri secara lebih menyeluruh dengan mempertimbangkan keadaan pengguna awam yang terpaksa mengharungi kesesakan yang teruk terutamanya di kawasan industri di waktu puncak di mana kawasan ini merupakan penempatan industri pembuatan yang menjana KDNK yang ketara kepada negara kita.
Bekalan Air
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Jawi bertanyakan soalan adakah Sungai Perai dan Sungai Juru boleh dirawat dengan teknologi canggih atau merujuk kepada pakar-pakar untuk digunakan sebagai air bersih. Yang Berhormat juga bertanyakan mengenai penjelasan lanjut berkenaan “Pelan Kontigensi Bekalan Air SPS” yang telah dilaksanakan.
- Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP akan menerokai dan membuat kajian lanjut terhadap rawatan air sungai dengan menggunakan teknologi terkini. Pihak PBAPP mencadangkan pelaksanaan lima projek berikut dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi memastikan keselamatan dan kestabilan bekalan air di seluruh Seberang Perai sehingga 2030, iaitu:
- Fasa 2 Naik taraf Tangki Pemendapan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua;
- Pakej 12A, LRA Sungai Dua (projek modul rawatan air baharu);
- Fasa 1 LRA Empangan Mengkuang;
- Fasa 1 LRA Sungai Muda; dan
- Skim Bekalan Air Sungai Perai.
- Untuk makluman Yang Berhormat, permintaan air di SPS telah meningkat dengan ketara disebabkan oleh pertumbuhan sosio-ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Akibatnya, penduduk di beberapa kawasan perumahan seperti Residensi Merbok, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan kawasan berhampiran mengalami masalah tekanan air rendah. Semua kawasan ini terletak di kawasan yang lebih tinggi dan/atau di hujung paip agihan.
- Bagi menangani masalah yang dihadapi penduduk SPS, Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP untuk mengambil beberapa tindakan segera. Antaranya adalah i) menempatkan 34 tangki statik di lokasi-lokasi terjejas dan mengisinya menggunakan tangki air bergerak (mobile tanker); ii) melaksanakan langkah kejuruteraan bagi mengalirkan air dari kawasan industri ke kawasan perumahan dari jam 6 petang hingga 6 pagi; iii) mengenal pasti lokasi yang strategik untuk memasang booster pump bagi meningkatkan aliran air ke reservoir Jawi yang kemudiannya akan diagihkan ke kawasan-kawasan perumahan SPS; dan iv) menaiktaraf Loji Rawatan Air Bukit Panchor dengan kadar segera bagi meningkatkan bekalan air di SPS.
- Manakala bagi penyelesaian jangka masa panjang, projek-projek telah dirancang untuk beroperasi dalam tempoh tahun 2025 hingga 2028 seperti berikut:
• Fasa 1, Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Mengkuang (114 JLH);
• Fasa 1, LRA Sungai Muda (114 JLH); dan
• Skim Bekalan Air Sungai Perai (136 JLH)
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Sungai Dua bertanyakan mengenai pecahan peratusan pengambilan sumber air daripada Sungai Muda untuk kegunaan domestik, industri dan juga untuk kegunaan pertanian. Yang Berhormat juga bertanya apakah langkah-langkah yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri sekiranya Negeri Kedah mengenakan cukai dalam urusan tersebut.
- Untuk makluman Yang Berhormat, bagi menjawab kepada pertanyaan yang pertama, pecahan penggunaan air yang diambil dari Sungai Muda adalah 54.4% bagi penggunaan domestik dan 30.6% bagi industri dan pertanian. Untuk makluman Yang Berhormat, Negeri Kedah perlu menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan dan bukannya daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Air mentah dari Ulu Muda bukan hanya memberi faedah kepada 1.78 juta penduduk di Negeri Pulau Pinang bahkan juga dinikmati oleh keseluruhan 4.2 juta penduduk di tiga negeri Wilayah Utara termasuk Perlis dan Kedah. Sekiranya Kedah serius dalam usaha memulihara Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau, ia harus mendapatkan pampasan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan dan bukan hanya daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Infrastruktur Telekomunikasi
Tuan Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Batu Lanchang dan Permatang Pasir ada membangkitkan berkenaan status semasa pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang.
- Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Digital Nasional Berhad (DNB) telah memulakan kerja-kerja pelaksanaan 5G di Pulau Pinang. Sebanyak lima (5) lokasi telah dipilih sebagai projek perintis di kawasan Warisan George Town. Pada tahun ini, sebanyak 151 lokasi termasuk projek perintis akan dilengkapi dengan rangkaian 5G di bahagian Pulau. Kerajaan Negeri dan DNB serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan 5G di Negeri Pulau Pinang seperti Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga sedang merangka tindakan bagi memastikan perkhidmatan liputan 5G di Pulau Pinang akan bermula pada bulan September 2022. Ini adalah selari dengan penganjuran World Congress on Innovation & Technology (WCIT) di Pulau Pinang yang akan diadakan pada pertengahan bulan September 2022.
- Yang Berhormat Sungai Dua, Yang Berhormat Permatang Berangan dan Yang Berhormat Machang Bubok ada membangkitkan isu liputan internet di kawasan pinggir dan luar bandar di pulau pinang.
- Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, setakat Disember 2021 liputan 4G di seluruh negeri Pulau Pinang telah mencapai sebanyak 99.82%. Ini melebihi sasaran nasional di bawah Inisiatif JENDELA Fasa 1 iaitu sebanyak 96.9%. Kerajaan Negeri sememangnya memberi penekanan penting terhadap kemudahan telekomunikasi. Ini terbukti apabila Negeri Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengiktiraf kemudahan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga selepas kemudahan elektrik dan air. Pada masa kini, fokus Kerajaan Negeri adalah menambah baik liputan internet di kawasan pinggir bandar dan kawasan yang mempunyai masalah liputan komunikasi. Kerajaan Negeri juga sedang bekerjasama bersama dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan MCMC dalam melaksanakan beberapa inisiatif bagi menaik taraf liputan komunikasi. Antara inisiatif yang sedang berjalan semenjak tahun 2020 adalah seperti berikut:
- Pemasangan jalur lebar talian tetap.
Sehingga Disember 2021, sebanyak 182,251 premis telah siap pemasangan jalur lebar talian tetap di seluruh Negeri Pulau Pinang. Sasaran sehingga penghujung tahun 2022 adalah sebanyak 283,989 premis; - Pemasangan jalur lebar mudah alih.
Pemasangan ini melibatkan pembinaan struktur telekomunikasi baru bagi tujuan jalur lebar mudah alih. Sehingga kini, sebanyak 99 lokasi tapak baru telah dilaksanakan di seluruh negeri Pulau Pinang. Usaha ini akan diteruskan di dalam pelaksanaan JENDELA Fasa 2 bermula tahun hadapan; - Naik taraf stesen pemancar sedia ada.
Kerja-kerja yang terlibat adalah naik taraf stesen pemancar sedia ada agar liputan telekomunikasi dapat ditingkatkan. Sehingga kini, sebanyak 1,715 stesen pemancar telah siap dinaiktaraf; - Projek Penyediaan Hab Infrastruktur Gentian Optik Luar Bandar di Kawasan berhampiran Sekolah dan Kawasan Perindustrian (Point of Presence – POP).
Projek POP adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menaiktaraf liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi pelaksanaan fasa 1, terdapat sebanyak lapan buah sekolah dan satu kawasan perindustrian yang terlibat seperti berikut:
i. Sekolah Kebangsaan Bumbung Lima, Kepala Batas;
ii. Sekolah Kebangsaan Lahar Kepar, Kepala Batas;
iii. Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Nung Min, Kepala Batas;
iv. Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Palaniandy;
v. Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal;
vi. Sekolah Kebangsaan Permatang Sintok, Penaga;
vii. Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Chung, Penaga;
viii. Sekolah Kebangsaan Pulau Aman, Simpang Ampat; dan
ix. Penang Science Park. - Pelaksanaan Penang Connectivity Masterplan (PCMP).
PCMP telah dilancarkan pada tahun 2019 dengan matlamat untuk memastikan ketersediaan infrastruktur telekomunikasi di Pulau Pinang menghadapi cabaran dunia abad ke 21 terutama dalam sektor ekonomi digital, industri 4.0 dan rangkaian teknologi 5G. - Penubuhan Pusat Internet Komuniti (PIK)
Sebanyak 41 PIK telah dirancang untuk diwujudkan di Negeri Pulau Pinang. Setakat ini, sebanyak tiga lokasi telah diwujudkan iaitu di kawasan Sungai Pinang, Balik Pulau, Taman Prestij, Balik Pulau dan Taman Gelugor Indah, Seberang Perai Utara. Pihak MCMC pada masa ini juga dalam proses mewujudkan sebanyak 38 PIK lagi di seluruh negeri Pulau Pinang. Fokus PIK juga adalah melibatkan kawasan pinggir bandar dan kawasan B40.
- Pemasangan jalur lebar talian tetap.
- Yang Berhormat Kebun Bunga ada mencadangkan agar pusat data atau internet exchange di pulau pinang bagi menarik minat pelabur untuk melabur di pulau pinang.
- Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melihat cadangan ini sebagai satu cadangan yang baik dan positif dalam menarik minat pelabur untuk melabur dalam sektor digital di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri melalui Digital Penang sedang mengkaji dengan lebih mendalam cadangan ini dan akan mengadakan sesi libat urus bersama dengan semua pemegang taruh yang terlibat bagi melihat keperluan dan kehendak yang diperlukan di Pulau Pinang.
Penutup
Tuan Yang Dipertua,
- Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan dilaksanakan dengan kaedah yang paling cekap dan lestari bagi kemaslahatan bersama rakyat Pulau Pinang. Diharapkan segala apa yang dibincangkan dan keputusan yang dicapai mampu menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.
- Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, Kerajaan Persekutuan bahkan setiap lapisan masyarakat dapat bekerjasama dan sentiasa menyokong setiap inisiatif Kerajaan Negeri bagi membangunkan dan memajukan Negeri Pulau Pinang ke arah mencapai visi dan misi Penang2030.
Sekian, terima kasih.