George Town, 31 Disember 2022
Seiring dengan lanjutan pembiayaan Pas Mutiara oleh Kerajaan Negeri, sukacita dimaklumkan, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menyambung penajaan program feri percuma selama 6 bulan pada tahun hadapan iaitu bermula dari 1 Januari 2023 sehingga 30 Jun 2023.
Ini sekaligus bermaksud bahawa sekali lagi, jaringan pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang baik pengangkutan air mahupun darat adalah percuma bagi semua warganegara Malaysia.
Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan. Jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000 bagi tempoh 6 bulan tahun 2023.
Program yang mula dilancarkan sejak 1 Julai 2021 ini telah mendapat sambutan hangat daripada warga Pulau Pinang di mana jumlah ridership menunjukkan momentum yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila negara memasuki fasa endemik Covid-19.
Dengan adanya penajaan ini, ia membolehkan penumpang pejalan kaki berwarganegara Malaysia layak untuk menikmati perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma pada setiap hari dan setiap masa. Penumpang hanya perlu membawa MyKad (yang telah didaftarkan terlebih dahulu di kaunter tiket) dan tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk penyeberangan percuma sebelum menaiki feri.
Kerajaan Negeri berharap dengan adanya pembiayaan tambang feri ini, ia dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perjalanan warga Pulau Pinang yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam sejurus menjadi pemangkin untuk orang ramai menggunakan pengangkutan awam sebagai salah satu mod pengangkutan.
Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang