George Town, 21 Julai 2022
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam telah menerima laporan post-mortem krisis air yang berlaku di Negeri Pulau Pinang dari 6 hingga 11 Julai 2022 yang lalu.
Setelah perbincangan yang lanjut, Majlis telah mengarahkan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) untuk menambah baik laporan tersebut dengan perincian yang lebih mendalam.
Majlis juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Panel Penyemak Bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air. Antara terma rujukan bagi Panel tersebut adalah:
- Membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan post-mortem krisis air di Negeri Pulau Pinang yang disediakan oleh PBA.
- Mengenal pasti faktor kepada berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang.
- Mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang.
- Mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
- Mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, jangka masa sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku.
- Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.
Keahlian Panel Penyemak Bebas akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa yang terdekat dan Panel akan diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan mereka.
ZAIRIL KHIR JOHARI
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang