Ucapan Penggulungan Belanjawan 2023

Tuan Yang Dipertua,

  1. Pertamanya, saya ingin meluahkan rasa syukur kerana Dewan yang mulia ini dapat bersidang dengan lancar dan sempurna pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas. Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri di atas kerjasama yang diberikan pada sesi kali ini bagi membincangkan pelbagai isu demi kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang.
  2. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri senantiasa peka akan keperluan untuk merangka strategi yang mantap dan jitu, terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu pembangunan sektor infrastruktur dan pengangkutan bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mengurangkan impak negatif kepada sektor ini.
KERJA RAYA

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bukit Tambun dan Jawi telah membangkitkan berkenaan keperluan diwujudkan satu Pelan Induk Pengangkutan Seberang Perai berikutan kesesakan lalu lintas yang amat teruk di jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri di kawasan tersebut terutamanya dari Tol Jawi ke Tol Sungai Dua, dari Bandar Tasek Mutiara ke Jambatan Kedua, Jalan FT001 dan Jalan Perusahaan Valdor.
  2. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri mengambil maklum dan menyambut baik saranan tersebut dan akan menjalankan semakan dan kajian secara holistik menerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalu Lintas yang diurusetiakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang senantiasa memohon penaiktarafan jalan persekutuan dalam semua Rancangan Malaysia (RMK). Ini adalah untuk memastikan jalan-jalan tersebut dapat menampung peningkatan trafik.
  3. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru Kerajaan Persekutuan dan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri baharu agar dapat bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk sama-sama menangani masalah ini. Kita memerlukan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur berskala besar daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
  4. Berkenaan Jalan Perusahaan Valdor, JKR telah selesai melaksanakan kerja ukur tanah. Peringkat seterusnya adalah kerja reka bentuk yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Jawi juga ada membangkitkan berkenaan jalan pintas dari Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Sungai Udang dan Parit Buntar ke Jeti Changkat. Yang Berhormat Jawi telah memohon agar jalan ini didaftarkan di bawah MARRIS dan diwartakan sebagai jalan MARRIS bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang bagi tujuan penyelenggaraan.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, jalan tersebut berada di dalam rizab Sungai Daun dan merupakan laluan bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Kerajaan Negeri melalui JPS akan melihat secara keseluruhan bagi memastikan tindakan yang bersesuaian dapat diambil. Ini adalah untuk mengelakkan perkara-perkara luar jangka seperti kemalangan berlaku.
  3. Seterusnya, Yang Berhormat Bukit Tengah telah membangkitkan berkenaan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin melarat di persimpangan bertingkat (interchange) Juru dan persimpangan bertingkat Jalan Bukit Tengah – Jalan Chian Heng Kai.
  4. Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR telah selesai melaksanakan kajian lalu lintas di Jalan Bukit Tengah – Jalan Chian Heng Kai. Kajian tersebut telah mencadangkan beberapa langkah penyelesaian seperti pelebaran jalan sedia ada, penaiktarafan persimpangan bertingkat Juru kepada persimpangan berlian mencapah (diverging diamond interchange) serta penyelarasan masa lampu isyarat di persimpangan Jalan Kebun Nenas – Jalan Perusahaan. Hasil kajian ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalulintas MBSP terlebih dahulu dan setelah mendapat kelulusan akan memasuki peringkat reka bentuk.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bertam telah memohon agar lampu isyarat dipasang di persimpangan keluar ke Pongsu Seribu, Jalan Pajak Song dari Taman Rupawan atau dari Taman Seri Serdang. Jalan pintas dari Taman Rupawan ke Pusat Bandar Bertam Perdana ini merupakan jalan alternatif yang sering digunakan oleh penduduk Taman Pongsu Seribu, Taman Rupawan dan Taman Seri Serdang. Penduduk Jalan Pongsu Seribu dan Jalan Pajak Song terkesan susulan bilangan jumlah kenderaan yang melalui jalan tersebut semakin meningkat dan berlaku kesesakan pada waktu puncak.
  2. Berkenaan isu ini, Kerajaan Negeri sedar akan peningkatan trafik dan kesesakan yang berlaku di kawasan tersebut. Pihak JKR kini sedang dalam pelaksanaan bancian untuk mengenal pasti sama ada terdapat keperluan bagi pemasangan lampu isyarat di kawasan ini.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bayan Lepas telah mencadangkan agar satu jalan alternatif menuju ke Teluk Bayu dibina bagi mengatasi masalah jalan sedia ada yang kecil. Yang Berhormat juga telah mencadangkan agar jalan alternatif dibina di kawasan Mutiara Perdana kerana hanya terdapat satu jalan masuk ke kawasan ini iaitu berhadapan dengan kawasan Setia Triangle.
  2. Bagi menyambut cadangan yang diutarakan oleh Yang Berhormat, JKR telah mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dengan mengambil kira jalan sedia ada dan kekerapan penggunaan di jalan tersebut dilaksanakan bagi melihat kesesuaian pembinaan jalan-jalan alternatif ini.
  3. Seterusnya, Yang Berhormat Batu Uban dan Air Itam mencadangkan agar kajian menyeluruh berkenaan isu lalu lintas dilaksanakan dan warden trafik ditempatkan di kawasan-kawasan hotspot.
  4. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak MBPP sentiasa bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menempatkan anggota warden trafik di kawasan-kawasan hotspot. Buat masa ini, warden trafik telah ditempatkan di Jalan Tengah, Lebuh Maccalum, Lebuh Cecil, Jalan Gottlieb dan beberapa kawasan lain khusus untuk membantu pihak PDRM dalam menangani kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan ini. Penempatan warden trafik di kawasan-kawasan lain adalah sentiasa di dalam penelitian Kerajaan Negeri berdasarkan kepada keperluan dari semasa ke semasa.
Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan Negeri melalui JPS Pulau Pinang amat komited dalam usaha mengurangkan kejadian banjir serta impak perubahan iklim secara berstruktur iaitu dengan menjalankan pembinaan rumah pam, ban, pintu air, melaksanakan kerja pengukuhan tebing, mendalam dan melebar sungai, menyelenggara sistem saliran dan kolam-kolam takungan banjir. Selain daripada itu, JPS juga melaksanakan kerja-kerja pencegahan hakisan pantai dan penaiktarafan struktur-struktur utama.
  2. Berkenaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Jawi  yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jawi. Sebagai makluman Yang Berhormat, projek ini adalah merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui JPS Malaysia di bawah program Tebatan Banjir Secara ‘Off Budget’ Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yng bertujuan untuk mengurangkan kejadian banjir di lembangan Sungai Jawi.
  3. Setakat ini, projek ini masih di dalam peringkat perancangan dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat kawasan dan agensi-agensi kerajaan negeri akan diadakan secara berperingkat bagi mendapatkan input dan maklum balas bagi menjayakan pelaksanaan projek ini kelak.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bukit Tengah telah membangkitkan berkenaan kejadian banjir di kawasan DUN Bukit Tengah pada 11 Oktober 2022 mesikpun dua (2) projek RTB telah dilaksanakan iaitu Projek RTB Parit 4 dan Projek RTB Parit 5.
  2. Berdasarkan siasatan yang telah dilakukan oleh JPS, kejadian banjir tersebut berpunca daripada kadar curahan hujan yang tinggi iaitu 174mm (Stesen Machang Bubuk) dan terdapat aliran daripada kawasan lembangan Sungai Junjung yang memasuki kawasan lembangan Parit 5.
  3. Pam tebatan banjir di Parit 5 telah beroperasi pada kadar maksimum, ditambah dengan keadaan jumlah air yang terlalu tinggi daripada kawasan lembangan sungai bersebelahan menyebabkan pam berkenaan tidak mampu menampung kapasiti air yang tinggi pada ketika itu. Selain itu, terdapat saluran parit tanah yang sepatutnya dinaiktaraf oleh pihak pemaju berserta pembinaan sebuah pintu kawalan air automatik (flap gate) di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, ia masih belum dilaksanakan berdasarkan masa yang telah ditetapkan. Susulan dari kejadian banjir tersebut, JPS telah mengambil pendekatan segera dengan menutup kedua-dua aliran tersebut daripada memasuki sistem saliran Parit 5.
  4. Bagi cadangan mitigasi jangka masa panjang, JPS kini sedang meneliti semula komponen projek RTB Parit 5 bagi tujuan penambahbaikan sistem tebatan banjir ini. Satu mesyuarat post-mortem akan dilaksanakan segera bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDT SPT) dan MBSP bagi bersama-sama menyelaras dan menambah baik sistem saliran tersebut.
  5. Berkenaan isu banjir di kawasan Kampung Dock dan Kampung Tok Panjang, sebagai makluman Yang Berhormat, JPS telah melaksanakan kerja ukur aras bagi mendapatkan gambaran terperinci sistem saliran sedia ada di dalam kampung tersebut. Pembentangan berkenaan isu ini telah dibuat pada 13 Oktober 2022 kepada PDT SPT,  pejabat Yang Berhormat ADUN Bukit Tengah serta mantan Ahli Parlimen Batu Kawan. JPS telah mencadangkan agar PDT SPT memohon peruntukan bagi pelantikan perunding untuk menyediakan reka bentuk terperinci di kawasan tersebut bagi mengenal pasti penyelesaian yang terbaik untuk menaiktaraf sistem saliran di kawasan tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Batu Uban telah membangkitkan berkenaan isu banjir di kawasan Bayan Baru dengan merujuk kepada kejadian banjir pada bulan September dan Oktober yang lalu yang dikaitkan dengan kegagalan fungsi rumah pam RTB Bayan Baru.
  2. Sebagai makluman Yang Berhormat, projek RTB Bayan Baru telah disiapkan pada Ogos 2022 dan masih dalam tempoh kecacatan liabiliti (DLP). Dalam tempoh ini, pengoperasian pam adalah di dalam pemantauan JPS dan dioptimumkan bersama dengan pintu kawalan pasang surut agar dapat berfungsi dengan baik mengikut aras air yang paling sesuai supaya pam dan pintu kawalan pasang surut dapat beroperasi dengan berkesan berdasarkan kepada aras air Sungai Kluang, parit monsun Sungai Relau, parit dalaman kawasan komersial dan perumahan Bayan Baru serta ketika berlakunya hujan lebat dan air pasang.
  3. JPS juga telah mengenal pasti cadangan penambahbaikan yang bersesuaian bagi mengatasi kejadian banjir di kawasan tersebut seperti berikut:
  4. Menaiktaraf sistem perparitan dalaman dan ‘collector drain’ di beberapa lokasi di sekitar Bayan Baru bagi mengalirkan air larian terus ke sistem perparitan tambahan ke rumah pam Bayan Baru di hilir Sungai Relau/Sungai Keluang;
    • Memastikan tiada halangan/sampah di setiap perparitan dalaman dan juga sungai; dan
    • Melaksanakan pemantauan dan penyelenggaraan berkala pam tebatan banjir dan pintu kawalan pasang surut.
  1. Bagi merealisasikan cadangan penambahbaikan ini, JPS akan memastikan kerja pembinaan mitigasi ini dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama agensi lain seperti MBPP dan JKR dengan merangkumi aspek kebersihan, pengurusan sampah serta sistem perparitan dalaman dan jalan supaya objektif projek-projek tebatan banjir yang dilaksanakan di kawasan Bayan Baru tercapai dan dapat mengurangkan kejadian banjir di kawasan tersebut.
  2. Berkenaan isu banjir di Pantai Jerejak, sebagai makluman Yang Berhormat, aliran akhir bagi kawasan perumahan Pantai Jerejak adalah Sungai Dua Besar. Kejadian banjir yang berlaku adalah disebabkan oleh sistem perparitan sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti larian air dari kawasan hulu ke hilir.
  3. Kerajaan Negeri melalui JPS Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya melaksanakan kerja pengorekan Sungai Dua Besar dan Sungai Nibong setiap tahun serta melaksanakan kerja pengorekan muara Sungai Dua setiap dua (2) tahun sekali bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir. Bagi penyelesaian jangka masa panjang, JPS Malaysia sedang dalam pelaksanaan kajian reka bentuk terperinci bagi lembangan Sungai Dua Besar dengan mengenal pasti punca kejadian banjir serta menyediakan opsyen penyelesaian bagi mengurangkan kejadian banjir di lembangan ini.
  4. Berkenaan isu banjir di kawasan Batu Maung pula, JPS memaklumkan bahawa permohonan peruntukan kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek RTB di kawasan tersebut akan dilakukan pada tahun 2023.
  5. Kerajaan Negeri amat berbesar hati di atas penghargaan yang diberikan oleh Yang Berhormat Batu Uban berkenaan penyelesaian isu banjir di kawasan Minden Heights melalui kajian menyeluruh oleh JPS dan JKR Daerah Timur Laut. Ini menunjukkan komitmen penuh Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu banjir ini.
Bekalan Air

Tuan Yang Dipertua,

  1. Memetik ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, dari tahun 2019 hingga 2021, penduduk Pulau Pinang kian meningkat. Pada masa yang sama, pembangunan yang pesat di Negeri Pulau Pinang, berserta dengan perubahan iklim dan pandemik COVID-19 telah mendorong kepada peningkatan permintaan bekalan air. Pembangunan akan datang yang sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri juga bakal menyuntik pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat iaitu melibatkan kawasan Batu Kawan, Balik Pulau, Zon Perindustrian Bandar Bertam, cadangan tiga (3) pulau tebus guna Penang South Islands (PSI), serta Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas. Bagi menampung permintaan bekalan air yang bakal meningkat ini, Kerajaan Negeri akan terus menaik taraf infrastruktur bekalan air dan juga perlu mencari sumber air mentah tambahan untuk memastikan kelestarian bekalan air di Negeri ini.
  2. Yang Berhormat Bukit Tambun dalam ucapan perbahasannya telah menggesa agar Kerajaan Negeri memuktamadkan rundingan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bersama Kerajaan Negeri Perak dengan secepat mungkin.
  3. Kerajaan Negeri amat sedar akan keperluan air mentah yang mendesak ini. Ini adalah kerana Sungai Muda hanya dapat memenuhi keperluan air mentah bagi Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2025 sahaja.
  4. Justeru itu, Kerajaan Negeri menyambut baik saranan Yang Berhormat dan akan memastikan rundingan bersama Kerajaan Negeri Perak dimuktamadkan sesegera mungkin memandangkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengemukakan laporan akhir mengenai kajian Projek SPRWTS ini dan hasil kajian menunjukkan bahawa kapasiti air Sungai Perak adalah mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan air bagi Negeri Pulau Pinang dan utara Perak. Projek SPRWTS ini amat penting sebagai sumber air mentah tambahan untuk menampung keperluan permintaan air Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2050.
Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

  1. Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang kini adalah jauh lebih baik berbanding sepuluh (10) tahun yang lalu. Ini adalah hasil usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta khususnya industri telekomunikasi yang sudi melabur di Negeri Pulau Pinang.
  2. Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada suku pertama tahun 2022, Negeri Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di negeri ini iaitu sebanyak 152.6 peratus, melebihi kadar nasional 124.1 peratus manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula adalah sebanyak 51.2 peratus, melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 40.8 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di wilayah utara yang mempunyai liputan 5G. Majlis pelancaran 5G telah diadakan pada 9 September 2022 dan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri di Wisma UAB, Gat Lebuh Cina iaitu di daerah digital Pulau Pinang (Creative Digital District). Sehingga kini, kadar kelajuan internet di lokasi pemasangan 5G mampu mencapai kelajuan sehingga 1.2Gb di kawasan terbuka manakala 800Mbps di kawasan dalam bangunan. Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga telah menjadi lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai liputan 5G.
  2. Fokus bagi fasa pertama pelaksanaan projek infrastruktur 5G di negeri Pulau Pinang ini diberikan di kawasan pusat bandar, penempatan padat, tempat tumpuan orang ramai dan perindustrian. Sebanyak 151 lokasi telah dikenal pasti bagi fasa pertama tahun ini iaitu 57 lokasi di Daerah Barat Daya manakala 94 lokasi lagi di Daerah Timur Laut. Sehingga 18 November 2022, sebanyak 107 lokasi projek infrastruktur 5G telah disiapkan di tapak dengan kerja-kerja integrasi dan on-boarding telah dan sedang dijalankan di semua lokasi yang terlibat. Baki 44 lokasi baharu sedang dalam proses penyediaan dokumen bagi mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.
  3. Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (BKT) bersama-sama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) serta agensi persekutuan dan negeri seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pihak Berkuasa Tempatan dan JKR sedang mempercepatkan pelaksanaan 312 lokasi 5G bagi fasa kedua dengan tumpuan akan diberikan di kawasan Seberang Perai.
  4. YB KOMTAR ada mencadangkan supaya bangunan KOMTAR dilengkapi dengan kemudahan 5G dalam usaha memberi nafas baharu kepada bangunan KOMTAR seterusnya menarik minat para peniaga dan pengunjung untuk datang ke KOMTAR. Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) sedang berbincang dengan pihak DNB untuk menyediakan infrastruktur 5G melalui In-Building Coverage (IBC) di bangunan KOMTAR untuk kegunaan penjawat awam dan juga orang awam. Pelaksanaan IBC di KOMTAR dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.
  5. Kerajaan Negeri juga memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi di kawasan perindustrian di negeri Pulau Pinang bagi mengharungi cabaran semasa dalam konteks global dan domestik. Sehubungan itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar proses automasi dan penggunaan gajet pintar yang disokong oleh teknologi 5G akan dapat menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri memandangkan penggunaan teknologi 5G dapat memperkasakan sektor perindustrian di negeri ini.
  6. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan pihak industri untuk memanfaatkan nilai sebenar 5G dengan meneroka penggunaannya dalam perniagaan, serta membantu syarikat-syarikat memasarkan teknologi itu di dalam dan luar negara. Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penggunaan perkhidmatan 5G dan edge computing yang dapat memberi manfaat kepada perniagaan dan menawarkan pengalaman baharu bagi para pengguna.

Pengangkutan Awam

Tuan Yang Dipertua,

  1. Sejumlah RM13.96 juta diperuntukkan pada tahun 2023 untuk sektor pengangkutan awam iaitu peningkatan sebanyak 28.4% berbanding tahun 2022. Pada tahun hadapan, bilangan bas percuma CAT Bridge akan ditambah bilangannya daripada 10 buah bas kepada 15 buah bas. Percubaan akan dibuat selama tiga (3) bulan pertama dan ridership akan dipantau sebelum pengoperasian penuh diteruskan pada bulan ke-4. Selain itu, kajian untuk laluan baharu CAT Bridge juga sedang dijalankan dan berkemungkinan akan ada laluan baharu CAT Bridge dengan mengguna pakai kesemua 15 buah bas ini tertakluk kepada kajian dan perbincangan yang lebih terperinci.
  2. Selain itu, sukacita dimaklumkan pembiayaan Pas Mutiara secara percuma bagi rakyat Negeri Pulau Pinang akan diteruskan dengan pembiayaan 150,000 pas pada tahun 2023 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta. Umum mengetahui susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkhidmatan bas kurang mendapat sambutan. Namun berdasarkan data ridership sepanjang tahun 2022, peningkatan ridership adalah sehingga 35% dan telah mencapai 1.084 juta ridership sebulan. Langganan Pas Mutiara laku bak pisang goreng panas pada tahun ini sehingga 90,000 pas telah habis dilanggan dan Kerajaan Negeri terpaksa segera top-up tambahan 30,000 pas untuk tahun 2022 sahaja. Subsidi ini terbukti berjaya mengurangkan bebanan kos perjalanan harian rakyat Pulau Pinang.
  3. Sehubungan ini, Yang Berhormat Bagan Dalam membangkitkan agar subsidi ini dipastikan benar-benar sampai kepada rakyat bagi mengelakkan pembaziran. Beberapa Langkah kawalan akan ditambah baik agar wang yang dibelanjakan sampai kepada end user.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Air Itam memohon dalam ucapannya untuk perkhidmatan bas dari kawasan perumahan Air Itam ke George Town. Berdasarkan semakan dengan Rapid Penang, hampir keseluruhan kawasan Air Itam telah diliputi dengan laluan bas. Buat masa ini, penumpang perumahan di Solok Thean Teik 1 boleh menggunakan bas laluan 13 (Paya Terubong ke Lotus Tengku Kudin) dan membuat penukaran bas laluan 202 di Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam untuk meneruskan perjalanan ke George Town. Permohonan Yang Berhormat agar laluan bas secara terus ke George Town tanpa memerlukan penukaran bas perlu dikaji dengan teliti terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
  2. Selain itu, Yang Berhormat KOMTAR juga mencadangkan agar laluan khas bas diadakan di Jambatan Pulau Pinang dan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu. Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan ini akan diperhalusi agar kesesakan lalu lintas dapat diatasi.
  3. Suka juga saya ingin memaklumkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat mengenai infrastruktur yang sangat signifikan dengan perkhidmatan bas iaitu pondok perhentian bas. Berdasarkan rekod, terdapat 600 buah pondok bas seliaan MBPP di kawasan Pulau manakala kawasan Seberang Perai mempunyai sebanyak 1,150 pondok bas.
  4. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, setiap pembangunan baharu akan disyaratkan untuk menyediakan pondok bas dengan reka bentuk Universal Design (UD) bergantung kepada keperluan pembangunan tersebut. Selain itu, MBPP juga telah bekerjasama dengan pihak Rapid Penang untuk melabel nama-nama pondok bas ini. Buat masa ini, semua pondok bas telah selesai dilabel kecuali pondok bas di bawah penaja iaitu sebanyak 240 pondok bas sahaja yang masih dalam proses pelaksanaan.

Pengangkutan Air

Tuan Yang Dipertua,

  1. Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin dengan bebanan rakyat, sukacita saya memaklumkan pembiayaan tambang feri percuma akan disambung selama enam (6) bulan pada tahun 2023 bagi terus membantu rakyat Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak 65,000 tiket feri sebulan.
  2. Suka juga saya ingin menjawab pertanyaan Yang Berhormat Bagan Dalam mengenai jumlah penumpang feri. Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri menanggung tiket feri sebanyak 65,000 tiket sebulan khusus untuk warganegara Malaysia sahaja. Pengguna perlu tap MyKad di kaunter tiket bagi menikmati free ferry ride yang ditaja oleh Kerajaan Negeri. Dari segi jumlah tiket yang disubsidi setakat bulan Oktober 2022, belum ada lagi yang mencecah siling 65,000 tiket sebulan setakat ini.
  3. Dari segi jumlah tiket yang telah dibiayai dan ridership feri yang sebenar, butiran tersebut adalah seperti di jadual di bawah:
BulanJumlah Penjualan Tiket (PSAH ↔ SPCT)Ridership (dua hala)
Januari27,21272,936
Februari22,45163,655
Mac24,76064,321
April26,04769,102
Mei35,475101,504
Jun39,713102,332
Julai39,517108,701
Ogos40,356108,665
September44,551117,558
Oktober43,059121,755
JUMLAH343,141930,529
  1. Manakala bagi isu waktu perjalanan feri, perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dalam mesyuarat MMK Pengangkutan pada 17 November 2022 yang lalu. Maklum balas daripada pihak PPSB menyatakan mereka hanya mempunyai dua (2) buah feri bot laju sahaja buat masa ini. Namun begitu, dijangk pada pertengahan tahun ini bilangan ini akan dinaikkan kepada lima (5) buah feri. Dengan adanya bot tambahan, kekerapan perkhidmatan feri boleh dipertingkatkan.

Penang Transport Master Plan

Tuan Yang Dipertua,

  1. Projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam (Pakej 2) merupakan salah satu pakej projek di bawah inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) oleh Kerajaan Negeri. Fasa pembinaan jajaran Projek Pakej 2 telah bermula pada Februari 2022. Untuk ahli-ahli Yang Berhormat, kemajuan kerja-kerja pembinaan di tapak setakat bulan Oktober 2022 secara keseluruhannya telah mencapai 22% kemajuan sebenar berbanding jadual perancangan 24%.
  2. Antara aktiviti utama yang sedang giat dijalankan di tapak adalah kerja cerucuk jenis bore pile untuk viaduct dan kerja penjajaran (realignment) jalan di sekitar kawasan Lebuhraya Thean Teik. Kerja pengalihan utiliti seperti TimeDotCom, TNB, Telekom Malaysia, PBA dan inventori MBPP seperti CCTV, pondok bas dan lain-lain telah selesai dialihkan. Selain itu, kerja pembersihan tapak (site clearing) juga telah dimulakan berhampiran Jalan Bukit Gambir dan perancangan pelaksanaan bagi aktiviti ini akan diteruskan di kawasan berhampiran Apartment All Seasons, Greenlane Apartment, Delima Palace dan Bukit Gambir dalam masa terdekat.
  3. Saya mengambil maklum mengenai aduan YB Air Itam mengenai keadaan jalan sedia ada menjadi sempit akibat pelaksanaan kerja-kerja pembinaan Pakej 2. Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan – TMP) yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa telah dilaksanakan bagi projek Pakej 2 dan TMP ini ditambah baik dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan projek dan aduan orang awam. Cadangan Yang Berhormat untuk menempatkan warden trafik atau anggota PDRM akan diperhalusi dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Projek-projek di bawah PTMP diharapkan membolehkan Pulau Pinang mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan mampan. Justeru, Kerajaan Negeri terus komited untuk memperkasakan pembangunan pengangkutan awam dengan memastikan PTMP dilaksanakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk Pulau Pinang.
  2. Seperti Yang Berhormat sekalian sedia maklum, walaupun projek-projek PTMP masih tidak mendapat apa-apa bantuan atau sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dari segi kewangan, Kerajaan Negeri bukan sahaja akan meneruskan projek-projek tersebut malah akan memastikan pelaksanaannya tidak membebankan rakyat atau kewangan negeri.
  3. Bagi melaksanakan projek LRT Bayan Lepas, Kerajaan Negeri sedang menjalankan proses Request for Proposal (RFP) (berkonsepkan Built, Operate and Transfer with Funding) untuk melantik syarikat yang berpengalaman, layak dan mampu untuk membina dan membiayai pelaksanaan dan pengoperasian projek ini.
  4. Dari 25 Julai hingga 19 Ogos 2022, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pendaftaran pra-kelayakan bagi syarikat-syarikat yang berminat. Sebanyak 45 syarikat telah mendaftar dan membeli dokumen-dokumen pra-kelayakan tersebut. Daripada jumlah tersebut, 8 (lapan) konsortium tempatan dan antarabangsa telah mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi mengambil bahagian dalam RFP.
  5. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah selesai menjalankan penilaian teknikal dan komersil terhadap maklumat yang telah diterima daripada 8 (lapan) konsortium tersebut. Langkah seterusnya adalah proses RFP di mana syarikat-syarikat yang disenarai pendek di peringkat pra-kelayakan akan mengemukakan cadangan mereka dengan terperinci.
  6. Sekiranya semua proses berjalan lancar dan semua kelulusan yang diperlukan dapat diperolehi termasuk daripada agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk memulakan proses pembinaan pada tahun 2023 dan pengoperasian pada tahun 2030 untuk peringkat fasa 1 (laluan dari Komtar hingga Pulau A Penang South Islands – PSI).
  7. Untuk makluman Yang Berhormat sekalian juga, kelulusan bersyarat skim rel bagi projek Bayan Lepas LRT telah diperolehi daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Walau bagaimanapun, skim rel ini masih memerlukan kelulusan penuh di mana ia adalah tertakluk kepada kelulusan projek PSI) di mana tapak depoh LRT dirancang di Pulau A.
  8. Justeru, besarlah harapan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Bayan Lepas LRT dengan jayanya agar dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing terutamanya di waktu puncak.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

  1. Akhir kata dari saya, Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan di Negeri Pulau Pinang dilaksanakan dengan kaedah yang paling cekap dan lestari bagi kemaslahatan bersama. Diharapkan segala apa yang dibincangkan dan keputusan yang dicapai mampu menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.
  2. Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, Kerajaan Persekutuan bahkan setiap lapisan masyarakat dapat bekerjasama dan sentiasa menyokong setiap inisiatif Kerajaan Negeri bagi membangunkan dan memajukan Negeri Pulau Pinang ke arah mencapai visi dan misi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s