Parti Gerakan – Hidup Segan, Mati Tak Mahu

George Town, 11 Januari 2023

Bak kata pepatah “hidup segan, mati tah mahu”, inilah nasib Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada hari ini.

Pada tahun 2021, sebagai usaha untuk “merelevankan” semula Gerakan setelah kegagalan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, parti tersebut telah menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) yang pada ketika itu berada di tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan.

Dalam kenyataannya semasa mengumumkan langkah tersebut, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau berkata bahawa “… Gerakan percaya pentingnya perpaduan dalam politik. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa dan wilayah, Gerakan teguh bahawa perpaduan dalam politik amat penting dalam menjana persefahaman memacu obor kegemilangan negara ke hadapan…”.

Sememangnya kenyataan Dominic adalah lebih indah khabar dari rupa. Ini terbukti apabila Gerakan rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh PN semasa kempen PRU-15 yang lalu. Tidak pula Gerakan membantah apabila pemimpin-pemimpin PN daripada parti Bersatu dan PAS mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah yang jelas berbaur perkauman dan bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat.

Dengan Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada tahun ini, lagi seorang pemimpin Gerakan iaitu Timbalan Presiden Oh Tong Keong dipetik berkata bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika hak dan kepentingan bukan Islam tergugat.

Sekali lagi Gerakan membuktikan mereka hanya tin kosong apabila rakyat Pulau Pinang dikejutkan dengan sebuah video “TikTok” oleh Ahli Parlimen PAS untuk kawasan Permatang Pauh yang membantah promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baru Cina di dalam sebuah pusat membeli-belah di negeri ini.

Adakah Gerakan akan bertindak berdasarkan prinsip yang diuar-uarkan sendiri atau adakah mereka akan terus berdiam atau menyokong tindakan rakan gabungan mereka itu?

Sekiranya Gerakan tidak bertindak seperti yang dijanjikan, maka terbuktilah bahawa mereka ini langsung tidak relevan dalam landskap politik Malaysia.

Zairil Khir Johari
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s