Bas Percuma Tanpa Had Di Pulau Pinang Dengan Pas Mutiara

George Town, 7 Disember 2021

Tahun lalu, Kerajaan Negeri telah melakarkan sejarah menjadi Negeri pertama untuk melaksanakan inisiatif bas percuma di seluruh Pulau Pinang melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara. Ini bermaksud bahawa setiap rakyat Malaysia yang memiliki Pas Mutiara dapat menikmati perjalanan percuma menggunakan bas Rapid Penang pada setiap laluan dan setiap masa.

Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara ini bagi tahun hadapan 2022. Walaupun Pulau Pinang tidak termasuk dalam negeri-negeri yang mendapat manfaat My50 dalam pengumuman Belanjawan 2022 oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tetap komited untuk membantu meringankan beban rakyat.

Namun begitu, peruntukan untuk tahun hadapan adalah dihadkan kepada maksimum 7,500 pelanggan setiap bulan. Walaupun jumlah ini adalah kurang sedikit berbanding 10,000 yang diperuntukkan bagi tahun 2021, namun Kerajaan Negeri percaya pembiayaan ini merupakan satu langkah proaktif untuk meringankan beban perbelanjaan harian pengguna yang terjejas pendapatannya sepanjang pandemik COVID-19 dan sebagai satu usaha membantu rakyat dalam menghadapi situasi pasca-COVID-19.

Kerajaan Negeri akan menanggung kos langganan Pas Mutiara yang bernilai RM50 sebulan untuk setiap kad. Pembiayaan  ini melibatkan peruntukan sebanyak RM375,000.00 sebulan dengan jumlah kad sebanyak 7,500 kad dengan jumlah peruntukan setahun sebanyak RM4.5 juta.

Pengguna yang telah melanggan Pas Mutiara sebelum ini boleh memperbaharui (renew) kad secara percuma seperti biasa di semua Kiosk Rapid Penang.  Manakala bagi pembelian kali pertama pengguna akan dikenakan bayaran sebanyak RM10/kad iaitu bayaran RM5 untuk kad serta RM5 untuk ‘purse value’.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan Bas Percuma CAT Bridge selama satu (1) tahun mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dengan menggunakan 10 buah bas. Jadual perjalanan dikekalkan seperti sedia ada iaitu setiap 15 ke 30 minit pada waktu puncak dengan bas pertama berlepas pada jam 6.00 pagi.

Susulan daripada tajaan Pas Mutiara ini juga, Kerajaan Negeri tidak lagi akan membiayai perkhidmatan CAT Seberang Jaya namun ia akan kekal beroperasi sebagai laluan biasa dan percuma untuk pengguna Pas Mutiara.

Selain meringankan beban penduduk, Kerajaan Negeri percaya bahawa kedua-dua inisiatif ini iaitu Pas Mutiara dan Bas CAT Bridge berupaya menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s