Dialog Bersama Penduduk Di Kawasan Gat Lebuh Macallum

George Town, 28 Disember 2021

Kerajaan Negeri mengambil maklum sidang media oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang bersama penduduk di sekitar Rumah Pangsa Gat Lebuh Macallum berhubung pembinaan menara komunikasi di Taman Rekreasi Muara Sungai Pinang pada 7 Disember 2021.

Lawatan tapak ke lokasi tersebut oleh pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) telah pun dibuat pada 8 Disember. Ekoran daripada itu, pihak Gerakan telah dihubungi oleh wakil Kerajaan Negeri pada hari yang sama juga.

Prosedur pengurusan aduan berhubung pembinaan menara komunikasi di Pulau Pinang telah pun dijelaskan kepada pihak Gerakan. Maklumat tersebut juga boleh didapati di laman sesawang rasmi Kerajaan Negeri iaitu www.penang.gov.my. Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak Gerakan tidak mengemukakan sebarang aduan rasmi kepada Kerajaan Negeri mengikut tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) Bantahan Penduduk Terhadap Struktur Pemancar Telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri kesal kerana penduduk di sekitar Rumah Pangsa Gat Lebuh Macallum tidak mendapat maklumat yang tepat daripada pihak Gerakan berkaitan perkara ini. Selain itu, dalam dunia tanpa sempadan ini, telekomunikasi sudah pun diiktiraf sebagai utiliti awam ketiga (selepas air dan tenaga elektrik). Maka, bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat dicapai secara menyeluruh dan berkualiti tinggi, penyediaan tiang komunikasi di kawasan kependudukan tinggi adalah perlu. Ini bagi memastikan kelancaran komunikasi khususnya dalam zaman pasca-pandemik di mana aktiviti atas talian seperti bekerja dan belajar dari rumah dapat dijalankan dengan lancar.

Bagi memastikan penduduk tidak dipergunakan untuk tujuan peribadi individu atau parti politik tertentu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan satu sesi dialog berhubung aduan penduduk ini pada Khamis, 6 Januari 2022 jam 8.30 malam di Dewan Komuniti Lebuh Macallum bagi memberikan penjelasan penuh berhubung pembinaan tiang komunikasi terbabit.

Sesi dialog ini akan dihadiri oleh saya sendiri bersama-sama dengan ADUN Pengkalan Kota Daniel Gooi, wakil jabatan/agensi Negeri dan Persekutuan seperti MCMC, Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Nuklear Malaysia.

Hakikatnya, penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding tiga tahun yang lalu. Hal ini dapat dilihat dengan statistik liputan telekomunikasi daripada MCMC yang menunjukkan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri kedua terbaik di dalam Malaysia selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 139.2% iaitu melebihi kadar nasional 120.1% manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 35.3% berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 11.7%. Bagi tahun 2020, kelajuan muat turun mudah alih di Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 13.05Mbps manakala bagi tahun 2021 pula telah meningkat kepada 28.57Mbps.

Semua pencapaian di atas ini tidak mungkin dapat diperolehi sekiranya pembinaan infrastruktur telekomunikasi terbantut atau disekat.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s